> IKON > Kata-kata; "Sedap ayam kau, Qif..." bangkitkan semangat siswa ini
Kata-kata; "Sedap ayam kau, Qif..." bangkitkan semangat siswa ini

BERMULA dengan perniagaan kecil-kecilan membantu keluarga di belakang Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA, Nilai, Negeri Sembilan, akhirnya mampu membuka kios sendiri di dalam kampus Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.

Itulah antara pengalaman awal dilalui Muhammad Aqif Zafran Mohd Zainuddin, 21, penuntut tahun akhir Diploma Pengajian Perniagaan, UiTM Kampus Alor Gajah dalam membentuk dirinya sebagai usahawan siswa.

Menariknya, bidang keusahawanan dipilih adalah penyediaan makanan 'Ayam Singgit' yang sudah sinonim bagi kebanyakan mahasiswa terutama yang biasa berkunjung ke kios di Pusat Pelajar Kampus Alor Gajah ini.

AQIF ZAFRAN

"Saya pilih bidang penyediaan makanan ni sebab saya sedar yang perniagaan makanan ni takkan mati selagi kita pandai marketing dan olah menu. Saya ambil contoh makanan segera seperti KFC, semua menunya asal ayam goreng, tetapi diolah jadi macam-macam," kata Aqif yang membuka kios tunggal dikenali Fun Bites - Love At First Bite dan beroperasi sejak 1 Oktober lalu di pusat pelajar berkenaan.

MODAL 'IBU BAPA'

Selain belajar dari pengalaman membantu keluarga, Aqif turut memulakan perniagaan bermodalkan 'pinjaman' daripada ibu bapanya.

Menyediakan sendiri menu Ayam Singgit.
Menyediakan sendiri menu Ayam Singgit.

"Mereka jugalah 'big why' saya untuk berjaya, kerana selain banyak support dari segi modal, mereka turut menyuntik semangat selain memberi motivasi dan nasihat. Bersyukur kepada Tuhan kerana hadirkan orang-orang yang hebat di sisi saya," ujarnya yang turut dibantu beberapa rakan.

Menyentuh dari segi prospek perniagaan, akui Aqif, buat masa ini, fokusnya adalah berniaga dalam kampus.

"Prospek utama kami adalah semua pelajar di dalam kampus, tapi kami ada juga pergi ke event-event luar, misalnya Oktober lalu kami diundang oleh Politeknik Melaka untuk Gerak Usahawan Kampus SiswaPreneur. Kami juga masih dalam perancangan untuk terlibat dalam beberapa event luar yang lebih besar bukan setakat di IPT," tambahnya.

Turut membuka perniagaan di acara-acara luar.
Turut membuka perniagaan di acara-acara luar.

Pun begitu, Aqif tidak menafikan turut melalui pengalaman pahit dalam menguruskan perniagaannya ini, sementelahan lagi pada masa sama dirinya bergelar mahasiswa.

"Pengalaman pahit tapi penuh pengajaran bagi saya adalah bila bulan pertama kami menjalankan perniagaan ini. Ada satu masa, kami terlalu banyak belanja sampaikan kami terlupa dan baki duit hampir 0 (zero). Alhamdulillah, kami mampu bangkit dengan stop perbelanjaan selain dari pembelian stok.

"Pengalaman manis sepanjang saya berniaga dalam kampus ni bila saya dengar orang kata; "sedap ayam kau, Qif..." katanya lagi.

Satu-satunya kios yang beroperasi di Pusat Pelajar UiTM Kampus Lendu.
Satu-satunya kios yang beroperasi di Pusat Pelajar UiTM Kampus Lendu.

COMPETE DENGAN MASA

Sebagai penuntut tahun akhir dan pada masa sama aktif dalam keusahawanan serta aktiviti kurikulum, pengurusan masa amat penting.

"Saya dah dilatih dari semester tiga apabila dilantik jadi Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia Cabang UiTM Melaka untuk pandai bahagikan masa. Dalam persatuan ini juga saya banyak belajar macam mana nak berurusan dengan orang, communicate serta banyak lagi softskill lain yang pegawai saya terapkan pada kami semua. Jadi, saya dah terbiasa sibuk dengan urusan.

"Pada mulanya memang agak struggle untuk saya compete dengan masa antara belajar dan berniaga, tapi lama-kelamaan, dah tahu macam mana nak uruskannya, kita boleh compete dengan masa.

"Pegawai saya selalu pesan, masa rehat kita ialah bila kita dah mati. Selagi masih hidup ni, kita berbaktilah untuk orang lain, bagi manfaat kepada orang lain, buat program-program yang beri kebaikan kepada orang lain, insya-ALLAH hidup kita berkat," akhirinya.

Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Zaman universiti antara zaman yang paling dikenang seumur hidup. Pelbagai kisah suka dan duka terpahat dalam ingatan. Zaman yang mengajar erti berdikari, zaman mengajar erti...
KISAH Mohd Alif Jasni, 30, ini boleh dikatakan satu di antara ribuan yang jarang-jarang ditemui. Menghidap penyakit Arnold Chiari Malformation iaitu kecacatan struktur di pangkal...
DIA bukan siapa-siapa, tetapi Muhammad Jazlan Rozali, 23, pelajar jurusan Sains Geologi, Universiti Malaya (UM) ini memiliki semangat kental dan berjiwa patriotik yang patut...
Baru-baru ini, kisah seorang graduan, Norazly Nordin atau mesra dikenali Adiey yang memperoleh 9 kali Anugerah Dekan mendapat perhatian ramai. Manakan tidaknya, pada hari...
NILAI - Keputusan seorang pembantu restoran menceburi bisnes jualan ‘Nasi Bajet Ayam Berempah’ ternyata tidak sia-sia apabila juadahnya menjadi kegilaan penduduk kawasan...
ASALNYA ketika dalam peperiksaan A-Levels, dia memilih bidang sains dan matematik, namun sejak sering membaca isu-isu berkaitan kehidupan susah ramai orang, minat dan kecenderungan...