> AKTIVITI KAMPUS > UCSI sahut seruan kerajaan dalam aspirasi pembangunan lestari
UCSI sahut seruan kerajaan dalam aspirasi pembangunan lestari
AMMALINA MUHAMMAD AFFANDI, UCSI  Isnin | 9 April 2018

SDG Conference - Is Malaysia Prepared?’ telah dianjurkan oleh Universiti UCSI buat pertama kalinya demi menyahut seruan kerajaan dalam aspirasi pembangunan lestari.

Agenda persidangan yang bertempat di UCSI kampus Kuala Lumpur ini bertujuan memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran konsep sasaran pembangunan lestari atau SDG kepada mahasiswa institusi pendidikan tinggi di Malaysia, serta menilai tahap kesediaan Malaysia untuk menuju ke arah sasaran pembangunan lestari.

Untitled
Ucapan pembukaan daripada Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI, Profesor Kanan Datuk Dr Khalid Yusoff.

“Sebagai salah-satu institusi pendidikan tinggi swasta yang terbaik di Malaysia, Universiti UCSI memberi komitmen sepenuhnya untuk melaksanakan agenda sasaran pembangunan lestari. Kami telah melancarkan beberapa inisiatif, acara dan aktiviti menarik seperti persidangan ini bagi mempraktikkan usaha pelaksanaan SDG pada tahap pendidikan tinggi,” kata Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI, Profesor Kanan, Datuk Dr Khalid Yusoff ketika di awal sesi persidangan.

3
Leong Sat Sing, melancarkan laman web ‘MySDGStep’ sebagai salah satu inisiatif SDG.

Untuk menghangatkan lagi semangat pembangunan lestari yang membara di persidangan ini, Naib Presiden Hal Ehwal Korporat UCSI Group, Leong Sat Sing, telah melancarkan laman web ‘MySDGStep’ yang membolehkan penuntut dan masyarakat berkongsi aktiviti dan acara mereka serta memulakan perbincangan yang berkaitan dengan pembangunan lestari.

Laman web ini menjadi persinggahan sebagai ruang perkongsian digital masyarakat untuk bertukar-tukar pendapat dan memberi tips antara satu sama lain bagi mempraktikkan usaha menuju ke arah agenda pembangunan lestari.

2
Pembentangan dari wakil penuntut UCSI, Youth Beyond Boundaries.

Selain itu, majlis ini diserikan lagi dengan pembentangan wakil pelajar UCSI yang dikenali sebagai ‘Youth Beyond Boundaries’ mempamerkan acara dan aktiviti-aktiviti yang pernah dan bakal diadakan oleh UCSI demi mempraktikkan agenda SDG.

Professor Datuk Dr. Ahmad Ibrahim, selaku penceramah utama mengambil alih pentas UCSI dengan membentangkan topik yang memfokuskan kepada impak sasaran pembangunan lestari secara global menuju ke arah tahun 2030. Beliau membangkitkan beberapa perkara penting seperti sikap tidak endah terhadap perubahan iklim, penyalahgunaan sasaran SDG untuk agenda lain dan mempersoalkan sama ada generasi baharu yakin dengan kepentingan SDG ini.

1
Profesor Datuk Dr. Ahmad Ibrahim, sebagai Penceramah Utama yang membentangkan tentang impak pembangunan lestari secara global.

Perkara-perkara ini diikuti dengan laporan statistik daripada kad laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk memperlihatkan situasi terkini yang boleh diperbaiki dan dinaiktaraf demi mencapai kata sepakat menuju ke arah pembangunan lestari.

Seterusnya adalah sesi forum pertama yang membincangkan tentang situasi dan pelaksanaan SDG yang terkini di Malaysia di mana ahli panel menekankan bahawa perancangan strategik perlu dipraktikkan oleh pihak kerajaan dan kementerian untuk memastikan bahawa sasaran pembangunan lestari dilaksanakan dengan betul, terutamanya untuk sumber-sumber semula jadi.

Pengarah Sains dan Alam Sekitar Majlis Minyak Sawit Malaysia, Dr Ruslan Abdullah, berkata, agensi kerajaan sepatutnya bekerjasama dan melakukan kolaborasi, bukan sekadar hanya mencipta divisyen baharu.

Beliau turut disertai oleh, Penasihat Persatuan Perlindungan Alam Sekitar, Gurmit Singh, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Mohamad Razif Hj Abd Mubin, profesor di Sekolah Perdana Polisi Sains, Teknologi dan Inovasi, UTM Profesor Datuk Ir. Dr. Abu Bakar Jaafar, dan Pengurusan Alam Sekitar, Universiti UCSI, Datuk Ahmad Ibrahim.

5
Sesi forum pertama membincangkan tentang situasi dan pelaksanaan SDG yang terkini di Malaysia.

Untuk sesi forum seterusnya, topik menarik yang dibincangkan adalah implikasi SDG atau sasaran pembangunan lestari pada tenaga, kajian dan perniagaan untuk siap sediakan universiti, dikendalikan oleh Profesor Dr Tajudin Mohd Radsi dari Universiti UCSI. Sekalian ahli panel bersetuju bahawa pelaksanaan SDG boleh diusahakan dengan menerapkan nilai kemanusiaan kepada generasi baharu.

“Pengenalan sistem purata nilai gred kumulatif bersepadu (iCGPA) oleh Kementerian Pendidikan akan menggalakkan lagi pelaksanaan SDG. Penilaian ini akan membentuk pelajar supaya menjadi lebih pro-aktif, untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti mahasiswa di mana ia akan mewar-warkan tentang nilai dan kepentingan sasaran pembangunan lestari”, kata Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar.

Turut serta dalam sesi panel kedua ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Naib Presiden Kanan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Dr Raslan Ahmad, Naib Presiden Kanan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Profesor Dr Nik Meriam Nik Sulaiman dari Universiti Malaya.

4
Sesi forum kedua yang membincangkan tentang implikasi SDG atau sasaran pembangunan lestari pada tenaga, kajian dan perniagaan untuk siap sediakan universiti.

Persidangan hasil usaha Universiti UCSI ini diakhiri dengan kata-kata semangat daripada Timbalan Naib Cancelor, Hal-Ehwal Pelajar & Alumni Universiti UCSI, Profesor Madya Ir. Dr. Jimmy Mok Vee Hoong, yang menggalakkan para penuntut yang hadir untuk mewar-warkan kepentingan sasaran pembangunan lestari dan mula mengorak langkah pelaksanaan SDG untuk menuju ke arah masa depan yang lebih cemerlang untuk diri sendiri, negara dan dunia.

6
Ucapan penutup daripada Profesor Madya Ir. Dr. Jimmy Mok Vee Hoong.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...