> > Korban masa tidur, kurangkan layan laman sosial, akhirnya apa yang Nur Fatin Ajeera dapat memang mengejutkan!
Korban masa tidur, kurangkan layan laman sosial, akhirnya apa yang Nur Fatin Ajeera dapat memang mengejutkan!

USAHA dan kegigihan selama empat tahun mendalami bidang Kejuruteraan Biokimia dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (dengan Kepujian) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ternyata membuahkan hasil membanggakan buat diri Nur Fatin Ajeera Mohd Isa, 24, apabila berjaya menamatkan pengajian dengan mengumpul CGPA 3.65/4.00 menerusi tesis tahun akhir sekali gus menganugerahkannya Special Price Winner (Chemical) bagi Tan Sri Ir. Hj. Yusoff Ibrahim Best Final Year Project Competition 2017 di bawah Dana Pendidikan Institut Jurutera Malaysia atau Institution of Engineers Malaysia (IEM) pada majlis konvokesyen universiti berkenaan baru-baru ini.

Nur Fatin menunjukkan anugerah yang diterima. (Poster oleh unit ICT, FKAB, UKM).

“Saya telah berjaya menjilid tesis bertajuk Proses Penulenan Asid Suksinik dari Medium Sintetik dan Campuran Kaldu Fermentasi melalui Kaedah Penghabluran, yang mana kajian ilmiah saya ini menyimpan banyak momen lantaran ia menuntut pengorbanan masa tidur, rehat dan belajar bagi menyiapkan uji kaji makmal terperinci dan mendalam sehingga perlu mengulang eksperimen berulang kali selagi tidak mendapat keputusan memuaskan,” katanya yang banyak merujuk pensyarah penyelianya, Prof. Dr. Jamaliah Md. Jahim bagi projek ini.

Ketika menjalankan uji kaji makmal bagi menyiapkan tesis.

Menurut Nur Fatin, semuanya bermula dari minat selain kesungguhan mendalam terhadap subjek Kimia, Biologi dan Fizik sejak dari sekolah menengah lagi.

“Pada pendapat saya, Kejuruteraan Biokimia ini merangkumi banyak aspek, proses serta melibatkan pelbagai industri. Bidang ini juga begitu luas cabangnya dan ini telah memberikan saya keyakinan dan tekad dalam memilihnya, kerana bagi saya, ia mampu menjanjikan banyak peluang pekerjaan yang baik dan menarik pada masa hadapan,” ujarnya sambil menambah, dorongan dan nasihat daripada bapa, Mohd Isa Mirah Yusof dan ibu, Anisah Adnan telah memberikan kekuatan, iltizam serta semangat kepadanya memilih bidang ini, seterusnya memberikan motivasi bagi menghabiskan pengajian selama tempoh berkenaan.

Bersama keluarga selepas majlis konvokesyen.

WAKIL UNIVERSITI

Sepanjang menuntut di UKM, selain memberikan tumpuan penuh terhadap pelajaran, Nur Fatin juga banyak melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kelab, antaranya, anjuran Kelab Kejuruteraan Kimia dan Proses (CheSC), di bawah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (JKKP), Fakulti Kejuruteraan dan Alam bina (FKAB), UKM.

Ketika menyertai Pertandingan ChemE-car Peringkat Kebangsaan Kali Ke-10 (2015).

Salah satu penglibatan cemerlangnya apabila berpeluang memasuki Pertandingan ChemE-car Peringkat Kebangsaan Kali Ke-10 (2015) anjuran IEM mewakili UKM bersama-sama tiga orang rakan lain dalam satu kumpulan ketika berada di tahun 2 pengajian.

“Para peserta perlu bekerja dan bergerak dalam sebuah pasukan untuk mengubahsuai dan membina sebuah kereta bersaiz kotak kasut yang dikuasakan dengan proses kimia dengan bajet yang minima. Apa yang menariknya, melalui pertandingan ini, saya dan rakan sekumpulan belajar untuk menyelesaikan masalah, berfikir secara kritikal dan dapat mempelajari pelbagai benda baru secara saintifik. Pertandingan ini juga memberikan kami banyak ilmu baru dan mendidik untuk menjadi seorang yang berani mengambil risiko dan cabaran,” imbasnya.

Kereta mainan yang dihasilkan kumpulannya mengguna proses kimia (sel elektrokimia) semasa menyertai Pertandingan ChemE-car Peringkat Kebangsaan 2015.

BAHAGI MASA

Menurut Nur Fatin yang mengharapkan kejayaan diperolehnya dapat menjadi motivasi kepada pelajar lain, bagi memastikan tiada pertindihan antara aktiviti dan pembelajaran, biasanya dia akan menulis segala perkara yang perlu dibuat bagi sepanjang minggu setiap hari.

“Saya akan mengutamakan aktiviti atau kerja yang penting terlebih dahulu dan akan meletakkan fokus seratus peratus dengan kerja yang dilakukan. Juga disiplinkan diri untuk tidak menangguhkan kerja dan mengurangkan masa melayari laman sosial di samping mengamalkan konsep tidur awal dan bangun awal setiap hari.

“Nasihat saya kepada junior, mereka perlulah sentiasa berfikiran positif dalam setiap perkara yang dilakukan. Dalam apa-apa yang dilakukan perlulah mempunyai niat yang betul dan baik dan tidak mudah patah semangat dengan segala ujian yang datang. Jadikan ujian dan cabaran sebagai pembakar semangat dalam mengejar kejayaan. Dan paling penting, sentiasa bertanya khabar ibu dan ayah di kampung serta sentiasa meminta restu mereka dalam apa-apa perkara yang dilakukan. Dan, jagalah hubungan baik dengan Tuhan dan sentiasa ingat kepada-Nya di waktu senang mahupun susah. Cakap dan doalah baik-baik. Insya-ALLAH, ALLAH Maha Mendengar. Motto saya: Have faith in ALLAH, great things take time, slowly but surely. Never lose hope, J,” kongsinya yang kini berkerjaya sebagai jurutera pembangunan.

PROFIL:

Nama: Nur Fatin Ajeera Mohd Isa

Umur: 24 tahun (20 Februari 1994)

Asal: Kulai, Johor

Adik-beradik: 2 orang - anak sulung

Pendidikan:

- Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai 2 (SKTKK2), Kulai

- Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra (SMKBP), Kulai

- Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor (1 tahun)

- Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biokimia, UKM (4 tahun)

Pencapaian:

- Mewakili UKM dalam pertandingan ChemE-Car Peringkat Kebangsaan Ke-10 (2015)

- Mendapat anugerah Special Price Winner (Chemical) bagi Tan Sri Ir. Hj. Yusoff Ibrahim Best Final Year Project Competition 2017 di bawah Dana Pendidikan The Institution of Engineers, Malaysia (IEM)


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...