> AKTIVITI KAMPUS > MSU dan JAKIM meterai MoU, bangunkan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran
MSU dan JAKIM meterai MoU, bangunkan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran
AHMAD IBRAHIM, MSU Selasa | 13 Ogos 2019

SELARAS dengan usaha untuk melahirkan penuntut yang kompeten dan versatil, Management & Science University (MSU) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membangunkan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM-MSU.

Hadir pada majlis menandatangani MoU berkenaan ialah Presiden MSU, Prof. Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan, Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Global MSU, Datuk Rosli Yusof; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya serta barisan pengurusan kanan MSU dan JAKIM.

Menurut Dr. Mohd Shukri, MoU ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif MSU dalam memastikan para penuntut tidak hanya dilengkapi dengan ilmu duniawi malah turut diseimbangkan dengan ilmu ukhrawi.

"Kerjasama strategik di antara MSU dan JAKIM ini dilihat amat penting kerana mampu memberi nilai tambah kepada penuntut sekali gus berupaya melahirkan lebih ramai huffaz yang memiliki kelayakan profesional," katanya.

Sepanjang lima semester program pengajian ini, mereka perlu mengikuti kurikulum dan silibus yang telah ditetapkan oleh Darul Quran JAKIM.

Mereka akan dibimbing agar dapat menguasai hafazan dan bacaan al-Quran dengan baik, mampu menguasai bentuk bacaan al-Quran yang pelbagai serta mantap dari aspek pedagogi pengajaran tahfiz dan qiraat.

Menurut Mohamad Nordin, program pensijilan huffaz profesional ini mensasarkan untuk melahirkan graduan yang holistik dan mencintai al-Quran serta mengamalkan ilmu serta isi kandungannya.

"Sehingga kini lebih 1,700 graduan profesional huffaz telah berjaya dilahirkan di seluruh negara,” katanya.

Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran MSU dan JAKIM ini ditawarkan menerusi Centre for Fundamental Studies (CFS), MSU yang memiliki tenaga pengajar yang bergelar hafiz dan hafizah serta cukup terlatih dan memiliki tahap penguasaan al-Quran yang cukup tinggi.

Kejayaan menamatkan pengajian dalam program ini akan melayakkan pelajar untuk menerima penganugerahan sijil tahfiz yang dikeluarkan oleh Darul Quran JAKIM.

Program pengajian ini dijangka akan bermula pada sesi akademik September 2019 dan terbuka kepada siswa-siswi MSU tanpa mengira program pengajian dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang memiliki latar belakang sekolah agama dan tahfiz.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...