> > Nasib kesenian Kelantan: Diancam kepupusan, berapa ramai yang kenal alat muzik kecapi?
Nasib kesenian Kelantan: Diancam kepupusan, berapa ramai yang kenal alat muzik kecapi?

GENDANG gendut tali kecapi, kenyang perut senanglah hati. Pantun dua kerat ini mungkin biasa kita dengar, tetapi berapa ramai pula yang mengenali alat muzik bernama kecapi?

Di Kelantan yang kaya dengan seni budaya, namun perubahan masa menyebabkan seni tinggalan warisan nenek moyang masyarakat negeri ini kian dilupakan. Antara yang semakin dilupakan khususnya dalam kalangan generasi masa kini ialah seni muzik kecapi.

Kini peralatan muzik tradisional tidak lagi menjadi keperluan komersial walaupun ia pernah berada di puncak kegemilangannya sekitar tahun 1940 sehingga sekitar 1960-an. Alat muzik tradisional bukan sekadar untuk mendengar merdunya alunan bunyi, namun di sebaliknya ia membawa identiti, adat, budaya dan warisan bangsa serta sejarah sesuatu kaum berkenaan.

Topik yang ingin kita sentuh kali ini ialah mengenai kecapi buluh atau gendang kecapi yang kian diancam kepupusan sama seperti permainan atau alatan tradisional Melayu lama. Kini ia sukar ditemui kecuali di persembahan majlis meraikan tetamu kenamaan atau pelancong luar negara termasuk pernah digunakan dalam kesenian Menora di Kelantan.

Mungkin juga ada yang pernah melihat alat ini dimainkan oleh seorang pemuzik cacat penglihatan dari Tumpat yang dikenali sebagai Abdul Rahman Alabaladi.

Dibuat daripada buluh betung

Pensyarah Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Mohd Aswawi Isa berkata, gendang kecapi tidak lagi menjadi peralatan muzik dominan di dunia luar mahu pun dalam persembahan tradisional hari ini.

Mohd Aswawi (dua, kanan) membantu pelajar membentuk lubang gendang kecapi.

Katanya, kehilangan kecapi dari radar seni tradisional amat merugikan sedangkan ia perlu pelihara untuk memastikan seni tradisi ini akan dapat diwarisi kepada generasi akan datang.

Menurutnya, alat muzik kecapi dibuat daripada tabung tabung buluh yang terpilih terutamanya jenis buluh betung dan tali-talinya pula dikupas dari sebahagian kulit tanpa diputuskan hujungnya.

“Untuk menjadikan gendang kecapi, setiap buluh perlu mempunyai enam tali yang ditegangkan dan diperkuatkan lagi oleh ikatan tali yang dibuat daripada buluh. Manakala pada bahagian sisinya dua lubang empat segi dibentuk untuk menghasilkan bunyi petikan daripada tali itu akan mengeluarkan bunyi seperti suara gong ibu dan anak gantian kepada gendang secara meningkah dengan suara yang dihasilkan dari tepukan di sebelah permukaannya yang tampak terbuka yang mengeluarkan bunyi gendang,” katanya.

Hanya jadi bahan kajian

Mohd Aswawi berkata, dalam usaha untuk menarik kembali minat generasi muda terhadap seni kecapi itu, pihak FTKW di bawah Elektif Seni Persembahan telah memberi pendedahan mengenai kecapi yang boleh dianggap bahan permainan atau hiburan oleh orang Melayu suatu ketika dahulu.

Pelajar mengukir dengan pisau sebelum buluh ditebuk.

Beliau berkata, UMK melalui melalui FTKW baru- baru ini telah mengadakan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) dalam penganjuran Kolaborasi Muzik Tradisional untuk memartabatkan warisan muzik tradisional.

Mohd Aswawi berkata, dalam bengkel itu pelajar elektif muzik IPGKSM berpeluang untuk mempelajari cara pembuatan dan teknik pembuatan alat muzik kecapi melalui bengkel yang disediakan ini.

“Ini adalah masanya untuk generasi muda menghargai seni dan warisan muzik tradisional daripada yang lebih pakar. Saya pasti ia akan menjadi platform untuk generasi muda pelajari seni pembuatan dan bermain alat muzik tradisional itu.

“Dalam masa yang sama, dalam sesi ini juga menjalinkan hubungan antara dua buah institusi pendidikan sebagai medan perkongsian idea dan pengalaman baharu,” katanya.

Pelajar membersihkan miang buluh menggunakan kertas pasir sebelum digunakan.

Undang pakar pembuat kecapi

Mohd Aswawi berkata, idea untuk mengadakan bengkel itu timbul selepas melihat masih ada warga emas iaitu Abdullah Majid, 82, atau lebih dikenali sebagai Pok Loh dari Kampung Jeram, Pasir Puteh yang masih bergiat aktif dalam seni pembuatan alat muzik kecapi dan begitu mahir bermain alat muzik tradisional itu.

“Walaupun telah memasuki zon usia emas, Pok Loh adalah satu-satunya pembuat alat muzik kecapi yang masih ada di negeri ini yang mula berkecimpung dalam pembuatan alat muzik ini sejak berusia 17 tahun. Dalam usianya 82 tahun, dia masih mempunyai azam yang kuat untuk meneruskan dan mempertahankan seni pembuatan kecapi selagi ada hayatnya dan sanggup mewarisi kepada mereka yang berminat,” katanya.

Mohd Aswawi (tiga, kiri) dan Pok Loh (tengah) bersama pelajar yang menyiapkan kecapi mereka.

Justeru, dalam memartabatkan kembali seni muzik tradisional ini mungkin banyak lagi pihak lain boleh tampil memainkan peranan masing-masing tanpa mengharapkan institusi pendidikan semata-mata agar muzik tradisional ini dapat kembali menjamu halwa telinga generasi baru dengan harapan ia tidak lapuk ditelan zaman.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...