> IKON > Pernah digelar 'cef campak-campak', siapa sangka tiga semester berturut-turut pelajar terbaik di sekolah kulinari Perancis
Pernah digelar 'cef campak-campak', siapa sangka tiga semester berturut-turut pelajar terbaik di sekolah kulinari Perancis

SEBAIK menguak daun pintu di SukaSucre Bistro berpangkalan di Cheras, Kuala Lumpur, Cef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob pantas menyapa kumpulan pelanggan yang sedang menjamu selera di dalam restoran miliknya itu.

Pada masa sama, beliau mesra menerima pelawaan para pelanggan yang ingin merakamkan foto bersamanya. Masakan tidak, bukan mudah untuk bertemu apatah lagi bergambar secara dekat dengan Fazley yang juga merupakan penyanyi, pelakon, penulis lirik dan pakar motivasi.

“Beginilah, rutin harian saya. Jika tidak sibuk mengendalikan sajian makanan di hotel atau undangan sesi fotografi, saya akan meluangkan sepenuh masa di restoran.

“Di sini, selain memastikan operasi SukaSucre Bistro dalam keadaan terkawal saya juga akan berbincang perkembangan semasa bersama tenaga kerja bagi proses penambahbaikan. Inisiatif itu penting untuk keselesaan para pelanggan,” jelas Fazley ketika ditemui e-Trend di SukaSucre Bistro baru-baru ini.

Bicara pelantun lagu Asmara Ini dan Chocolate Cake itu, beliau semakin serasi dengan dunia masakan meskipun pada sedekad lalu, bidang tersebut dipandang remeh masyarakat.

Rata-rata menyifatkan kerjaya tersebut paling akhir menjadi pilihan khususnya dalam kalangan lelaki.

“Sebelum ini, mereka yang bekerja di dapur digelar tukang masak berbanding cef, namun zaman berubah. Kini bidang masakan dianggap profesional hingga diraikan pelbagai pihak memandangkan saban hari manusia perlu menikmati hidangan makanan dan minuman untuk tenaga bagi menjalani kehidupan,” jelas suami kepada Datin Azrene Ahmad itu.

Kepada e-Trend, Fazley berkongsi ceritera manis dan pahit yang dilalui sepanjang bergelar Cef Selebriti.

Fazley sentiasa berbincang bersama tenaga pekerja bagi memastikan operasi SukaSucre Bistro berjalan lancar.

1 Sejak bila Fazley meminati bidang masakan? Mengapa memilih bidang ini berbanding kerjaya lain?

Secara jujurnya, bidang masakan bukan pilihan utama meskipun, sejak kecil saya membantu arwah wan (nenek) menjual kuih-muih Melayu di Negeri Sembilan.

Arwah bapa pula, Datuk Yaakob Mohammad lahir dalam kalangan famili yang berniaga mi dan kuetiau goreng di Alor Setar manakala adik-adik perempuan saya mendalami bidang kulinari kecuali saya yang memilih aliran akaun dan kewangan. Saya enggan menceburi bidang masakan memandangkan sebahagian besar ahli keluarga saya mahir memasak.

Bagaimanapun, situasi itu berubah selepas memenangi program Masterchef Selebriti Malaysia 2012. Bertitik tolak daripada kemenangan itu, saya tidak menoleh ke belakang. Saya mengorak langkah menyambung pengajian dalam bidang kulinari (manisan dan pastri) di Le Cordon Blue, Paris, Perancis.

Ia merupakan sebuah sekolah kulinari terkemuka di dunia dan untuk menempatkan diri di sana bukan mudah. Alhamdulillah, tiga semester berturut-turut saya terpilih sebagai pelajar terbaik dan lebih menggembirakan apabila saya ialah pelajar tunggal dari Malaysia.

2 Sepanjang berkecimpung dalam bidang masakan, apakah pengalaman pahit yang memberi kesan kepada diri anda?

Pahit itu tidak, tetapi lucu apabila netizen (warga Internet) pernah mengutuk dan menggelar saya ‘cef campak-campak’ selepas konsep hidangan manisan, Sweet Table yang diperkenalkan tular dalam laman sosial.

Walhal, sajian itu telah lama popular di luar negara khususnya di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, saya memahami masyarakat kita mungkin kurang kesedaran mengenai konsep makanan sedemikian.

Namun siapa sangka, dek kutukan tersebut, saya berpeluang memperkenalkan Sweet Table bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara seperti di Taipa Village, Macau, Singapura, London dan Paris.

Fazley ketika menghidangkan sajian Sweet Table sempena Teroka Halal Pelancongan Macau di Macau pada Januari lalu.

