> > Walaupun susu bukan penyebab kanser merebak tetapi bagi pesakit buah pinggang, waspada pengambilannya
Walaupun susu bukan penyebab kanser merebak tetapi bagi pesakit buah pinggang, waspada pengambilannya
NAIMAH MUHAMMAD Rabu | 17 Julai 2019

SUSU minuman berkhasiat tinggi dengan zat kalsium dan protein yang diperlukan oleh pesakit kanser. Itu fakta yang disahkan oleh Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pakar Avisena, Shah Alam, Selangor, Dr. Ahmad Zubair Anis Ahmad sekali gus mematahkan teori kononnya susu menyebabkan kanser merebak.

Ujar Dr. Ahmad Zubair lagi, zat-zat lain yang terdapat pada susu seperti biotin, magnesium, vitamin, potasium, tiamina dan protein penting untuk rawatan dan penyembuhan tubuh pesakit kanser.

“Semua orang perlukan makanan seimbang, begitu juga dengan pesakit kanser. Tiada makanan yang dapat menyembuhkan kanser dan tiada makanan spesifik yang perlu dimakan atau dielak jika menghidapi kanser.

“Kanser dan jenis rawatan yang dilalui oleh pesakit akan meningkatkan keperluan badan. Oleh itu, pesakit perlu meningkatkan pengambilan nutrien,” jelasnya kepada Sihat:Aktif.

Pun demikian, Dr. Ahmad Zubair tidak menolak, dengan keadaan yang dilalui oleh pesakit, pastinya proses pengambilan makanan akan terganggu.

Justeru ujarnya, amalan pemakanan yang baik sebelum, semasa dan selepas rawatan sangat penting untuk menjadikan pesakit lebih sihat dan bertenaga.

“Bagaimanapun, kenyataan itu (kanser merebak disebabkan susu) mungkin dikaitkan dengan situasi pesakit menghidap kanser tulang atau kanser yang telah merebak ke tulang, berhadapan dengan paras kalsium dalam darah menjadi tinggi. Ia akan menyebabkan masalah fisiologi badan.
DR. AHMAD ZUBAIR

“Pesakit itu tidak disarankan untuk mengambil makanan yang tinggi kalsium dalam darah tinggi. Rawatan akan diberikan untuk menurunkan paras kalsium tersebut,” jelas Dr. Ahmad Zubair.

Kandungan hormon

Terang Dr. Ahmad Zubir lagi, susu disalah kaitkan dengan kanser seperti prostat disebabkan kandungan hormon dalam susu.

"Kandungan hormon itu pula dikaitkan hasil suntikan yang diberikan kepada lembu untuk meningkatkan jumlah susu. Meskipun begitu, perkaitan itu belum terbukti secara menyeluruh melalui penyelidikan," katanya.

Menurutnya lagi, kebanyakan pesakit yang datang berjumpa dengannya bersangkut-paut dengan penyakit kekurangan zat kalsium dalam diet harian.

Masalah itu adalah seperti patah tulang akibat tulang rapuh, sakit tulang belakang, bengkok akibat tulang belakang yang rapuh dan juga sakit otot akibat kekejangan yang berlaku khususnya pada waktu malam.

“Pesakit akan menerima rawatan bergantung pada simptom, punca dan diagnosis. Jika pesakit berumur 60 tahun ke atas, suplemen kalsium dan vitamin D akan diberikan.
Seorang pakar mengesahkan bahawa susu yang tinggi dengan zat kalsium dan protein diperlukan oleh seorang pesakit kanser.
“Mereka juga disarankan mengamalkan diet yang seimbang dan senaman bersesuaian. Penyembuhan bergantung kepada punca kekurangan kalsium dalam badan.

“Jika puncanya ialah diet yang tidak seimbang dengan kekurangan susu, keju, sayur, pakar diet akan memberikan sesi kaunseling dan suplemen yang boleh menyembuhkan keadaan pesakit,” terangnya.

