> Saintis UPM cipta Peptida Antibeku agar makanan kekal segar, tahan lebih lama
Saintis UPM cipta Peptida Antibeku agar makanan kekal segar, tahan lebih lama
ARZIANA MOHMAD AZAMAN Khamis | 8 Ogos 2019

SEORANG saintis Universiti Putra Malaysia membuka lembaran sejarah baharu dalam industri sejuk beku makanan dan perubatan dunia apabila berjaya menghasilkan satu inovasi dinamakan Peptida Antibeku.

Teknologi itu kata Prof. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman telah dihasilkan pada satu jangka masa yang agak lama iaitu bermula pada tahun 2006 hingga 2015. Durasi panjang yang diambil tidak sia-sia apabila rekaan berkenaan memperoleh pelbagai anugerah.

Peptida Antibeku antara lain berupaya memastikan sesuatu makanan seperti daging dan penyimpanan organ manusia dapat disejukbekukan pada hayat yang lebih lama di samping mengekalkan tahap kesegaran secara maksimum.

Menariknya, inovasi sentuhan Dr. Mohd Basyaruddin dan pasukannya berjaya mencuri tumpuan pemain industri makanan di Jepun.

DR. MOHD BASYARUDDIN

Teknologi Peptida Antibeku turut memberi manfaat dalam sektor perubatan

Penyelidikan tersebut mula dijalankan sejak tahun 2006 hingga 2015 dengan geran Genetics and Molecular Biology Iniatives, BIOTEK, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Sultan Mizan Antarctica Research Foundation dan UPM.

Penyelidik-penyelidik lain yang terlibat dalam projek berkenaan ialah Bimo Ario Tejo, Loqman Mohamad Yusof, Emilia Abd Malek dan Khairul Fadlyshah Abu Hasan.

Inovasi ini turut memberi manfaat kepada sektor bio perubatan (transplan).

Ujar Dr. Mohd Basyaruddin, dengan inovasi Peptida Antibeku itu, yis glaciozyma antarctica yang digunakan dapat menghasilkan protein novel yang mempunyai aktiviti antibeku (membantu mekanisme kelangsungan hidup pada suhu sub sifar).

“Protein yang bersifat unik dan novel itu (berdasarkan homologi jujukan) yang rendah berbanding dengan protein antibeku yang lain. Atas justifikasi itu, saya mencipta Peptida Antibeku yang mampu meniru aktiviti biologi protein induknya, selain penghambatan penghabluran semula yang tinggi sekali gus dilihat cukup berharga untuk pelbagai aplikasi yang berkaitan dengan sejuk beku,” katanya ketika diwawancara e-Trend baru-baru ini.

Contoh aplikasi teknologi Peptida Antibeku yang boleh mengurangkan kristal ais kasar pada permukaan produk makanan dan organ dalaman manusia.

Mengulas lanjut, penyelidik universiti berprestij itu berkata, penemuan baharunya turut memberi faedah dalam pembuatan produk apabila lebih banyak produktiviti dapat dihasilkan.

“Sebagai contoh, Peptida Antibeku membantu mencegah kesan negatif kristal ais pada produk sejuk beku. Ia juga berupaya memelihara produk makanan. Sebagai contoh, daging yang dimasukkan dalam peti sejuk dan disertakan dengan inovasi itu akan membuat daging itu kekal segar dan tahan lebih lama,” ujarnya lagi.

Selain itu, Dr. Mohd Basyaruddin berkata, penggunaan teknologi itu dalam perubatan sangat signifikan.

Peptida Antibeku membantu mengekalkan rasa yang natural pada makanan sejuk beku.

“Teknologi itu dapat memainkan peranan dalam mengekalkan kualiti organ (yang disimpan untuk proses transplan) bagi mengekalkan kesegaran semasa pengangkutan organ. Sel organ tidak rosak disebabkan sifat ais yang kasar,” katanya.

Tindak balas

Menjelaskan lebih lanjut fungsi Peptida Antibeku, Dr. Mohd Basyaruddin berkata, agen akan berinteraksi di permukaan kristal ais melalui ikatan hidrogen semasa peringkat awal pembekuan.

Contoh aplikasi menunjukkan ketulan ais yang kasar boleh merosakkan sel pada makanan dan organ dalaman.

Proses itu katanya, akan menghalang pertumbuhan kristal ais yang lebih besar dan pada masa sama boleh mengubah rasa dan tekstur makanan atau menembusi dan merosakkan sel.

