> AKTIVITY MPP > MPP USIM Bersamamu agih juadah sahur di setiap kolej 
MPP USIM Bersamamu agih juadah sahur di setiap kolej 
WAN NUR AFIQAH WAN ZAIHAN, USIM Khamis | 31 Mei 2018

Bulan Ramadan merupakan bulan penuh rahmat yang membawa seribu satu erti bagi semua umat Islam dan pastinya mereka tertunggu-tunggu untuk menyambut kedatangan bulan mulia ini. Setiap kali bulan Syaaban menjengah, tentunya seluruh umat Islam tidak melepaskan peluang untuk memanjatkan doa kepada Ilahi agar dipanjangkan umur dan diberi peluang merasai lagi kemuliaan Ramadan yang hanya menyapa sekali dalam setahun.

Dengan tawaran pahala berlipat kali ganda, pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, siapa yang tidak rindu untuk kembali ditarbiahkan oleh bulan suci ini? Segala fadilat dan keistimewaan sepanjang tahun seakan-akan terkumpul di dalam satu bulan yang mana lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam al-Qadr, syaitan dibelenggu, peluang sembahyang sunat tarawih, peluang berkongsi rezeki melalui zakat fitrah dan banyak lagi. Hal ini menjadikan umat Islam seluruh dunia sentiasa teruja dan ternanti-nanti kedatangan bulan penyucian diri ini yang turut diberi jolokan ‘Madrasah Ramadan’.

Jika di bulan-bulan biasa kita dapati ada sesetengah restoran akan menyajikan buah dan air sirap percuma pada setiap hari Jumaat, tetapi di dalam bulan Ramadan pula lebih daripada itu. Kita dapat lihat ramai dermawan yang berpusu-pusu untuk menyumbangkan juadah berbuka puasa secara percuma di masjid pada setiap hari bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan lebih-lebih jika kawasan tersebut merupakan kawasan yang menempatkan kolej kediaman universiti.

Atas kesedaran itu juga, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (MPP USIM) tidak melepaskan peluang menghulurkan tangan bagi meringankan beban segenap mahasiswa dan penduduk setempat dengan penganjuran program Jelajah Ramadan: USIM Bersamamu selama dua hari iaitu pada 19 Mei 2018 dan 22 Mei 2018.

MPP USIM bersiap sedia dari bilik gerakan sebelum program bermula.
MPP USIM bersiap sedia dari bilik gerakan sebelum program bermula.

Program yang bermula pada jam 4 pagi ini dilaksanakan oleh MPP Usim sendiri dengan mengagihkan lebih kurang 900 bungkus juadah sahur percuma di setiap kolej kediaman Usim serta kawasan perumahan berdekatan dan sekitar jam 5:30 pagi, program ini melabuhkan tirainya. Di samping itu, program yang bertujuan memupuk rasa tanggungjawab dalam diri mahasiswa untuk berkhidmat kepada komuniti terdekat ini juga mampu menjadi wahana dalam menjalinkan hubungan silaturahim yang lebih akrab dengan masyarakat setempat agar mahasiswa dan masyarakat mampu menjadi umpama isi dan kuku.

Naib Yang Dipertua 1 MPP, Zulfikri Hakimi (dua dari kanan) menyerahkan juadah sahur kepada mahasiswa semasa program USIM Bersamamu.
Naib Yang Dipertua 1 MPP, Zulfikri Hakimi (dua dari kanan) menyerahkan juadah sahur kepada mahasiswa semasa program USIM Bersamamu.

Antara mahasiswa yang menerima juadah sahur.
Antara mahasiswa yang menerima juadah sahur.

Menurut Paradila Mohd Zulpizar, penghuni Kolej Kediaman Sutera Indah Usim, program seperti ini dapat menyuntik lagi semangat mahasiswa dalam menjalani ibadah puasa walaupun dilanda kesibukan kerana dapat menunaikan sahur serta ibadah sunat bersama-sama rakan serumah sambil menunggu pengagihan juadah bermula.

“Kebiasaannya bulan Ramadan ini selain berpuasa menahan lapar dan dahaga, pelajar juga cuba untuk ‘berpuasa’ daripada berbelanja kerana bulan puasa ini sahaja kami betul-betul dapat menunaikan azam untuk berjimat-cermat. Jadi, dengan adanya sumbangan untuk sahur dan berbuka puasa dapat membantu kami dalam melunaskan azam untuk berjimat-cermat itu. Terima kasih MPP!,” tambahnya.

Program Jelajah Ramadan: USIM Bersamamu ini bakal diteruskan lagi pada hari Selasa selepas minggu kali pertama program ini dijalankan dengan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada keluarga fakir miskin di sekitar Nilai.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...