> STAR > Wow! Fenrir, wakil tunggal Malaysia cipta sejarah dalam kejohanan yang mampu beri hasil lumayan
Wow! Fenrir, wakil tunggal Malaysia cipta sejarah dalam kejohanan yang mampu beri hasil lumayan
HIDAYAH HAIROM Isnin | 5 Februari 2018

Bermula sebagai hobi seawal usia lapan tahun, siapa sangka dalam usia semuda 21 tahun, seorang pelajar mencipta sejarah sebagai wakil Malaysia pertama dalam menggalas cabaran di kejohanan terbesar permainan sukan elektronik peringkat dunia.

Muhamad Luqman Haziq Hajiman atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Fenrir’ adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia sukan elektronik FIFA18 di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa.

Mula bergiat aktif dalam dunia sukan elektronik FIFA sejak dua tahun lalu, Fenrir kini tidak mahu lagi toleh ke belakang dengan terus menyertai pelbagai peringkat kejohanan yang mampu memberi hasil lumayan.

Dalam cabaran terbaharu, Fenrir menjadi satu-satunya wakil tunggal Malaysia dan Asia Tenggara di kejohanan FIFA eWorld Cup Playoff di Barcelona, Sepanyol pada 26 hingga 28 Januari ini sekali gus menyaksikan penyertaan pertama Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih dalam tempoh 14 tahun berlangsungnya kejohanan itu di serata dunia.

Kejohanan menawarkan hadiah berjumlah USD 200,000 (bersamaan RM814,000) dan lebih membanggakan Fenrir terpilih dari lebih 6 juta pemain dari seluruh dunia bersaing untuk merebut tempat di kejohanan ini.

NEW FENRIR
Dari kiri, Muhammad Fazli, Pengasas Gamesbond Suki Lee dan Fenrir.

Tempat 49 terbaik dunia

Berkongsi pengalaman, Fenrir yang juga pelajar tahun kedua jurusan kewangan di Universiti Malaya (UM) berkata, bukan mudah untuknya mencapai tahap sehingga membuatkannya terpilih sebagai wakil ke kejohanan terulung itu yang turut diwakili atlet Asia lain dari dari Arab Saudi dan Jepun.

Menurutnya, pada peringkat saringan pada bulan November, dia harus memenangi sebanyak mungkin perlawanan FIFA Ultimate Team (Weekend League) daripada 160 perlawanan.

“Saya memenangi 154 perlawanan dari 160 jumlah perlawanan untuk ditempatkan dalam kedudukan 49 terbaik di dunia. Pihak penganjur iaitu FIFA dan EA Sport memilih 64 pemain terbaik di dunia bagi konsol Playstation 4 untuk ke kejohanan berkenaan.

“Lapan yang terbaik akan dipilih untuk ke peringkat seterusnya dan meneruskan cabaran sehingga ke Grand Final di Russia,” katanya yang juga pernah menjadi kapten pasukan bola sepak peringkat sekolah satu ketika dulu.

NEW FENRIR2
FENRIR

Keluarga sokong sepenuhnya

Memperuntukkan masa kira-kira 30 jam seminggu untuk berlatih dalam permainan sukan elektronik, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui sokongan yang diberikan ibu bapa menjadi pemangkin semangatnya untuk mengembangkan lagi hobi itu.

Namun peminat Manchester City ini tidak terkecuali daripada sentiasa diingatkan agar tidak terlalu leka dengan permainan sukan elektronik sehingga mengabaikan pelajaran.

“Apa yang penting dalam hidup ini kena seimbang. Perlu ada jadual dan pembahagian masa yang baik. Saya selalu pegang pada kata-kata ayah play hard, work hard.

“Dalam masa sama saya juga tidak pernah meninggalkan aktiviti sukan luar seperti futsal dan badminton sebagai bentuk satu gaya hidup sihat,” katanya.

Gamesbond urus atlet sukan elektronik

Pada ketika ini, Fenrir diuruskan bawah pengurusan Gamesbond iaitu pusat sukan elektronik Playstation 4 terkemuka dan organisasi yang aktif menjalankan kejohanan sukan elektronik FIFA 18 di Malaysia.

NEW FENRIR1
Fenrir memenangi tempat kedua dalam perlawanan FIFA 18 Malaysia Cyber Game 2018 baru-baru ini.

Pengarah Urusan Gamesbond, Muhammad Fazli Razak, berkata, sebelum ini Gamesbond berpengalaman membawa atlet sukan elektronik Malaysia; Amtuah ke kejohanan antarabangsa di Paris, Perancis pada tahun 2016.

“Fenrir mendapat tajaan sepenuhnya dari LG Malaysia (LG Gaming Monitor) dan eGG Network bagi urusan ke kejohanan berkenaan. Ini satu langkah yang baik dari LG Malaysia untuk memperkenalkan produk mereka iaitu monitor gaming untuk pemain-pemain sukan elektronik khususnya konsol.

“Untuk perkembangan Fenrir dan Gamesbond di Barcelona, Sepanyol nanti, peminat dan pengikut FIFA 18 boleh berkongsi pendapat dan memberikan sokongan melalui Instagram dan Twitter mereka iaitu @luqmanhzq dan @gb_gamesbond; Facebook www.fb.com/gamesbond2015,” katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Seawal usia lapan tahun lagi, Ahmad Faris Yusof, 22, mula menunjukkan minat mendalam terhadap sukan berkuda dan ia masih lagi menjadi sukan pilihannya sehingga sekarang.Menurut...
Datuk Dr PB Ashok (Pengarah Pengurusan, Kolej Antarabangsa Cyberlynx) Ke mana arah tuju bola sepak?Kemungkinan besar inilah persoalan yang mungkin difikirkan kita sejajar...
SEORANG sukarelawan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia cawangan Mesir (YDKMM Mesir), dilantik sebagai Timbalan Ketua Hal Ehwal Pelajar dalam organisasi tertinggi Parlimen...
HULU TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini proaktif menggerakkan program sahsiah diri dan motivasi kepada pelajar serta ibu bapa di negeri ini.Terbaharu,...
KUALA LANGAT - Seramai 175 penuntut Politeknik Banting menyertai Rela Siswa Siswi (Relasis) sebagai menyahut seruan penubuhan dan hala tuju baharu Jabatan Sukarelawan Malaysia...
Anis Amira Basri atau lebih mesra dengan panggilan Anis, salah seorang penyumbang pingat gangsa dalam acara petanque.