U-SHARE > IKON > Demi cinta bahasa al-Quran, Siti Aisyah mahu dikenali pendebat bahasa Arab terbaik
Demi cinta bahasa al-Quran, Siti Aisyah mahu dikenali pendebat bahasa Arab terbaik

BERBAKAT dan minat dalam bidang debat, itulah yang dimiliki personaliti Ikon kali ini, Siti Aisyah Baharuddin. Baru mencecah usia 21 tahun, Siti Aisyah atau juga dikenali dengan panggilan Isya, menceburi bidang ini sejak dari sekolah rendah lagi.

Menurut Siti Aisyah, debat baginya dapat mengajar untuk berfikir secara kritis dan ini juga merupakan platform untuknya banyak membaca dan mengkaji tentang isu semasa.

“Saya bermula dari sekolah rendah apabila Madrasah Al-Sagoff, Singapura memilih saya untuk mewakili sekolah pada 2013. Pada waktu itu, terus-terang, saya tak punya keyakinan langsung pun terhadap debat dan bahasa Arab sendiri. Namun, lama-kelamaan saya terbiasa dan timbul pula rasa minat terhadap debat,” katanya.

Kemenangan pertama pada 2016 ketika mewakili Al-Sagoff Al-Arabiah.

Malah, menurutnya lagi, disebabkan minatnya terhadap bahasa al-Quran semakin bercambah sejak menceburi bidang debat, membuatkannya kini memilih pengajian Bahasa Arab dan Linguistik di Universiti Malaya (UM).

“Selain itu, pendebat-pendebat yang saya temui sepanjang pertandingan juga banyak memberikan motivasi dan inspirasi untuk jadi hebat seperti mereka.

“Debat ni dapat mengajar saya pelbagai aspek yang kita tak akan jumpa di dalam kelas seperti berbincang tentang isu politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Daripada kes-kes inilah debat dapat mengajar kita bagaimana untuk menilai sesuatu fakta itu betul atau salah.

Kemenangan pertama sejak di UM bersama jurulatih dan almuni.

“Saya berterima kasih kepada ibu bapa, juga yang sentiasa menyokong saya; ustaz, ustazah, senior-senior debat serta kawan-kawan di Singapura dan Malaysia. Sokongan mereka membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus melibatkan diri dalam arena perdebatan ini,” katanya yang merupakan Presiden Kelab Debat Bahasa Arab UM.

Ibu dan ayah banyak mendorong Siti Aisyah agar sentiasa meningkatkan kemahiran diri.

JANGAN MUDAH PUTUS ASA

Siti Aisyah yang juga merupakan Exco Akademik bagi Kelab Bahasa Arab di jabatan pengajiannya serta Exco Programmer bagi persatuan pelajar-pelajar Singapura di UM (UMSC), tidak menafikan, perasaan takut tetap ada setiap kali menjejak pentas debat.

“Pernah, pada 2013, sewaktu pertandingan pertama saya di Usim (Universiti Sains Islam Malaysia), saya menangis pada pusingan pertama kerana pada waktu itu kami belum sediakan apa-apa pun isi untuk tajuk debat berkenaan.

“Hujah saya berakhir selama 5 minit sahaja, walhal masa yang diberikan ialah 7 minit. Tapi, alhamdulillah kami tetap menang bagi pusingan itu disebabkan kerjasama pasukan,” katanya yang merupakan salah seorang pendebat dalam pasukan UM apabila dinobatkan johan dalam Pertandingan Debat IADO 2018 di UIAM.

Aisyah bersama pasukannya meraikan kejayaan apabila dinobatkan Johan debat IIADO (2018) baru-baru ini.

Dalam debat, tambah Siti Aisyah, perkara paling penting ialah keyakinan diri.

“Jangan disebabkan berasa bahasa Arab kita itu lemah, kita cepat berputus asa. Kita harus mencuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik agar dapat kita atasi ketakutan yang ada dalam diri. Don’t ever give up!,” katanya berkongsi motivasi.

Disebabkan kegigihan itu juga, Siti Aisyah berjaya mengumpul piala dan medal pertandingan debat sama ada di Singapura mahupun Malaysia.

“Mungkin juga disebabkan saya warga Singapura, jadi pencapaian saya di sini (Malaysia) pun terbahagi kepada dua,” selorohnya.

Walaupun debat merupakan antara aktiviti kurikulum pilihan pertamanya, pelajaran tetap menjadi keutamaan.

“Biasanya saya akan habiskan kerja-kerja yang berkaitan dengan pengajian dahulu sebelum meneruskan dengan aktiviti debat. Kadang-kadang, ada je waktu yang mana saya siapkan kerja di bilik debat,” katanya.

PROFIL

Nama: Siti Aisyah Baharuddin

Asal: Singapura

Adik-beradik: 4 orang, anak bongsu

Pendidikan:

- Madrasah Al-Sagoff Al-Arabiah, Singapura

- Kini sedang mengikuti jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan, UM

Pencapaian:

- Johan Debat Piala Mufti 2016 (Singapura)

- Tempat ketiga bagi Pertandingan Debat Nusantara 2013 di Usim

- Tempat ketiga bagi Pertandingan Debat Nusantara 2014 di Usim (mendapat anugerah 10 pendebat terbaik)

- Tempat ketiga bagi Pertandingan Debat Musleh Bahasa Arab di UTM (mendapat anugerah 10 pendebat terbaik)

- Tempat ketiga bagi Pertandingan Debat Maal Hijrah 2016 di UIAM

- Johan bagi Pertandingan Bahasa Arab Sedunia 2017 di Usim

- Johan bagi Pertandingan Debat IADO 2018 di UIAM (mendapat anugerah 10 pendebat terbaik)

Antarabangsa:

- Memenangi 2/5 (berdebat bersama orang Arab) peringkat pusingan di Universiti Qatar, 2018


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...