> SEL KL > Perkasa ibu tunggal tangani tekanan dan konflik hidup, ini yang UM dan MAIS bantu
Perkasa ibu tunggal tangani tekanan dan konflik hidup, ini yang UM dan MAIS bantu
NAHRIZUL ADIB KADRI, UM Selasa | 23 Oktober 2018

Sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat, komuniti ibu tunggal juga seharusnya dilihat sebagai kumpulan yang berpotensi untuk diperkasa, dan seterusnya berpeluang membina kelangsungan kehidupan dengan berjaya. Kerjasama dari pelbagai pihak bakal melihat usaha sebegini terlaksana melalui platform yang strategik.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Kaunseling Universiti Malaya (PERKUM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menganjurkan sebuah program yang dinamakan ‘Pemerkasaan Komuniti Ibu Tunggal’ bertempat di Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

“Program ini bertujuan menjadi pelengkap kepada usaha pemulihan dan rawatan yang dilaksanakan MAIS di sini. Bagi menghasilkan pendekatan yang lebih holistik, kami telah mendedahkan kepada pelatih di sini mengenai teknik dan kaedah berkesan dalam menangani tekanan dan konflik hidup, selain kemahiran keibubapaan,” kata Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin, pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), yang juga merupakan penyelaras program.

Menariknya, kesemua 41 orang ibu tunggal yang terpilih menjadi peserta program turut didedahkan mengenai terapi seni sebagai alat bantuan bagi pengurusan tekanan. Peserta yang berumur di antara 15 hingga 50 tahun itu telah dibimbing oleh sekumpulan 30 orang fasilitator yang juga terdiri dari penuntut ijazah sarjana muda program kaunseling UM.

“Teknik seni yang digunakan untuk sesi terapi ini adalah menggunakan tanah liat dan lukisan, di mana para peserta diminta untuk menggambarkan diri mereka melalui bentuk tanah liat dan corak lukisan. Kaedah ini amat berkesan untuk meneroka permasalahan diri secara di bawah sedar, dan banyak digunakan sebagai sebahagian daripada proses pemulihan secara kaunseling,” kata Amirah Sharwani Roslan, pelajar tahun ketiga jurusan kaunseling UM yang mengetuai kumpulan fasilitator di dalam program ini.

Pelatih menyiapkan hasil seni tanah liat semasa sesi terapi seni.
Pelatih menyiapkan hasil seni tanah liat semasa sesi terapi seni.

“Peluang mendekati golongan ibu tunggal ini, dan mempraktikkan apa yang kami pelajari di bilik kuliah, amat mengujakan saya. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelatih di sini, namun juga telah menyuntik motivasi kepada kami untuk beriltizam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat sebaik menamatkan pengajian kelak,” kata Amirah lagi.

“Program anjuran UM ini mempunyai kelebihan yang saya pasti bakal mencetus perubahan positif dalam diri pelatih di sini. Selain slot ceramah dan motivasi yang kerap dilaksanakan, program ini turut melakukan sesi kaunseling berkelompok dengan bimbingan mahasiswa UM. Mereka telah berkongsi kemahiran dari aspek pengurusan tekanan, dan juga strategi penyelesaian konflik. Para peserta juga berpeluang meneroka ciri-ciri rasa belas-diri (‘self- compassion’), dan mengenal pasti tanda-tanda awal kemurungan,” kata Noor Huda Tajudin, kaunselor Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang turut mengambil bahagian di dalam program.

Sebuah sesi refleksi diri di penghujung setiap hari program berlangsung telah diadakan dengan setiap pelatih diminta menulis surat atau ucapan kepada diri mereka sendiri yang telah berjaya pada masa hadapan. “Mereka juga diminta untuk menyenaraikan perubahan diri yang ingin dilihat dan perlu dilaksanakan, dalam usaha mereka ‘membina’ versi diri mereka yang berjaya nanti,” kata Noor Huda lagi.

“Kejayaan program ini terletak sepenuhnya di bahu pelatih di sini. Segala modul, kemahiran, dan pengalaman yang dikongsi sepanjang program ini seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian, terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai komplikasi tekanan dan cabaran kehidupan. Titik tolaknya berpaksi kepada kaedah pemikiran dan penilaian diri mereka sendiri. Saya pasti ibu tunggal di sini mampu menjalani kehidupan dengan penuh keyakinan kelak, walaupun terpaksa memikul tanggungjawab berat dalam membina kelangsungan kehidupan, dan pendidikan anak-anak,” kata Rafidah mengakhiri temubual.

Program ini menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares). Geran dalaman ini diberikan kepada penyelidik UM yang mampu memindahkan kemahiran dan kepakaran penyelidikan mereka untuk manfaat komuniti.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...