Gandingan hebat para pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dari dua Fakulti iaitu Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi (Jabatan Bahasa Melayu) dan Fakulti Pengajian Pendidikan (Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan) dalam pementasan teater yang bertajuk Legenda Cik Siti Masyhur sempena Malam Tradisi Sastera Rakyat (MTSR) kali ke-34.
Pementasan teater ini bakal berlangsung pada 5 Disember 2018 bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.
Pementasan cerita rakyat Melayu ini merupakan pementasan yang diadakan pada setiap tahun dan dipentaskan berdasar cerita-cerita rakyat dari pelbagai negeri. Pada MTSR 34 cerita rakyat yang diperoleh dari negeri Johor bertajuk Legenda Cik siti masyhur telah diubah suai kepada bentuk skrip untuk dipentaskan kepada para penonton dan secara langsung mewujudkan kelainan menerusi idea kreatif dari para pelajar.
Menurut Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, profesor Dr Abdul Muati @ Zambri Ahmad Malam Tradisi Sastera Rakyat merupakan satu program yang sangat dinantikan oleh para pelajar kerana menerusi pementasan ini akan membentuk satu pengalaman baru kepada pelajar. Menurutnya lagi Malam Tradisi Sastera masih relevan selagi tujuan dan matlamat jelas dari segi objektifnya sendiri.
Timbalan Dekan Akademik, Dr Arba’ie Sujud menyatakan bahawa Malam Tradisi Sastera Rakyat merupakan program yang sangat penting untuk pelajar yang mengikuti kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu BBK 3305 kerana ianya merupakan cerita-cerita rakyat yang dipentaskan dalam medium yang berbeza. Menurutnya lagi, MTSR merupakan satu platform untuk para pelajar mempelajari sikap kerjasama kerana bukan mudah untuk menghasilkan pementasan teater.
Manakala pensyarah kursus BBK 3305 Kesusasteraan Rakyat Melayu iaitu Dr Roslina Abu Bakar, turut menyatakan bahawa “Malam Tradisi Sastera Rakyat (MTSR) Ke-34 ini diusahakan sebagai memenuhi keperluan tradisi keilmuan, khususnya dalam mengkaji dan menghayati Kesusasteraan Rakyat Melayu.
Program ini diadakan pada setiap tahun untuk menggalakkan mahasiswa menghargai folklor Melayu melalui pentas persembahan. Berdasarkan pengalaman lalu, persembahan MTSR ini terbukti mempunyai daya tarikan dan keunikan yang tersendiri sehingga memberi banyak manfaat kepada mahasiswa yang mengikuti kursus ini.
Jelasnya, mahasiswa turut dapat memantapkan pemahaman pelajar berkaitan ilmu sastera rakyat dengan lebih mendalam dan bukan hanya sekadar mempelajarinya secara teori di dalam kelas. Usaha pelajar dalam menjayakan teater berkaitan sastera rakyat Melayu merupakan satu proses pembelajaran agar mereka dapat menghayati sastera rakyat Melayu secara terperinci.
Selain itu, MTSR berupaya membentuk ketujuh-tujuh Kemahiran Insaniah (KI) di samping dapat memantapkan diri pelajar dalam bidang akademik melalui aktiviti-aktiviti yang mampu untuk mengukuhkan pengetahuan secara langsung dalam bidang kesusasteraan rakyat Melayu,” katanya.
Pementasan ini juga turut mengundang tetamu dari IPTA dan IPTS seperti UM, UKM, UPSI dan UNITEN. Program ini turut mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dan pelbagai pihak yang merupakan penaja program tersebut.