“Peptida Antibeku terdiri daripada asid amino dan kaedah inovasi ini dihasilkan melalui proses sintesis kimia dan biologi sintetik. Ia (Peptida Antibeku) lebih stabil daripada sesetengah protein antibeku dalam mengekalkan ‘toleransi’ sejuk lebih lama dan meningkatkan durasi produk.

“Krio pelindung konvensional (campuran sukrosa-sorbitol) yang digunakan dalam pembuatan makanan sejuk beku selalunya memberi rasa manis yang tidak diingini. Namun dengan Peptida Antibeku itu lebih natural tidak mempunyai sebarang rasa tambahan dan tidak bertoksik,” katanya.

Ditanya potensi produk fitur barunya itu untuk dikomersialkan ke peringkat antarabangsa, Dr. Mohd Basyaruddin berkata: “Peptida Antibeku ciptaan kami sebenarnya sudah bersedia untuk dipasarkan secara global memandangkan ia sudah mendapat banyak permintaan daripada industri makanan terkenal di Jepun.

Kepentingan inovasi saintis UPM dalam industri sejuk beku berupaya mengukuhkan lagi strategi pemasaran global.

“Meskipun masih dalam peringkat prototaip dan skill up pemasaran, namun keupayaan inovasi saya sudah diperakui industri makanan dunia. Bagaimanapun kekangan kami sekarang ialah masih tidak dapat menghasilkan inovasi itu dalam kuantiti banyak disebabkan teknologi yang terhad,” ujar beliau.

Teknologi Peptida Antibeku bakal dipelbagaikan fungsinya

Dr. Mohd Basyaruddin sudah merangka strategi untuk mempelbagaikan penggunaan Peptida Antibeku.

Ujarnya, selain memberi faedah kepada sektor makanan dan perubatan pihaknya kini akan menumpukan kepada penghasilan peptida dalam sel mikrob seperti yis roti.

“Untuk kajian seterusnya, saya dan kumpulan terlibat akan lebih ke hadapan. Ia akan melibatkan penggunaan biologi sintetik yang mana penghasilan peptida dapat dilakukan di dalam sel mikrob.

Peptida Antibeku juga hadir dalam bentuk serbuk.

“Proses tersebut juga bersesuaian dengan keperluan di dalam industri makanan yang boleh mengelakkan penggunaan bakteria atau mikrob berbahaya yang bersifat patogen,” katanya baru-baru ini.

Selain itu ujar saintis berkenaan, jujukan Peptida Antibeku yang lebih pendek dan mudah larut juga telah dan sedang dibangunkan.

“Ketika ini, kami giat jalankan kajian dan ada yang sudah siap. Peptida Antibeku yang lebih pendek daripada protein ikan di Antartika manakala untuk proses di dalam yis roti sedang dijalankan.
Peptida Antibeku dalam bentuk cecair.

“Bagi tujuan aplikasi pula, selain daripada industri makan sejuk beku, inovasi akan digunakan dalam cecair dalam proses pemindahan organ kecil seperti buah pinggang.

“Kajian ini juga berkait rapat dengan teknologi genomik yang sememangnya penting untuk industri perubatan,” katanya.

Industri makanan tempatan dan global memerlukan inovasi Peptida Antibeku bagi memanjangkan tempoh hayat produk mereka.

ANEKDOT

Peptida Antibeku

• Teknologi tersebut boleh diaplikasikan dalam industri berasaskan makanan sejuk beku, akuakultur, perubatan dan veterinar.

• Ia melibatkan sasaran pengguna seperti pengeluar makanan beku, pengilang palet makanan ikan dan udang serta syarikat perkhidmatan krio awetan.

Pencapaian:

Memenangi pingat perak sempena Ekspo Teknologi Malaysia 2015

• Meraih pingat emas sempena Exhibition of Invention, Research And Innovation UPM 2014

• Pingat perak Malaysia Technology Expo 2015

Antara paten yang berjaya diperoleh:

1 Invention: Antifreeze Peptides Derived From Fungal Protein 2009

2 Invention: Antifreeze Peptides Derived From Fungal Protein (Provisional) 2013

3 Invention: Method for Preservation of Cells and Tissue by Anti-freeze Peptide 2016

*Artikel dipetik daripada ruangan Revo S&T (sisipan e-Trend) terbitan Sinar Harian Khamis 8 Ogos 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...