> STAR > “Fokus dan disiplin dalam Ragbi ”…Sameer
“Fokus dan disiplin dalam Ragbi ”…Sameer
MARINA SAHABUDIN ([email protected]) Khamis | 1 Februari 2018

Ragbi merupakan antara sukan popular bagi negara-negara luar berbanding di Malaysia. Nama-nama seperti All Blacks, gelaran bagi pasukan New Zealand, Springbok (Afrika Selatan), Wallabies (Australia), Los Pumas (Argentina) dan Flying Fijians (Fiji) sememangnya tidak asing bagi kalangan peminat ragbi.

Bagaimanapun, tidak mustahil bagi anak Malaysia ini untuk melibatkan diri dalam sukan tersebut meskipun amat sukar untuk menjadi sebaris pemain-pemain ragbi antarabangsa.

Mengakui minat terhadap sukan ragbi bermula dari sekolah menengah, Muhd Sameer Muhd Sani Surinder, dia yakin dan percaya mampu pergi jauh dalam sukan itu suatu masa nanti.

“Pada awalnya saya tidak pernah terfikir untuk menyertai sukan ini, lebih-lebih lagi ragbi bukanlah satu sukan yang popular mahupun hebat di negara ini seperti bola sepak dan badminton. Saya mula terlibat apabila seorang rakan mengajak saya untuk menghadiri sesi latihan bagi pasukan sekolah, tidak sangka pula terpilih,” katanya yang ketika itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria Kuala Lumpur.

star sameer 2
Sameer ingin popularkar sukan ragbi

Pelajar jurusan Kejuruteraan Awam Politeknik Merlimau Melaka ini berkata, minatnya semakin bercambah apabila dia mula mendapat ruang dalam pelbagai kejohanan ragbi di Malaysia.

“Boleh dikatakan saya antara pemain ragbi barisan hadapan pasukan sama ada di peringkat PMM mahupun Malaysia. Mungkin faktor fizikal membuatkan saya mendapat kelebihan tersebut namun bagi saya apa yang penting adalah kesungguhan untuk menjadi yang terbaik. Setiap kali berada dalam sesebuah kejohanan, saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memastikan kemampuan saya di padang dapat ditingkatkan.”

Memiliki ketinggian 186 sentimeter, Sameer antara pemain ragbi Malaysia yang semakin mencipta nama.

star sameer 4
Ketinggian adalah satu kelebihan buat Sameer

“Kalau kita lihat pemain ragbi antarabangsa dan dibandingkan dengan saya, memang sangat jauh bezanya. Cuma di negara ini saya mempunyai kelebihan tersebut berbanding pemain-pemain lain dan saya anggapnya sebagai anugerah daripada ALLAH SWT,” katanya.

Ditanya apakah yang memotivasikan dirinya untuk menjadi pemain yang baik, akui pelajar berusia 20 tahun ini, disiplin diri sentiasa menjadi pegangan.

“Bagi saya disiplin itu sangat penting, walaupun kita hebat di padang tetapi tanpa disiplin yang tinggi amat mudah kita kecundang. Kerana itu apa sahaja saya lakukan dalam bidang ini, saya akan sentiasa utamakan disiplin. Pada masa sama, sifat ingin belajar juga membantu saya untuk menjadi pemain lebih baik bagi setiap kejohanan disertai seperti kemahiran dan kekuatan mental,” katanya.

S/h: Bakal sertai kelab ragbi di Jepun

Walaupun sedar ragbi tidak sehebat sukan lain di Malaysia, jelas Sameer, perkara itu tidak mematahkan semangatnya.

Untitled
Sameer ingin mengharumkan nama Malaysia dalam sukan ragbi

“,” katanya.

Menerusi penglibatannya juga, Sameer telah dirisik untuk bermain bagi kelab ragbi di Jepun.

“Saya telah diminta oleh jurulatih dari New Zealand untuk menghantar resume saya berkenaan perkara itu. Jika ada rezeki dan ditawarkan ke sana, saya akan merebut peluang tersebut untuk pergi lebih jauh dalam sukan ini. Pun begitu, saya masih belum bersedia berhadapan cabaran tersebut. Jadi, saya harus pastikan aspek fizikal, mental, kemahiran dan kemampuan saya di tahap lebih baik,” katanya.

S/h: Cabaran bahagi masa

Sebagai pelajar, Sameer juga berhadapan masalah untuk membahagikan masa belajar dan juga kerjayanya sebagai pemain ragbi.

“Walaupun ia bukan sepenuh masa, adakala saya juga tertekan kerana terpaksa fokus dua perkara dalam satu masa. Buat masa sekarang memang saya cuba yang terbaik untuk memberikan perhatian kepada kedua-duanya,” ujarnya.

star sameer 3
Sebagai pelajar Sameer perlu bijak bahagikan masa untuk bersukan

Kerana mementingkan pelajaran, Sameer juga pernah menolak untuk menyertai kejohanan ragbi yang pernah ditawarkan kepadanya.

“Ketika itu memang saya perlu berikan perhatian penuh kepada pelajaran. Jadi saya ambil keputusan untuk tolak tawaran tersebut. Walaupun kesal, bagi saya ia menjadi pengalaman berharga supaya kita tidak terlalu mendesak diri untuk merebut semuanya sehingga merugikan diri sendiri. Mungkin apabila bersama pemain politeknik atau Malaysia saya masih mampu berhadapan mereka, tetapi jika berhadapan pemain antarabangsa, ia pastinya lebih sukar,” katanya.

Sementara Jurulatih Ragbi Politeknik Malaysia yang juga Penolong Jurulatih Ragbi bawah 19 tahun Malaysia, Mohd Shafie Osman berkata, Sameer mempunyai potensi besar dalam sukan itu.

“Bukan kerana aspek fizikal, tetapi kerana kesungguhannya dalam sukan ini. Sukar mencari atlet yang berdisiplin tinggi seperti Sameer lebih-lebih lagi dia masih muda. Kerana itu dia antara pemain ragbi terbaik di Malaysia yang kita ada dan antara pemain paling bernilai. Setakat ini Sameer masih belum nampak hala tujunya dalam sukan ini, tapi kita yakin dengan pengurusan yang betul, Sameer mampu mengharumkan nama politeknik ini dan Malaysia menerusi bakatnya,” katanya.

star sameer 5
Sameer dan rakan-rakan sepasukan meraikan kemenangan mereka


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hasil dedikasi dan kesungguhan beliau dalam bidang yang diceburi ternyata menjadi kelebihan kepada Profesor Dr. Rajah Rasiah dari Universiti Malaya (UM) dinobatkan sebagai Profesor...
Asal-usul awal permainan sukan hoki bermula pada abad pertengahan di England, Scotland, Perancis dan Belanda. Namun pada hari ini, permainan ini telah dimainkan secara global di...
Bertujuan memupuk kesedaran betapa pentingnya penjagaan alam sekitar serta menghargai anugerah alam semula jadi yang indah dan bersih. Lokasi Sungai Inki, Kalumpang yang terletak...
Pemalsuan produk adalah suatu replika produk asal yang tidak sah. Oleh itu usaha untuk mengurangkan produk palsu diperlukan.
Bermula sebagai hobi seawal usia lapan tahun, siapa sangka dalam usia semuda 21 tahun, seorang pelajar mencipta sejarah sebagai wakil Malaysia pertama dalam menggalas cabaran di...
Mewakili Al-Madinah International University (MEDIU) bagi kerjasama dua hala di peringkat antarabangsa telah membawa kami ke sebuah negara yang terletak di Tengah Afrika, Kenya....