> > Bermula hanya tolong pegang sudip hingga bergelar juara Hero Oven, tapi kenapa Naem hampir berputus asa?
Bermula hanya tolong pegang sudip hingga bergelar juara Hero Oven, tapi kenapa Naem hampir berputus asa?

PADA hari ini, tukang masak merupakan antara kerjaya yang berpotensi dan mempunyai masa depan cerah bukan sahaja di peringkat lokal, malah global.

Demikian pendapat Juara Hero Oven 2016 Musim Pertama, Muhammad Naim Ramli atau Cef Naem kepada e-Trend sambil berkongsi ceritera manis dan pahit yang dilalui sepanjang bergelar Cef Selebriti.

1 Sejak bila Naem meminati bidang masakan? Mengapa memilih bidang ini berbanding kerjaya lain?

Minat ini disemai pada usia 15 tahun yang mana ketika itu saya sentiasa membantu ibu, Haslina Munir, 56, di dapur.

Pada peringkat awal, saya hanya tolong memegang sudip dan mengacau masakan di dalam kuali sebelum diajar merasa bahan-bahan seperti bawang putih, bawang merah, halia, kunyit dan rempah-ratus secara mentah.

Sebagai 'anak mak', Naem mewarisi minat memasak daripada ibunya, Haslina Munir. (FOTO IG NAEM)

Kemudian, dilatih pula memasak sambal dan pelbagai juadah untuk dinikmati kami sekeluarga. Melihat kecenderungan bermain variasi resipi, maka usai Sijil Pelajaran Malaysia, ibu menghantar saya belajar peringkat Sijil Kulinari di Universiti Taylor’s sebelum melanjutkan pengajian dalam Diploma Seni Kulinari di Universiti Sunway.

Lantas ilmu masakan yang ditimba itu dipraktikkan sebaik-baiknya apabila saya diterima bekerja sebagai tukang masak di tiga buah hotel terkemuka di Kuala Lumpur kira-kira tujuh tahun lalu.

2 Sepanjang berkecimpung dalam bidang masakan, apakah pengalaman pahit yang memberi kesan kepada diri anda?

Antaranya saya perlu membuat keputusan menamatkan kerjaya cef di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada dua tahun lalu. Tindakan itu dilakukan bagi membolehkan saya mengalas tanggungjawab baharu dalam bidang pengacaraan program masakan selepas menjuarai Hero Oven 2016.

Ia bukan keputusan yang mudah apatah lagi sudah tujuh tahun bekerja dalam bidang masakan di hotel. Pada ketika itu, gaji pula lumayan dan selari dengan komitmen bulanan. Walhal, perjalanan karier bersama produksi televisyen masih samar.

Usai SPM, Naem belajar peringkat Sijil Kulinari di Universiti Taylor’s sebelum melanjutkan pengajian dalam Diploma Seni Kulinari di Universiti Sunway. (FOTO IG NAEM)

Berkat sokongan ibu dan ayah serta ahli keluarga, saya nekad keluar daripada zon selesa dan berdepan dengan apa jua risiko yang datang. Lagipun, landasan kerjaya baharu ini tetap memerlukan saya memasak cuma bezanya saya perlu berkomunikasi di depan kamera.

3 Bagaimana anda mengatasi masalah yang datang khususnya pada saat berdepan persepsi negatif ataupun teguran daripada orang lain?

Pernah pada satu ketika, saya hampir berputus asa meneruskan perjuangan dalam industri seni gara-gara menganggur selama beberapa bulan hingga mengalami kekurangan sumber kewangan. Namun, kesabaran saya berbayar apabila menerima tawaran mengacarakan program masakan Dapur Panas yang disiarkan menerusi TV3.

Tidak dinafikan, pada fasa awal pengacaraan, saya menerima banyak kritikan daripada pihak produksi kerana gagal berinteraksi di depan kamera dengan baik. Bagaimanapun, setiap teguran itu saya jadikan pemangkin untuk lunaskan tugasan terbaik dari semasa ke semasa. Saya mempertingkatkan mutu pengacaraan dengan berlatih bercakap di depan cermin dan menghasilkan vlog.

Naem sentiasa belajar meningkatkan skil berinteraksi di depan kamera ketika mengendalikan program masakan.

Kita perlu ingat melakukan pembaharuan luar daripada kepakaran bukan perkara mudah, tetapi ia akan menjadi mudah apabila disusuli dengan usaha, semangat dan tidak berputus asa.

4 Adakah kerjaya cef selebriti ini membuahkan banyak pengalaman manis buat anda?

Ya. Jika diikutkan terlalu banyak momen manis dikutip dalam tempoh tiga tahun memegang gelaran Cef Selebriti ini.

Pengalaman paling manis apabila saya berpeluang mengunjungi negara luar seperti di Thailand, China dan Perth, Australia untuk menerokai variasi makanan tradisi di sana. Ia termasuklah mengelilingi Sabah yang terkenal dengan pelbagai etnik dan budaya.

Telur itik masak lemak antara resipi yang dikongsi Naem dalam laman Instagram miliknya @chefnaem. (FOTO IG NAEM)

5 Sibuk mengendalikan dunia masakan, bagaimana anda membahagikan masa antara cef, pengacaraan dan keluarga?

Saya bersyukur memiliki keluarga dan isteri, Nurul Syazwani, 27, yang memahami. Lazimnya, jadual hanya padat apabila terlibat dengan program masakan yang kadangkala mengambil masa selama sebulan dan perlu berada di luar Kuala Lumpur.

Bersama isteri Nurul Syazwani yang memahami kerjayanya sebagai cef. (FOTO IG NAEM)

Jika tiada program, pada sebelah siang saya mengendalikan tempahan sarapan nasi kukus dan ayam rempah. Selesai tugas di dapur, saya akan meluangkan masa bersama keluarga dan beriadah seperti bersenam di pusat gimnasium dan bermain bola sepak.

6 Saranan Naem kepada golongan lelaki terutamanya generasi muda yang meminati bidang ini, tetapi menyifatkan ia tidak mempunyai masa depan cerah?

Jangan sesekali memandangkan rendah terhadap sesuatu pekerjaan kerana setiap kerjaya itu menawarkan untung dan rugi tersendiri.

Karier ini sentiasa mendapat permintaan tinggi sama ada di gerai kecil, restoran ataupun hotel. Jika tidak berpeluang melanjutkan pengajian di universiti, kita boleh menuntut ilmu dengan menyertai mana-mana kursus pendek kulinari. Pada zaman sekarang, bidang kemahiran atau vokasional menjanjikan pendapatan lumayan, asalkan kita rajin berusaha dan bekerja.

Menjuarai Hero Oven 2016 membuka lembaran baharu kepada Naem dalam bidang pengacaraan.

ANEKDOT

MUHAMMAD NAIM RAMLI

NAMA KERJAYA: Cef Naem

UMUR: 28 tahun

ASAL: Gombak, Selangor

BILANGAN ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada lima beradik

PENDIDIKAN: Diploma Kulinari, Universiti Sunway

STATUS: Berkahwin

KEJAYAAN: Juara Hero Oven 2016 Musim Pertama

INSTRAGRAM: @chefnaemNAEM

*Artikel dipetik daripada ruangan Kisah Lelaki (sisipan e-Trend) terbitan Sinar Harian Khamis 11 Julai 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...