> CETUSAN > Ibrah daripada Surah Muhammad: 5 tip rapatkan hubungan adik-beradik
Ibrah daripada Surah Muhammad: 5 tip rapatkan hubungan adik-beradik
MAHASISWA TAHUN AKHIR, USIM Khamis | 13 Disember 2018

ADIK-BERADIK merupakan insan yang paling terdekat jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain. Ajaran Islam sangat menggalakkan agar kita berbuat baik sesama adik-beradik agar keluarga lebih diberkati oleh ALLAH SWT. Bagai aur dengan tebing, adik-beradik haruslah saling membantu antara satu sama lain. Begitulah istimewanya hubungan adik-beradik. Namun begitu, hubungan di antara adik-beradik semakin renggang apabila meningkat dewasa kerana masing-masing sibuk mengejar cita-cita sendiri.

Namun begitu, janganlah kita lupa tanggungjawab di antara adik-beradik. Mungkin ada di antara adik-beradik kita yang kurang bernasib baik dalam rezeki. Bantulah mereka, kenangkan kembali memori zaman kanak-kanak apabila kita saling membesar bersama.

Salah faham atau perselisihan pendapat sudah menjadi adat dalam hubungan adik-beradik. Buanglah yang keruh dan ambil yang jernih. Cubalah berusaha untuk pulihkan semula hubungan sedia ada. Sebenarnya bila adik-beradik bergaduh maka telah hilang rahmat ALLAH dalam keluarga tersebut. Inilah sebabnya kita perlu menjaga sebaiknya hubungan adik-beradik. Jika ada rezeki lebih, tidak salah jika kita memberi sedikit kepada yang memerlukan. Bukankah sebaik-baik sedekah adalah kepada ahli keluarga yang terdekat.

ALLAH SWT telah menegaskan melalui Surah Muhammad, ayat 22-23 yang bermaksud: “Maka apakah ada kemungkinan jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang dilaknat ALLAH dan ditulikan mereka dan dibutakan penglihatan mereka.”

Tip menjaga hubungan adik-beradik:

1. Solat Berjemaah

Amalkan solat berjemaah sesama ahli keluarga jika masih tinggal serumah. Rebutlah peluang ini untuk mencari rahmat ALLAH SWT agar hubungan kita lebih diberkati. Apabila kita solat berjemaah, kita akan saling bersalaman dan bermaafan sesama adik beradik serta berdoa bersama-sama. Jika tinggal berjauhan, jadikan rutin solat berjemaah apabila berkumpul. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (HR al-Bukhari dan Muslim).

Solat berjemaah membolehkan seorang Muslim itu untuk bertemu, berkomunikasi dan berhubung dengan sesama Muslim di masjid, surau ataupun musala. Solat berjemaah juga membolehkan seorang itu menghargai nikmat persaudaraan atau ukhuwah yang dipraktikkan di dalam Islam.

2. Makan bersama

Waktu makan ialah waktu yang tepat bersama-sama atau berkumpul beramai-ramai. Lebih meriah apabila kita mempunyai adik-beradik yang ramai. Pada masa inilah adik beradik akan saling membantu untuk menyiapkan santapan untuk dihidangkan. Hubungan akan menjadi lebih erat apabila semua orang memainkan peranan. Pastikan selalu makan bersama jika ada masa yang terluang agar hubungan tidak terputus dan lebih erat.

3. Mengingati hari penting

Raikanlah hari-hari penting dalam keluarga seperti tarikh hari lahir, hari anugerah, hari ulang tahun dan sebagainya. Tidak perlu menghabiskan wang yang banyak untuk membeli hadiah jika tidak mampu, cukuplah dengan mengucapkan tahniah dan mendoakan kebaikan kepadanya. Ini juga menjadi tanda kita sentiasa mengingati mereka dan mereka akan lebih merasa nikmat berkasih sayang dalam keluarga.

4. Mudah memaafkan

Lumrah sesama manusia jika terjadinya pergaduhan di antara adik-beradik. Namun begitu, janganlah memanjangkan hal tersebut. Carilah jalan penyelesaian agar tidak berlarutan. Segeralah memohon maaf dan mudahkanlah menghulur maaf.

Bersangka baik dan saling bertolak ansur dapat mengukuhkan lagi hubungan dan keluarga akan menjadi lebih harmoni. Tegurlah dengan berhemah jika ada perselisihan faham. Elakkan membawa mulut sesama ahli keluarga agar tidak menjadi lebih keruh.

5. Jangan pilih kasih

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Oleh itu, sebagai ibu bapa janganlah bersikap pilih kasih atau berat sebelah kepada anak-anak. Hal ini supaya tidak ada perasaan iri hati atau dengki sesama adik beradik. Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk kasih sayang dan menunjukkan contoh hubungan yang baik sesama pasangan. Luangkan masa sebaiknya dengan anak-anak agar mereka cukup dengan kasih sayang dan perhatian.

Kesimpulan

Menjaga keharmonian institusi keluarga sangat penting dan dituntut dalam agama. Walaupun sering berselisih faham, bergaduh berebut benda, adik-beradik tetap mempunyai hubungan yang istimewa antara satu sama lain.

Disebabkan itulah jangan sesekali mengabaikan hubungan kekeluargaan ini dengan tidak menjaga hubungan silaturahim bersama. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah menyambung keluarga (silaturahim).”

*Penulis:

Zainab Zamirah Khair Zakaria

Siti Noradiana Mohd Fauzi

Nurul Barizah Bahron Nizam

*Merupakan pelajar tahun akhir Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
GADIS ini antara contoh terbaik belia bijak mengambil peluang, di samping menabur bakti untuk anak bangsa sebaik tamat pengajian di institusi pengajian tinggi. Naib juara pentas...
SHAH ALAM - Pada 5 Oktober 2018, seramai 23 orang pelajar Kokurikulum Kaunseling Rakan Sebaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah menjalani satu program berbentuk...
Allah telah menganugerahkan masing-masing dengan pelbagai keistimewaan. Kebolehan dan tahap kecerdikan masing-masing memang berbeza. Kita takkan boleh ukur tahap seseorang hanya...
MENEROKA alam pekerjaan sememangnya suatu tempoh yang amat sukar bagi sesetengah individu setelah bergelar graduan. Tidak asing lagi sekiranya para graduan kini memperoleh kerjaya...
Time is gold, Used wisely ungkapan tersebut sering kita dengar. Secara umum, apabila kita perhatikan pelajar yang cemerlang, kebiasaannya mereka bijak mengurus masa dan aktiviti...
PERMINTAAN terhadap tenaga mahir di negara ini sangat tinggi memandangkan dunia kini berhadapan Revolusi Industri 4.0. Oleh sebab itu, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET)...