Prihatin dengan keadaan pesakit yang tidak boleh minum susu, beliau menasihatkan supaya golongan itu menggantikannya dengan sumber protein yang boleh didapati melalui daging, telur, keju, kacang dan makanan berasaskan soya.

Kalsium pula boleh didapati daripada sayuran hijau seperti sawi dan bayam.

Selain itu, pesakit harus mendapatkan tidur, rehat dan beriadah dengan secukupnya untuk mendapatkan badan yang sihat dan minda yang cergas.

Bagi yang alah susu, boleh ganti dengan sumber protein daripada daging, telur, kacang dan makanan berasaskan soya. (Gambar hiasan)

ANEKDOT

KHASIAT susu

• Mengandungi pelbagai jenis mineral yang membantu proses penting tumbesaran tulang.

• Kalsium sebanyak 28 peratus merupakan mineral yang bertanggungjawab tulang sihat.

• Vitamin D sebanyak 24 peratus dan fosforus sebanyak 22 peratus penting dalam proses homeostasis tulang.

JENIS susu di pasaran:

1. Untuk bayi

• Dipek mengikut umur.

• Diformulasikan dengan bahan tambahan seperti DHA, probiotik, zat besi dan lain-lain mengikut keperluan anak.

2. Untuk kanak-kanak dua tahun ke atas

• Susu segar atau penuh krim bagi memenuhi keperluan kalsium dan protein.

3. Untuk orang dewasa

• Susu penuh krim, rendah lemak dan susu skim sesuai untuk orang dewasa yang mahu menjaga kesihatan.

• Untuk mereka yang menjaga paras kolesterol, disarankan mengambil susu rendah lemak dan susu skim.

4. Susu formula khas

• Mempunyai protein dan kalori yang tinggi. Digunakan pesakit dan individu yang memerlukan keperluan khas.

• Rujuk pegawai dietetik untuk mendapatkan konsultasi yang betul mengikut keperluan.

WASPADA pengambilan susu:

• Walaupun ia sumber kalsium dan protein yang baik, sekiranya diambil berlebihan akan meningkatkan kalori harian.

• Bagi pesakit buah pinggang pengambilan susu berlebihan akan memberi kesan kepada peningkatan bacaan darah dan boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk.

• Sekiranya mempunyai masalah kesihatan tetapi mahu mengambil susu dalam diet harian, berjumpalah dengan pegawai dietetik.

*Sumber: Pegawai Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Ruqayyah Muhammad.

KEPERLUAN SUSU YANG PERLU DIAMBIL MENGIKUT PERINGKAT UMUR

UMUR: 0 hingga 6 bulan (menyusu badan/susu formula) KEPERLUAN KALSIUM: 200mg/sehari/250mg sehari

UMUR: 7 hingga 12 bulan KEPERLUAN KALSIUM: 260mg/sehari

UMUR: 1 hingga 3 tahun KEPERLUAN KALSIUM: 700mg/sehari

UMUR: 4 hingga 9 tahun KEPERLUAN KALSIUM: 1,000mg/sehari

UMUR: 10 hingga 19 tahun KEPERLUAN KALSIUM: 1,300mg/sehari

UMUR: 20 hingga 49 tahun KEPERLUAN KALSIUM: 1,000mg/sehari

UMUR: 50 tahun ke atas KEPERLUAN KALSIUM: 1,200mg/sehari (wanita) 1,000mg/sehari (lelaki)

*Sumber : Berdasarkan Saranan Keperluan Nutrien Malaysia pada tahun 2017

*Artikel dipetik daripada ruangan Medik-Sempena Hari Susu Sedunia (sisipan Sihat:Aktif) terbitan Sinar Harian Rabu 17 Julai 2019

ARTIKEL BERKAITAN: Bahana akibat sikap endah tak endah dengan susu, ini yang perlu anda tahu!

ARTIKEL BERKAITAN: Sering dimomokkan susu hanya untuk kanak-kanak, kalangan dewasa termasuk warga emas jangan dilupakan!


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...