3 Bagaimana anda mengatasi masalah yang datang khususnya pada saat berdepan persepsi negatif ataupun teguran daripada orang lain?

Saya seorang yang positif. Kecaman dan kutukan yang diterima merupakan satu doa serta kritikan membina untuk saya terus bereksperimen menghasilkan pelbagai produk dan menu terbaik.

Bagi saya apabila netizen mengambil peduli, ini bermakna mereka ingin mengambil tahu terhadap apa jua perkara yang saya lakukan. Justeru, tidak perlu membuang masa berdebat kerana setiap persoalan lazimnya dijawab menerusi paparan dalam laman sosial Instagram, Twitter dan TikTok. Setiap aktiviti dan perkembangan dunia masakan saya kongsi di sana.

4 Adakah kerjaya cef selebriti ini membuahkan banyak pengalaman manis buat anda?

Pengalaman manis apabila saya juga berpeluang memperkenalkan tiga resipi utama iaitu daging salai lemak cili api yang hadir dalam bentuk pasta, sandwic dan lauk dan rendang daging Minang (dimasak selama lapan jam menggunakan rempah sendiri).

Ia termasuklah, sambal-sambal Minang yang terdiri daripada sambal merah, sambal hitam, sambal hijau dan sambal goreng. Ketiga-tiga menu itu merupakan asas dalam dunia kulinari saya.

5 Sibuk mengendalikan dunia masakan, bagaimana anda membahagikan masa antara cef, penyanyi, pengacaraan dan keluarga?

Keluarga adalah keutamaan, kemudian barulah dunia masakan dan bidang seni. Sebagai bapa kepada empat cahaya mata, saya hanya keluar bekerja selepas anak-anak ke sekolah dan pulang sebelum mereka tidur.

Saya ingin menjadi orang yang terakhir anak-anak lihat sebelum melelapkan mata dan individu pertama apabila mereka mencelikkan mata pada siang hari.

Rutin harian ini diamalkan arwah bapa bersama anak-anak dan saya mengekalkan amalan tersebut kepada zuriat saya pula. Selain itu, saya masih aktif menyanyi cuma kesibukan masa membatasi.

6 Saranan Fazley kepada golongan lelaki terutamanya generasi muda yang meminati bidang ini, tetapi menyifatkan ia tidak mempunyai masa depan cerah?

Di luar negara, sekiranya menjuarai program masakan dan digelar cef selebriti anda dihargai kerana menerima satu mandat untuk ‘mengenyangkan’ orang ramai. Apabila diberi tanggungjawab mencipta menu bagi memuaskan hati pelanggan, maka ia bukan tugas yang mudah. Kita bukan lagi tukang masak semata-mata, tetapi seorang perunding dan kreatif dalam dunia masakan.

Lagipun tukang masak kini merupakan benih, jantung dan nyawa dalam industri makanan kerana setiap individu perlu makan. Justeru, lelaki di luar sana jangan kalah dengan kutukan, kritikan dan individu yang tidak menyokong. Kalau berminat, maka teruskan.

Bergelar cef dan selebriti pada satu masa, Fazley bijak membahagi masa antara kerjaya dan keluarga.

ANEKDOT

DATUK AHMAD FADZLI YAAKOB

NAMA KERJAYA: Cef Fazley

UMUR: 41

ASAL: Rembau, Negeri Sembilan

BILANGAN ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik

PENDIDIKAN:

• Diploma Taste, Gastronomy and Arts de la Table, Universiti de Reims Champagne, Paris

• Diploma de Patisserie, Le Cordon Blue, Paris

• Master SugarCraft, PME, United Kingdom

• Master Pengurusan Perniagaan, Institut Technology, Australia

• Bachelor Pengurusan dan Perdagangan, Universiti Victoria Wellington

STATUS: Berkahwin

KEJAYAAN:

• Juara Master Cef Selebriti Musim Pertama

• Most Admired Leaders of Asia Award 2019 oleh Herald Global

• Most Influential Young Entrepreneus Award (MIYE 2016)

• Award of Excellence daripada Tun Mahathir Mohamad for Organizing The 13th NAM Summmit 2003

• SukaSucre Bistro menang 11 daripada 25 anugerah pada Malaysia International Gastronomy Festival 2016

INSTRAGRAM: @fazleyyaakob

DUTA: Cef Konsultan Four Seasons Hotel Kuala Lumpur, Duta Produk Teh Boh, Mazola, Mahsuri, Kings Ice Cream, Aean Vivo, Duta Pelancongan Halal Taiwan dan Duta Pelancongan Halal Macau

*Artikel dipetik daripada ruangan Kisah Lelaki (sisipan e-Trend) terbitan Sinar Harian Khamis 11 Julai 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...