> > "Profil kebahasaan seorang warga Malaysia mestilah menguasai bahasa kebangsaan sendiri..." - Dr Nik Safiah
"Profil kebahasaan seorang warga Malaysia mestilah menguasai bahasa kebangsaan sendiri..." - Dr Nik Safiah
MIMI RABITA, UMP Jumaat | 9 Ogos 2019

PARA guru, pensyarah, pendidik dan ibu bapa perlu berperanan dalam usaha untuk memartabatkan pemahaman dan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda di negara hari ini.

Selain menguasai dan mencintai bahasa kebangsaan, sebagai warga negara Malaysia kita perlu menguasai dan menghormati kepentingan bahasa Inggeris serta menjadikan bahasa Kebangsaan sebagai asas perpaduan negara.

Pakar bahasa Melayu, Prof. Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, profil kebahasaan seorang warga Malaysia mestilah menguasai bahasa kebangsaan sendiri, menguasai bahasa Inggeris dan sekiranya boleh menguasai bahasa ketiga dan keempat.

Jelasnya, bahasa kebangsaan lambang kedaulatan negara dan jati diri bangsa manakala bahasa Inggeris adalah bahasa perhubungan luar dan bahasa untuk menimba ilmu pengetahuan.

“Identiti nasional perlu diperkasakan sejak kecil dan ianya mempunyai kaitan dengan rasa bangga dan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan dan negara ini. Kita berdepan dengan cabaran pemerkasaan identiti nasional dalam era baharu Malaysia dalam abad ke-21 ini termasuklah era globalisasi, era sains dan teknologi, meningkatkan perpaduan serta kepentingan bahasa Inggeris,” ujarnya.
Dr Nik Safiah, tokoh jemputan dalam Siri Bicara Cendekiawan Mulia UMP. (FOTO UMP)

Dr Nik Safiah turut berkongsi mengenai sejarah awal bahasa Melayu pada batu-batu bersurat pada abad ke-7 yang dijumpai di Sumatera dan di Kuala Berang Terengganu pada abad ke-14. Manakala pada abad ke-13, agama Islam mula bertapak di Kepulauan Melayu dan wujudnya pusat-pusat kebudayaan dan kecemerlangan Melayu Islam di ibu kerajaan di wilayah Samudera Pasai (1280-1400), Melaka (1400-1511), Aceh (1511-1650) serta Johor-Riau (1650-1800).

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dijamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Kemajmukan kaum, agama dan budaya yang mencorakkan sifat kependudukan Malaysia menjadi cabaran unik ke arah kemapanan perpaduan dan kemapanan identiti nasional melalui perantaraan Bahasa Melayu sebagai alat penyatuan.

Dalam pada itu, Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim pula berkata, selain peranan yang dimainkan pihak Kementerian Pendidikan, universiti juga perlu mengambil bahagian untuk turut serta berperanan dalam memartabatkan dan melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam berkomunikasi dan menggunakan terma bahasa yang sepatutnya.

Dr Rais berpendapat, bahasa Melayu perlu dipertingkatkan penggunaannya agar menjadi amalan masyarakat berinteraksi. (FOTO UMP)

Selain itu juga, orang Melayu perlu bertutur secara lazim dalam bahasa Melayu dan bersama-sama mengamalkan budaya, seni, adat istiadat Melayu termasuklah cara berpakaian.

"Bahasa Melayu juga dilihat masih tertinggal dalam dunia perniagaan serta komersil malahan terdapat juga nama-nama jalan atau taman yang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu," tegasnya.

Dalam pada itu, penggunaan bahasa Melayu juga perlu dipertingkatkan penggunaannya agar menjadi amalan masyarakat berinteraksi dan berhubung menggunakan bahasa Melayu yang tidak bercampur aduk. Ujarnya, identiti itu ada kaitan dengan bahasa dan identiti bangsa tidak boleh dijual beli.

Kedua-dua tokoh ini dijemput menjayakan Siri Bicara Cendekiawan Mulia UMP anjuran Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD) dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor UMP dalam membincangkan tajuk Bahasa Melayu dan Pemerkasaan Identiti Nasional dalam Era Malaysia Baharu bersama moderator Prof Madya Dr Hassan Ahmad daripada Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan.

Ibrahim dan Dr Wan Azhar bersama tokoh jemputan Dr Rais dan Dr Nik Safiah menjayakan Siri Bicara Cendekiawan Mulia UMP serta tetamu lain. (FOTO UMP)

Program ini merupakan sebuah medan wacana bulanan yang menampilkan tokoh-tokoh berwibawa dari dalam dan luar Malaysia. Tokoh-tokoh ini berperanan untuk mengupas isu-isu semasa yang merentasi pelbagai dimensi dari aneka sudut pandang bagi manfaat warga UMP dan masyarakat secara keseluruhannya.

UMP komited untuk menjadikan kampus universiti ini sebagai gelanggang intelektual terbuka yang diimarahkan dengan pelbagai aktiviti wacana dan debat matang, waras dan bijaksana sebagai usaha memasyarakatkan kampus.

Program turut dihadiri Pengerusi UMP, Dato Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Presiden PAKAD, Mohd. Hairul Ab. Rahim.

Selain warga UMP, turut memeriahkan program termasuklah kehadiran staf daripada Yayasan Budi, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dewan Persuratan Melayu Pahang dan para guru serta pendidik sekolah menengah dan rendah sekitar Pekan.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...