> > 7 perkara unik yang mungkin anda tidak tahu mengenai universiti terbaik dunia
7 perkara unik yang mungkin anda tidak tahu mengenai universiti terbaik dunia

MASSACHUSETTS Institute of Technology (MIT) telah mengungguli QS World University Rankings 2020 untuk kali ke-8 berturut-turut sebagai universiti terbaik di dunia. Pencapaian ini adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria termasuk jumlah sitasi bagi setiap fakulti serta jumlah pelajar antarabangsa. Keunggulan universiti ini menjadikan ia sebagai salah satu tempat idaman ramai untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Penulis telah terpilih untuk menjalani satu program bertemakan penyelidikan dan kolaborasi di MIT. Para peserta program ini terdiri daripada para penuntut pasca siswazah MIT dan Imperial College London. Program ini membolehkan penulis untuk menelusuri citra warna kehidupan penuntut di universiti ini.

Terdapat banyak yang boleh dipelajari hasil daripada lawatan penulis dan berikut adalah 7 perkara unik di MIT yang mungkin anda tidak tahu.

Great Dome yang menjadi mercu tanda melambangkan MIT. (FOTO ATUN)

1. MIT dan Harvard University terletak bersebelahan

Lokasi dua universiti terbaik dunia ini adalah sangat berdekatan di antara satu sama lain di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat. Pemandangan yang cantik dapat dilihat semasa menyelusur Sungai Charles yang tebingnya dikongsi kedua-dua universiti ini. Aktiviti santai seperti mengemudi kapal layar dan membaca buku di atas rumput hijau di tepi tebing sungai terlihat sering dijalani semasa cuaca kelihatan baik.

Kapal layar di Sungai Charles. (FOTO ATUN)

2. 'Great Dome' antara mercu tanda MIT

Berada di persekitaran mercu tanda ini mampu melahirkan perasaan megah dan terpukau oleh mata yang memandang lantaran kerana kecantikan seni binanya. Ia berdekatan dengan bangunan-bangunan gah yang dinamakan sempena nama-nama pemikir hebat termasuk Darwin.

Bangunan-bangunan gah bersebelahan Great Dome yang memahat nama pemikir-pemikir terkenal seperti Darwin. (FOTO ATUN)

3. Lawatan kampus percuma bagi yang berminat untuk belajar di MIT

Lawatan percuma disediakan bagi yang berhajat dan ia dimulakan dengan penerangan oleh pihak pengurusan MIT berkenaan syarat pertimbangan untuk kemasukan. Permohonan yang mempunyai rujukan yang baik dan lulus dengan cemerlang peperiksaan khas serta lulus sesi temu duga mempunyai peluang baik untuk diterima masuk. Lawatan keliling kampus diadakan dalam kumpulan kecil dan diketuai pemandu pelancong yang kebiasaannya terdiri daripada para penuntut senior MIT sendiri dan sering diadakan mengikut tarikh telah ditetapkan dan diuar-uarkan di dalam laman web universiti.

Kresge Auditorium (FOTO ATUN)

4. Jenaka praktikal atau 'prank' adalah dibenarkan

Jenaka praktikal adalah dibenarkan, namun perlaksanaannya perlu mengikut etika yang telah digariskan. Etika ini dinamakan sebagai 'Hacking Ethics'. Antara jenaka praktikal terkenal adalah seekor lembu yang dipakaikan topi ijazah, sebuah teksi diletakkan di atas 'Great Dome', dan sebuah air pancut yang muncungnya dipasang hos pili bomba. Walaupun kelihatan lucu, namun setiap jenaka mempunyai maksud tersirat yang menggambarkan situasi para penuntut di universiti ini. Di sini, para penuntut terlihat diberi kebebasan untuk mengekspresikan idea yang membolehkan mereka berfikir di luar konteks kebiasaan dan secara kreatif dalam keadaan santai.

Di sini penuntut bebas berekspresi. (FOTO ATUN)

5. Reka bentuk seni bina yang moden dan futuristik

Sesuai dengan tahap prestij MIT sebagai universiti terbaik dunia pada usia penubuhan iaitu 158 tahun, reka bentuk seni binanya melambangkan kemodenan dan futuristik. Antara bangunan yang menarik perhatian adalah Ray and Maria Stata Center dan Kresge Auditorium.

Ray and Maria Stata Centre (FOTO ATUN)

Terdapat juga arca unik hasil gabungan nombor dan simbol matematik yang mana ia diberi nama sebagai Alchemist. Arca ini berbentuk seperti seseorang yang sedang berteleku berfikir sambil memeluk lutut.

Alchemist berbentuk manusia yang sedang meneleku berfikir sambil memeluk lutut. (FOTO ATUN

6. 'Brass Rat' untuk penuntut MIT sebagai cincin peringatan

Class Ring (Brass Rat) (FOTO ATUN

Bagi penuntut MIT, mereka akan menerima 'Class Ring' atau dikenali sebagai 'Brass Rat' sebagai cincin peringatan. Reka bentuk cincin ini akan berbeza mengikut kumpulan kemasukan penuntut. Ia mempunyai tulisan Massachusetts dan World di kedua-dua tebing cincin berkenaan. Semasa penuntut di tahun kedua pengajian, Brass Rat akan dipakai dengan tulisan Massachusetts menghadap ke arah muka dan di sebaliknya apabila penuntut tersebut telah tamat pengajian (graduate). Ini simbolik kepada kenyataan bahawa sebagai seorang penuntut, medan di mana mereka perlu berjuang adalah di MIT dan Massachusetts, tetapi apabila telah tamat pengajian cincin tersebut akan diterbalikkan dengan tulisan World pula menghadap ke arah muka dengan bermaksud bahawa penuntut ini akan berjuang di medan yang lebih besar yakni, di persada dunia.

7. Graduate (bergelar graduan) hanya apabila lulus ujian renang

Kolam renang MIT, tempat salah satu syarat sebelum penuntut konvokesyen. (FOTO ATUN)

Setiap pelajar MIT hanya dibenarkan untuk graduate setelah lulus ujian berenang. Ada jenaka berkenaan dengan terdapatnya para penuntut MIT yang menerima skrol ijazah dengan rambut masih basah kerana baru sahaja selesai menjalani ujian renang pada minit terakhir sebelum konvokesyen.

Penulis di hadapan Great Dome MIT. (FOTO ATUN)

*Ts Dr Norpadzlihatun Manap (UTHM) kini merupakan Visiting Researcher di Imperial College London, United Kingdom


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...