> UTARA > 'Ibu tetap bangga walaupun Anis Syahira dah pergi...'
'Ibu tetap bangga walaupun Anis Syahira dah pergi...'
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA Rabu | 7 November 2018

MERBOK –Tiada yang membanggakan seorang ibu melainkan melihat kesungguhan anak berjuang menuntut ilmu, biarpun dalam masa sama terpaksa menentang kanser yang dihidapi.

Hasniza Abu Hassan, 50, dari Ipoh, Perak berkata, biarpun sebak mengenangkan arwah Anis Syahira Muhamad Nasir, 22, namun sepanjang hayatnya, dia bukanlah seorang yang cepat mengalah malah perjuangannya menuntut ilmu tetap diteruskan biarpun menanggung kesakitan.

Menurut Hasniza, anak sulung lima beradik itu berjaya menghabiskan pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan pencapaian lima kali anugerah dekan.

“Saya bangga dengan semangat dia, walaupun sekarang dia dah meninggal dunia, tetapi aura perjuangannya masih kami rasai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Anis Syahira mula dikesan menghidap sejenis kanser dinamakan B Cell Lymphoma semasa dia dalam tahun kedua pengajian pada Mei 2016.

“Mula-mula dia batuk berpanjangan, lepas tu urat-uratnya mula timbul, saya dah tak senang duduk ketika itu, sebab bimbangkan kesihatannya, dalam masa sama dia tetap nak teruskan belajar.

“Selepas buat CT Scan, doktor kesan ada tumor dalam jantungnya dan mulalah rutinnya menjalani rawatan kimoterapi,” katanya.

Disebabkan rawatan yang padat, Anis Syahira terpaksa membuat penangguhan pembelajarannya sehingga setahun setengah.

“Walaupun dia dah tak masuk kuliah, tetapi hatinya penuh semangat tetap nak buat peperiksaan akhir. Saya terpaksa merayu kepada doktor supaya membenarkan dia keluar wad semata-mata nak bawa dia ke bilik peperiksaan.

“Disebabkan terlalu lemah tak dapat baca buku, sepanjang perjalanan dari Ipoh ke UiTM Merbok, Kedah, dia minta adiknya bacakan buku sebelum masuk periksa, dia dengar dengan teliti sebagai persediaan.

“Bila perasan ada bacaan yang salah, dia masih boleh tegur adiknya, itulah yang buatkan kami ingat sampai bila-bila.

“Dia sendiri tak kuat tetapi jiwanya kuat. Kertas pertama peperiksaan, dia masih boleh jalan, kertas kedua saya bantu papah dia, masa ambil kertas ketiga dia dah guna kerusi roda.

“Seterusnya, ayah dia terpaksa dukung untuk masuk periksa,” katanya sambil mengesat air mata.

Sebagai ibu, kesungguhan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan, Ipoh dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur ini berjuang dan berusaha menuntut ilmu sehingga ke akhir hayatnya sangat dikagumi malah menjadi pembakar semangat buat anak yang lain.

Katanya, disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia dikejarkan ke unit kecemasan hospital sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan kelima dan terakhir iaitu Matematik, subjek yang paling disukai.

Bagaimanapun, Hasniza lega apabila anaknya sempat menatap keputusan anugerah dekan yang diperolehi sehingga membolehkan dia berjaya memperoleh Diploma Pengurusan Perniagaan, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 20 Februari lalu.

Hanya linangan air mata meluahkan kerinduan seorang ibu terhadap anaknya apabila keluarga itu dijemput ke UiTM Merbok Kedah sempena istiadat konvokesyen yang berlangsung bulan lalu bagi menerima diploma dan penyampaian anugerah dekan milik arwah.

Hasniza dan suami, Muhamad Nasir Johari, 51, merakamkan penghargaan terima kasih tidak terhingga buat UiTM atas peluang yang diberikan.

Walaupun arwah telah pergi selama-lamanya, tetapi, adik arwah, Anis Humairah, 19, akan meneruskan semangat arwah untuk meneruskan pengajian Diploma Pengajian Perbankan di Uitm sama yang kini memasuki semester ketiga.

“Kami mendoakan agar arwah tenang di sana dan semangat perjuangan yang beliau tinggalkan akan diwarisi dan menjadi contoh kepada adik-adik yang lain, Insya-ALLAH,” katanya.

Dalam majlis istiadat konvokesyen sama, pelajar Diploma Perbankan, Fatin Fikriyah Roslim, 21, penerima Anugerah Naib Canselor turut diumumkan Anugerah Graduan Terbaik UiTM Kedah.

Fatin yang ditemui terharu apabila detik bersejarah itu diraikan kedua ibu bapanya yang telah berpisah 10 tahun lalu.

Ibunya, Rosnani Hashim, 45, dan pasangan, Mohd Nazri Zakaria, 47, serta bapa Fatin, Roslim Abd Aziz,52 dan pasangan, Salwani Razali,28, sama-sama hadir ke istiadat konvokesyen bagi meraikan kejayaan istimewa berkenaan.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...