> > 'Zero tolerance for ragging' bukan sekadar frasa bagi UPNM, sebaliknya diperkukuh dengan tindakan tatatertib demi elak buli jadi budaya
'Zero tolerance for ragging' bukan sekadar frasa bagi UPNM, sebaliknya diperkukuh dengan tindakan tatatertib demi elak buli jadi budaya

UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kini telah mencapai usia hampir 13 tahun dalam melahirkan sumber manusia berintelektual, berkarakter dan paling penting nilai-nilai kepimpinan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya dan pelbagai sektor lain dalam kerajaan mahupun swasta.

Memulakan sejarah penubuhannya pada 10 November 2006, UPNM turut melahirkan pakar bidang serta menjana penyelidikan dan inovasi bernilai tinggi bagi faedah pertahanan dan keselamatan negara.

Silibus latihan berbeza

UPNM memiliki dua kumpulan penuntut iaitu pegawai kadet dan penuntut awam. Kedua-duanya mengikuti latihan ketenteraan tetapi dengan silibus latihan ketenteraan berbeza.

Pegawai kadet mengikuti latihan ketenteraan yang ditetapkan ATM manakala penuntut awam dikehendaki menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang mana sekiranya berjaya menamatkan silibus latihan Palapes bakal ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Wataniah dan pasukan pegawai simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia atau Tentera Udara Diraja Malaysia.

Pegawai kadet lelaki dan wanita perlu menjalani latihan yang sama. (FOTO UPNM)

Umum mengetahui bahawa dunia ketenteraan didominasi lelaki. Begitu juga di UPNM, penuntut lelaki mendominasi bagi sesi akademik 2018/2019 untuk pengajian Sarjana Muda dengan pecahan penuntut lelaki seramai 530 orang, manakala penuntut wanita 208 orang.

Meskipun wujud jurang gender, UPNM telah berjaya melahirkan ramai graduan wanita yang berkualiti.

Kebolehpasaran graduan

Latihan ketenteraan yang perlu dilalui pegawai kadet lelaki dan wanita adalah sama; mencabar dan memerlukan kekuatan fizikal serta tahap disiplin diri yang tinggi kerana latihan berbentuk regimental ini direka khusus bagi melahirkan dan memastikan ATM memiliki pegawai tentera yang berkualiti tinggi dengan sifat kepimpinan terunggul.

Latihan ketenteraan mencabar dan perlukan kekuatan fizikal dan tahap disiplin yang tinggi. (FOTO UPNM)

Menurut sumber daripada Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa UPNM, pada tahun 2017, seramai 538 daripada 558 iaitu 96.4 peratus graduan telah berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor.

"Meskipun angka ini dikira tinggi berbanding kebolehpasaran graduan institusi pengajian tinggi lain dalam negara, UPNM akan tetap meneruskan usaha melahirkan lebih ramai graduan agar permintaan daripada agensi keselamatan dalam kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain sektor dapat dipenuhi pada masa akan datang," katanya.

Latihan ketenteraan kunci disiplin

Meskipun latihan ketenteraan merupakan antara elemen terpenting dalam membentuk bakal pegawai tentera, tidak bermakna corak latihannya adalah keterlaluan untuk diharungi dan keras sehingga boleh mendatangkan mudarat.

Pembentukan disiplin adalah kunci persediaan untuk menyertai alam ketenteraan. Ini bermakna, pegawai kadet perlu mengikuti rutin harian iaitu waktu akademik dan waktu ketenteraan.

Latihan taktikal peperangan merupakan antara latihan yang perlu dilalui pegawai kadet. (FOTO: UPNM)

Waktu akademik diperuntukkan Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga waktu pembelajaran akademik berakhir mengikut jadual kuliah masing-masing.

Waktu ketenteraan pula bermula selepas waktu akademik tamat dan juga pada hari Sabtu dengan pengisian berbentuk ketenteraan yang melibatkan pengurusan pertahanan, kepimpinan ketenteraan, taktikal peperangan dan pelbagai subjek ketenteraan lain.

FOTO UPNM

Menerusi kenyataan sumber itu lagi, pengulangan tabiat berdisiplin tinggi ini adalah regimentasi bagi memastikan pegawai kadet benar-benar faham apa yang diperlukan dalam menjadi pegawai tentera dengan membawa budaya ketenteraan.

"Pembentukan sebegini bertujuan memastikan pegawai kadet mampu berdepan dengan cabaran menghadapi latihan ketenteraan berbentuk fizikal yang digarap secara holistik oleh ATM merangkumi latihan fizikal dan mental. Penting juga ditekankan bahawa bentuk latihan ketenteraan adalah berbeza mengikut tahun pengajian pegawai kadet," katanya.

Terdapat tiga latihan ketenteraan yang perlu diikuti pegawai kadet UPNM iaitu Latihan Ketenteraan Umum (LKU), Latihan Ketenteraan Perkhidmatan (LKP) dan Latihan Ketenteraan Tahun Akhir (LKTA).

Setiap latihan ketenteraan dikawal selia jurulatih berpengalaman yang komited dalam melahirkan pegawai ATM berkualiti untuk pertahanan dan keselamatan negara.

Salah satu latihan yang perlu dijalani. (FOTO UPNM)

Bagi warga ATM dan UPNM, latihan ketenteraan bukanlah sesuatu yang asing dan bersifat memudaratkan sebaliknya dikirakan sangat penting.

Kegagalan melatih pegawai kadet dengan sebaik-baiknya bakal memberi impak besar kepada institusi ketenteraan pada masa hadapan kerana taruhannya adalah negara kita, Malaysia.

Menolak perbuatan buli

Sehebat mana pun usaha yang dicurahkan, segalanya akan berbalik kepada pendirian individu yang mahukan perubahan positif terus berkembang dalam diri atau sebaliknya.

Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM. (FOTO UPNM)

Menurut sumber itu lagi, UPNM sama sekali menolak perbuatan buli dan mengambil serius kes-kes sebegini serta pelakunya sama ada bagi pegawai kadet mahupun penuntut awam.

Zero tolerance for ragging bukanlah sekadar frasa sebaliknya diperkukuhkan dengan tindakan disiplin dan tatatertib kerana UPNM tidak mahu buli menjadi satu budaya.

"Dalam pelbagai platform di universiti, tindakan buli dalam apa jua bentuk adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali di UPNM kerana kesannya kepada individu, keluarga dan organisasi khususnya sangat mencalar dan menyumbang kepada pembentukan persepsi negatif masyarakat," katanya.

Dalam memperkukuh pemantauan dan cabang pelaporan akibat buli, cabang pelaporan mangsa atau saksi, UPNM telah mengarahkan seluruh warganya memantau aktiviti penuntut UPNM dan mengenal pasti serta-merta pelaku buli seterusnya melaporkan kepada pengurusan UPNM.

FOTO UPNM

Tindakan akan diambil serta-merta baik dari aspek perundangan negara dan tatatertib di peringkat UPNM.

Tersenyum gembira usai hari konvokesyen yang penuh bersejarah. (FOTO UPNM)


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...