> > UM dan industri terap kepentingan tenaga boleh baharu melalui kit lampu solar
UM dan industri terap kepentingan tenaga boleh baharu melalui kit lampu solar
NAHRIZUL ADIB KADRI, UM 11 October 2018

Apabila memerihalkan kepesatan pembangunan tamadun manusia, perbincangan akan sentiasa berkisar mengenai kesannya terhadap alam sekitar. Usaha pemeliharaan alam sekitar kemudiannya menjadi topik yang mustahak, bukan sahaja untuk difahami tetapi untuk diteroka oleh semua pihak dalam usaha mencari penyelesaian yang bersesuaian.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 telah menggariskan 17 sasaran global yang perlu ditangani bersama, melibatkan pelbagai aspek kehidupan manusia, dari bekalan makanan dan air bersih, sehinggalah isu yang melibatkan perubahan iklim. Senarai sasaran yang dinamakan ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) ini dirancang untuk dicapai pada tahun 2030 melalui usahasama strategik dari pelbagai pihak di seluruh dunia.

Bagi meraikan usaha ke arah penyelesaian sasaran SDG ke-7, iaitu bekalan tenaga bersih dan mampu milik, sekumpulan pensyarah dan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains telah berkunjung ke SK (Asli) Bukit Kemandol, Klang baru-baru ini bagi berkongsi pengetahuan mengenai tenaga boleh baharu. Lebih menarik, dengan kerjasama daripada Panasonic Management Malaysia Sdn. Bhd, seramai 55 orang murid dari tahun empat hingga enam telah berpeluang untuk membina sendiri kit lampu solar sumbangan Panasonic.

Para pelajar sedang memasang kit masing-masing dengan bantuan mahasiswa UM.

Kit lampu ini dikuasai oleh bateri boleh cas semula yang dicas menggunakan sel solar. Lampu LED di dalam kit ini mampu memberikan sinar yang cukup terang bagi membenarkan pengguna membaca dengan baik di waktu malam. “Kesemua komponen ini dibekalkan di dalam kit tersebut, berserta panduan pemasangan dan penjagaan. Secara tidak langsung, murid-murid sekolah telah didedahkan dengan prinsip penukaran tenaga solar dari cahaya matahari kepada tenaga elektrik. Mereka juga turut diterangkan mengenai konsep tenaga boleh baharu sebagai alternatif kepada proses penghasilan tenaga elektrik konvensional yang bergantung kepada bahan api berasaskan fosil yang tidak mapan dan memberi kesan buruk kepada alam sekitar,” kata Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes, pensyarah kanan ISB yang juga merupakan penyelaras program di SK (A) Bukit Kemandol ini.

Zul Ilham (tengah) dan dua orang pelajar bersama kit lampu solar mereka yang siap dipasang dan menyala.

“Sasaran SDG ke-7 adalah pencarian penyelesaian kepada isu berkaitan bekalan tenaga. Keperluan tenaga global semakin meningkat sejak bermulanya Revolusi Industri pada kurun ke-18, namun peningkatan penghasilannya perlu berpadanan dengan kesannya kepada alam sekitar. Kami percaya pengetahuan mengenai kepentingan melestari alam sekitar perlu ditekankan di peringkat awal pendidikan, agar generasi muda menyedari kepentingannya dan mampu mencari penyelesaian yang inovatif pada masa hadapan,” kata Dr. Zul Ilham lagi.

Murid sekolah yang terpilih telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan diberikan sebuah kit lampu solar setiap seorang. Dengan bimbingan fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa UM dan kakitangan Panasonic Management Malaysia Sdn. Bhd., kesemua murid telah berjaya memasang kit yang diberi dalam masa yang ditetapkan.

“Saya amat teruja dan gembira melihat para pelajar memasang sendiri dan menyalakan kit lampu solar mereka. Harapan saya agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan amat menyambut baik kedatangan universiti dan industri dalam membantu komuniti orang asli di sini,” kata Anuwar Arshad, Guru Besar SK (A) Bukit Kemandol ketika ditemui semasa program berlangsung.

Program ini menerima dana geran penyelidikan kemasyarakatan dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares), dan merupakan penyertaan mewakili negara ke ‘Asia Pacific Youth SDG Challenge 2018’ yang diadakan di Sydney, Australia, baru-baru ini.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...
Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya semakin dirasai. Bagi pengundi baru pula, ini semestinya pengalaman yang sangat dinanti-nantikan.Ramai pihak sudah mengeluarkan...
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi...