> UTARA > Tak dapat balas jasa baik pemberi bantuan, budak jual petai ini akhirnya dapat daftar masuk USM
Tak dapat balas jasa baik pemberi bantuan, budak jual petai ini akhirnya dapat daftar masuk USM
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI Selasa | 3 September 2019

GEORGETOWN - Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, memanjat kesyukuran apabila akhirnya berjaya menyambung pelajarannya di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Perumahan, Bangunan dan Perancangan (Teknologi Bangunan).

Muhammad Izzat yang baru mendaftar pagi tadi berkata, dia amat terhutang budi kepada semua pihak yang membantunya bagi merealisasikan impian melanjutkan pelajaran di menara gading.

Menurutnya, walaupun pada perancangan awalnya ingin menangguhkan pengajiannya kerana masalah kewangan, namun dengan keprihatinan rakyat Malaysia, impiannya kini tercapai.

"Saya amat bersyukur kerana dari bantuan orang ramai, saya dapat membayar yuran pendaftaran dan hari ini, saya sudah mendaftar untuk menyambung pelajaran di USM. Saya amat gembira dan terharu kerana orang ramai sudi bantu saya, walaupun saling tidak mengenali, mereka sudi membantu.
"Saya tidak dapat membalas jasa baik dan budi mereka, hanya ALLAH sahaja yang akan membalasnya. Saya tidak akan sia-siakan peluang ini dan berazam belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian saya sekali gus membantu keluarga di kampung," katanya ketika ditemui media di USM tadi.

Muhammad Izzat adalah anak penoreh getah di Kampung Limau Kasturi 1, Gua Musang yang gigih mencari wang untuk menyambung pengajian dengan membantu ibunya menjaja petai dan sayuran kampung.

Anak ketiga dari 12 adik beradik itu sanggup membuat keputusan tersebut kerana mahu membantu ibu bapanya menambah pendapatan dan perbelanjaan keluarga kerana 10 lagi adik-beradiknya masih bersekolah.

Berita mengenai Muhammad Izzat tular dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang bersimpati dengan kesusahan hidupnya.

Muhammad Izzat yang bercita-cita menjadi perancang bangunan berkata, dia hadir ke pendaftaran pelajar baharu USM dengan ditemani bapa saudaranya yang tinggal di Bayan Lepas.

"Ibu dan bapa tak dapat hadir, dari Kelantan, saya naik bas seorang diri semalam. Saya tumpang tidur di rumah bapa saudara dan hari ini (semalam) terus datang USM untuk mendaftar.
Asma (tengah) berbual dengan beberapa pelajar baharu yang mendaftar masuk bagi sidang akademik 2019/2020 selepas sidang media di USM tadi.
"Walaupun ibu bapa tak dapat datang, tetapi semangat mereka sentiasa bersama saya. Mereka hanya pesan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan. Saya juga mengambil semangat abang dan adik yang kini kedua-duanya sedang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, seramai 4,684 pelajar baharu bagi program pengajian Ijazah Sarjana Muda mendaftar di ketiga-tiga kampus universiti bagi sidang akademik 2019/2020 yang bermula hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 3,268 pelajar ditempatkan di kampus induk, 754 di kampus kejuruteraan manakala 662 di kampus kesihatan.

"Seramai 4,017 daripada puluhan ribu yang memohon program Ijazah Sarjana Muda (Sepenuh Masa) melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU saluran perdana) berjaya mendapat tempat dan ditawarkan program pengajian di USM bagi tahun 2019.
"Sementara pengambilan terus ke USM melalui saluran alternatif yang diteruskan saban tahun bagi program Ijazah Sarjana Muda (Sepenuh Masa) dan Diploma Kejururawatan adalah seramai 289," katanya pada sidang media di USM, semalam.

Tambahnya, USM turut mengambil perhatian terhadap agenda Tanggungjawab Sosial Universiti iaitu terus mengekalkan konsep pengambilan bottom billion.

"Kita juga memberi peluang kepada calon pelajar yang kurang mampu atau daripada golongan tercicir untuk melanjutkan pengajian di USM. Seramai 370 calon daripada kelompok ini telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran pada sidang kali ini.

"Bagi membantu meringankan beban mereka, Yayasan USM dan juga Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq (ZAWAIN) akan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka. Selain itu, seramai 12 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan 15 atlet yang mewakili negara dan negeri terpilih untuk mendaftar sebagai penuntut USM," katanya.

Asma berkata, pada pengambilan sidang ini juga, seramai 237 calon pelajar antarabangsa dari 38 buah negara telah memilih USM antaranya Taiwan, Sri Lanka, Itali, Rusia dan Amerika Syarikat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Alhamdulillah duit dah cukup, terima kasih rakyat Malaysia'


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...