> JOHOR > UTHM, Sena Traffic System jalin kerjasama buka pusat penyelidikan
UTHM, Sena Traffic System jalin kerjasama buka pusat penyelidikan
BERNAMA Isnin | 10 September 2018

JOHOR BAHRU - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menandatangani surat hasrat (LoI) dengan Sena Traffic System (STS), Rabu lepas, bagi membuka pusat penyelidikan di kampus induk universiti berkenaan di Parit Raja dekat Batu Pahat.

Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly berkata, jaringan kerjasama yang ditandatangani beliau dan Pengarah Urusan Kumpulan Sena, Datuk Tan Boon Hock di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UTHM itu sekali gus dapat memastikan graduan yang dilahirkan lebih kompeten manakala penyelidikan yang dilakukan menepati kehendak industri.

"Antara inti pati LoI ini ialah STS akan mengambil langkah strategik dengan membuka pusat penyelidikan di kampus induk UTHM bagi memastikan pelajar dan penyelidik universiti ini mendapat maklumat dan data dengan pantas selain sentiasa mendapat kerjasama yang berterusan daripada pihak industri.

"Selari dengan hala tuju Kementerian Pendidikan supaya universiti berusaha mencari dana, maka melalui kerjasama ini UTHM juga berupaya menjana pendapatan sendiri melalui sewaan ruang,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Wahid berkata, UTHM merupakan universiti teknikal yang berupaya membantu merealisasikan hasrat STS menghasilkan produk untuk pasaran bandar pintar.

Beliau berkata, Teknologi Industri 4.0 yang diguna pakai dalam kerjasama tersebut amat bersesuaian dengan hala tuju negara dan pelajar UTHM juga akan turut mendapat pendedahan praktikal.

"Pihak UTHM amat kagum dengan sistem lampu trafik canggih yang dibangunkan oleh STS kerana ia berupaya mengurangkan kesesakan jalan raya dan ini dapat mengurangkan pelepasan karbon yang menjadikan bandar-bandar di Malaysia lebih mesra alam.

"Melalui kerjasama ini, saya melihat masyarakat setempat terutama sekolah berdekatan juga akan mendapat manfaat melalui aktiviti tanggungjawab sosial yang boleh dilakukan bersama oleh UTHM dan STS.

"Pendedahan aktiviti penyelidikan bandar pintar boleh menjadi pemangkin pelajar sekolah untuk mendalami bidang sains dan teknologi yang amat diperlukan oleh negara,” kata beliau.

Wahid berkata, UTHM kini mempunyai ramai penyelidik dan sehubungan itu, universiti tersebut amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat untuk membuka pusat penyelidikan dan operasi di kampus UTHM sama ada di Parit Raja atau Pagoh.

Sementara itu, menurut kenyataan sama, Tan berterima kasih kepada UTHM kerana mahu bekerjasama dengan pihaknya untuk membangunkan lebih banyak produk inovasi yang boleh diterima pakai dan dikomersialkan di pasaran global.

"Kerjasama ini akan memberi faedah kepada STS yang mana penyelidik dan pelajar dapat terlibat sama dalam penyelidikan yang dilakukan.

"Dengan ini, STS tidak akan kekurangan tenaga kerja mahir untuk menyiapkan projek yang diminta pelanggan. Kemahiran jurutera STS juga boleh terus dipertingkat sesuai dengan permintaan semasa melalui kursus pendek yang boleh diberikan oleh tenaga akademik UTHM,” katanya. - BERNAMA


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...