> SEL KL > Kerjasama erat ILKBS dan industri korporat
Kerjasama erat ILKBS dan industri korporat

PUTRAJAYA - Bagi melahirkan graduan profesional yang kini menjadi rebutan pasaran industri dunia, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia mengadakan pertemuan bagi membincangkan penambahbaikan antara pihak industri dengan pengurusan Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan termasuk alumninya dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Bilik Mesyuarat kementerian itu baru-baru ini.

Keputusan itu dicapai selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang mahu memperkasakan Bahagian Pembangunan Kementerian Belia (BPKB) melalui 22 institut di bawahnya dengan menyediakan lepasan institut yang lebih komited terutama dalam aspek komunikasi dan persekitaran agar dapat memenuhi permintaan pasaran kerjaya yang kini telah mencapai kebolehpasaran graduannya 93 peratus.

Ketua Pengarah BPKB Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof yang bertanggungjawab dalam memperkasa dan menyediakan lepasan ILKBS untuk dipasarkan kepada pihak industri terutamanya melihat usaha ini merupakan langkah terbaik kerana dilihat dapat memahami lebih dekat keperluan industri.

‘Kita melahirkan dan menyediakan lepasan ILKBS dengan bidang kemahiran yang seiring dengan kehendak negara untuk menyediakan graduan yang mempunyai kemahiran tinggi dan kompetitif oleh itu pertemuan seperti ini terutama dengan dipengerusikan oleh Menteri dan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha, Pengarah-pengarah dan Alumni ILKBS merupakan inisiatif dalam memartabatkan KBS secara amnya,” kata beliau ketika ditemui.

Dalam pada itu Presiden Alumni ILKBS Samsudin Oli Mohamed berkata, pihak BPKB telah berusaha dalam pelbagai aspek untuk meletakkan lepasan ILKBS ini seiring dengan graduan dari universiti namun beberapa penambaikan perlu dilakukan terutama mendengar sendiri kehendak pihak industri yang kini berminat kepada lepasan kemahiran.

“Pelajar ILKBS contohnya walaupun telah mengikuti pengajian sepenuhnya termasuk latihan industri sebelum mereka bergelar graduan tetapi beberapa aspek lain perlu dibekalkan kepada mereka termasuk pengunaan bahasa Inggeris dan juga berpengetahuan dalam isu semasa termasuk berfikir di luar kotak,” ulasnya lagi.

Dalam pertemuan itu 41 pemain industri negara yang telah memeterai perjanjian persefahaman bersama ILKB sejak 2014 hingga 2018 hadir untuk berkongsi dan menyampaikan terus hasrat mereka kepada menteri khususnya tahap pekerja yang diperlukan termasuk bersedia membimbing dan menyediakan latihan tambahan untuk peningkatan peluang kenaikan gaji yang setimpal dengan bidang kemahiran mereka termasuk menawarkan jawatan yang lebih tinggi dengan kemahiran yang mereka miliki.

Usaha berterusan untuk mengumpul maklumat atau brainstorming bagi perbincangan, interaksi bersemuka, merangka gerak kerja baru bagi menambahbaik usahasama ILKBS dan pemain industri utama negara akan terus dilaksanakan dari masa ke semasa.

Usaha sebegini diharap dapat memartabatkan graduan ILKBS yang dilatih mengikut kokurikulum yang sentiasa disesuaikan dengan keperluan semasa negara, ke arah menjadikan mereka warga Malaysia yang kompetitif dan berkemahiran tinggi.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Ketua Setiausaha Datuk Lokman Hakim Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Ramona Mohd Razali, Pengarah-pengarah ILKBS dan Presiden Alumni ILKBS Samsudin Oli Mohamed.

Manakala pihak industri yang hadir antaranya Prasarana Malaysia Berhad, Padiberas Nasional berhad (Bernas), National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI), Dorsett Hospitality International Sdn Bhd, Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd (NV), DRB Hicom, Composite Techonology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), Pos Aviation Sdn Bhd, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Tan Chong, Sunway Berhad, GAMUDA Berhad, Petroliam Nasional berhad (Petronas), Berjaya Corporation Berhad (BERJAYA), Federation of Malaysian Skill Development Centre (PSDC) , Sapura dan lain-lain.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
BANGKOK - Kontinjen Malaysia termasuk pasukan Politeknik Mersing bakal berentap di dua kejohanan iaitu Asean Jump Rope Bangkok dan Thailand Jump Rope Open 2018. Kejohanan yang...
CHANGLON – Guru Jahitan di Pusat Latihan Belia Negara Peretak (PLBNP) Kuala Kubu Bharu, Selangor tahun 1969 hingga 1991 Soin Haron dikunjungi oleh Presiden Persatuan Alumni...
PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan akan membawa isu penamatan kontrak pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad...
GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan satu siri debat awam yang merupakan sebuah inisiatif bagi...
GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan satu siri debat awam yang merupakan sebuah inisiatif bagi...
Apabila bercerita tentang hidupan liar, mesti terlintas di fikiran binatang-binatang berbisa dan bersaiz besar yang boleh mengancam keselamatan nyawa seperti ular, harimau, singa,...