U-8Tive > STAR > Apa rakan baik Jannah dah buat sehingga dia jadi seperti sekarang?
Apa rakan baik Jannah dah buat sehingga dia jadi seperti sekarang?
ZUBIR SULAIMAN 24 April 2018
MULA bergelar atlet negeri sejak berusia 8 tahun, mendorong Siti Nurul Jannah Mohd Razali, 21 meneruskan minatnya dalam sukan skuasy walaupun sedar terpaksa berdepan cabaran getir apatah lagi dia kini bergelar mahasiswa di Fakulti Infomatik dan Komputeran (FIK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana perlu membahagikan masa dengan seimbang antara sesi latihan dan menelaah pelajaran untuk meraih segulung Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) ISM Teknologi Maklumat (Informatik Media) sebagaimana diimpikan.

Begitu pun, minat mendalam mengatasi segala-galanya buat Siti Nurul Jannah atau lebih mesra dengan panggilan Jannah yang kini kembali memasang impian untuk berada dalam ranking terbaik sukan itu terutamanya di peringkat penganjuran Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan juga Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum).

Jannah merakam kenangan bersama bekas atlet skuasy negara, Sharon Wee ketika menyertai Liga Skuasy IPT buat kali pertama, tiga tahun lalu.

Menceritakan penglibatannya dalam sukan itu, Jannah berkata, ia bermula daripada ajakan rakan bapanya, Ahmad Ammedza Asrhad yang ketika itu sedang mencari atlet muda untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi khususnya bagi mewakili Terengganu.

“Jadi, bermula dari situ saya mula mempelajari teknik-tenik asas sukan skuasy di bawah bimbingan Ahmad Ammedza yang juga bertindak sebagai salah seorang jurulatih negeri.

“Sepanjang memulakan karier sebagai atlet sukan skuasy, saya berjaya mengekalkan prestasi terbaik selaku juara bertahan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) sejak 2005 sehingga 2013 dan naib juara ketika berada di tingkatan 5 (2014) kerana terpaksa fokus untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Merakam kenangan bersama-sama atlet yang menyertai sirkit pertama Liga Skuasy IPT di Melaka.

Pernah kecewa

Pemegang Diploma Teknologi Maklumat, UniSZA itu mengakui prestasinya sedikit menurun sejak mula-mula menyambung pengajiannya tiga tahun lalu kerana perlu menyesuaikan diri setelah bergelar mahasiswa sehingga terpaksa mengurangkan sesi latihan.

Bagaimanapun katanya, peluang untuk mewakili UniSZA dalam Liga Skuasy IPT 2015 kembali memberi nafas baharu buatnya untuk mengulangi kegemilangan dalam sukan itu dan penampilan pertamanya membuahkan hasil apabila berjaya meraih gelaran naib juara pada sirkit pertama yang berlangsung di Pusat Sukan, Stadium Hang Jebat, Melaka.

“Bermula dari situ saya mula menggandakan usaha untuk memburu kejayaan, namun nasib tidak menyebelahi saya apabila sekadar meraih tempat ketiga pada sirkit kedua di Pusat Sukan Skuasy, Bukit Jalil.

Siti Nurul Jannah dinobatkan selaku naib juara pada aksi Grand Final Liga Skuasy IPT 2015 di Universiti Malaya.

“Begitu pun, kekecewaan pada sirkit kedua akhirnya berbalas apabila saya kembali meraih gelaran naib juara pada aksi Grand Final yang berlangsung di Pusat Sukan Universiti Malaya walaupun tewas kepada atlet Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur, Adele Han May Jen sekali gus memberikan suntikan semangat untuk terus melakarkan kejayaan bersama-sama UniSZA,” katanya.

Nicol David, Nour El Sherbini jadi idola

Menjadikan pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David dan bintang skuasy dari Mesir, Nour El Sherbini sebagai idolanya, Jannah kini bertekad untuk memperbaiki rankingnya selepas sekadar berada di kedudukan kelima dalam saingan SUKIPT yang melabuhkan tirainya Februari lalu.

Katanya, pada saingan SUKIPT dua bulan lalu ranking pertama diungguli rakan baiknya sendiri Nurina Mohd Najib (UiTM Shah Alam) yang juga atlet kelahiran Terengganu dan mereka pernah menjalani latihan bersama sejak sekolah rendah lagi.

“Malah kejayaan Nurina juga menjadi perangsang kepada saya untuk memberi saingan lebih sengit lagi menjelang temasya Liga Skuasy IPT 2018 yang dijadualkan membuka tirainya penghujung Jun depan.

“Insya-ALLAH saya kini sedang menjalani latihan dan akan berusaha untuk memperbaiki mutu permainan sekali gus berada dalam kelompok terbaik pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Jannah turut mengimpikan aksi di peringkat lebih tinggi terutamanya dalam Kejohanan Universiti Asean dan menyifatkan ia bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan sekiranya dia terus menjalani latihan dengan lebih konsisten.

Siti Nurul Jannah merakam kenangan bersama atlet luar negara yang menyertai Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Pulau Pinang edisi ke-13 pada 2015.
PROFIL

Nama : Siti Nurul Jannah Mohd Razali

Umur: 21 tahun

Asal : Kuala Terengganu

Tinggi: 164 sm

Pendidikan:

-SK Teluk Ketapang (2004-2009)

-SMK Kompleks Gong Badak (2010 -2014)

-Diploma Teknologi Maklumat (2015 - 2017)

-Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) ISM Teknologi Maklumat (Informatik Media) – Tahun 2

Pencapaian sukan skuasy:

-Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 – tempat kelima

-SUKPIT 2016 – tempat keempat

-Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) – tempat keempat

-Grand Final Liga Skuasy IPT 2015 – Naib Juara

-Terbuka Remaja Antarabangsa Pulau Pinang edisi ke-13 – kelapan

-Sukma Perlis (2014) – suku akhir

-Sukma Pahang (2012) – suku akhir

-MSST 2014 - Naib juara

-MSST 2005 hingga 2013 – Juara



Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...