> Aktiviti kebudayaan pemangkin generasi cemerlang
Aktiviti kebudayaan pemangkin generasi cemerlang
AZIZUL AZRIN MAHMOR Rabu | 26 Disember 2018

Kebudayaan dan warisan tradisi Melayu boleh dikatakan semakin hilang dari dalam jiwa generasi muda masa kini. Kemunculan dan penerapan budaya luar dalam pelbagai aspek kehidupan, seiring dengan kederasan arus pembangunan tanpa sempadan dewasa ini, telah banyak mempengaruhi dan mencorakkan kehidupan mereka.

Hinggakan tidak keterlaluan jika menganggap ada di kalangan mereka yang sudah tidak lagi mengenali elemen-elemen seni dan budaya tradisi seperti caklempong, makyong, dikir barat, kompang, congkak, dan lain-lain.

Definisi kebudayaan dan warisan bukan sahaja terhad kepada pakaian, makanan, dan bahasa sahaja, malah perlambangan sifat kemelayuan itu turut merangkumi kesemua aspek kehidupan harian, termasuklah adat resam, kepercayaan, hiburan, dan permainan. Penulis percaya percambahan dan seterusnya penyuburan apresiasi generasi muda Melayu terhadap budayanya sendiri adalah menerusi kerjasama menyeluruh dari pelbagai agensi menerusi cabang pendidikan.

Semua pihak, termasuklah kerajaan, swasta, dan individu perseorangan perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk mengekalkan budaya dan warisan ketamadunan Melayu yang sudah berusia ratusan tahun ini. Adalah menjadi sebahagian tanggungjawab sebuah institusi pendidikan tinggi seperti Politeknik Malaysia untuk memastikan pemahaman mengenai kepentingan nilai budaya terus kekal di jiwa dan fikiran setiap pelajar yang mengikuti program diploma di sini.

Selain diberikan ilmu pendidikan, penerapan berkaitan sejarah warisan dan budaya pelbagai kaum di Malaysia perlu dititik beratkan di dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, sejajar dengan usaha menjadikan pelajar Politeknik seimbang dalam semua bidang yang diceburi.

Langkah awal yang dilakukan adalah melalui kempen kesedaran yang sentiasa diadakan pada setiap awal semester pengajian, dengan mensasarkan kepada semua pelajar yang baru mendaftar. Program pengenalan berkenaan kepentingan penyertaan mereka di dalam aktiviti-aktiviti kebudayaan dan seumpamanya dilaksanakan secara interaktif bagi menarik mereka untuk turut serta dalam menjayakan program-program yang telah diatur.

Peluang juga diberi kepada mereka untuk menganjur dan melaksana program baru berasaskan kesenian dan kebudayaan yang dirasakan bermanfaat. Proses pengenalan ini penting bagi meletakkan mereka di landasan konsep pembelajaran melalui kebudayaan yang mampu membantu mereka mencapai objektif yang digariskan. Nilai-nilai teras yang ingin disemai di kalangan pelajar ini melalui apa jua program haruslah berkisar terhadap budaya dan warisan Melayu yang menjadi tunjang kepada seni kebudayaan tradisi negara.

Bagi merealisasikan objektif ini, Politeknik Malaysia mengangkat beberapa aktiviti kebudayaan dan warisan khusus dan menjadikannya sebagai kursus elektif kokurikulum berkredit. Aktiviti yang dimaksudkan termasuklah permainan tradisional, tarian tradisional, kompang, gamelan, dan dikir barat. Pelajar semester ketiga di kesemua Politeknik berpeluang untuk mengenali dan mendalami beberapa elemen kesenian Melayu yang tersebut.

Ahli kelab Penglipur Lara bersedia untuk melakukan persembahan.

Walaupun mereka mempunyai pilihan kursus elektif lain yang lebih menjurus kepada bidang akademik yang sedang diikuti, kajian rambang Unit Kebudayaan dan Warisan Politeknik Port Dickson mendapati ramai di antara mereka yang memilih cabang-cabang seni ini untuk menimba pengalaman baru.

Silibus yang disusun baik dan aktiviti yang penuh keceriaan telah dirancang dan diadun bersama bagi menarik minat pelajar. Kursus-kursus ini menjadi pilihan sebilangan besar pelajar kerana ia memberikan tahap kepuasan yang sangat berbeza dan istimewa, terutamanya kepada pelajar jurusan teknikal seperti kejuruteraan.

Menariknya, dapatan kajian juga mendapati mereka bukan sahaja cemerlang di dalam kursus elektif ini, malah untuk kursus-kursus teras mereka juga!

Ini jelas menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti kebudayaan dan warisan mampu membentuk sahsiah dan jati diri pelajar, yang secara tidak langsung telah menggilap sisi kompetitif dalam diri yang sentiasa dahagakan kecemerlangan. Ini memberikan nilai tambah kepada para pelajar dalam mempersiap diri bagi menghadapi dunia pascapersekolahan sebenar yang serb mencabar pada masa akan datang.

Sifat kepimpinan, toleransi, dan persefahaman yang baik dapat dipupuk seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran ilmiah. Mereka akan menjadi lebih terbuka dan berani dalam melakukan sesuatu keputusan dalam segenap aspek kehidupan, sama ada di kampus mahu pun di luar. Nilai-nilai tambah ini diharapkan boleh menjadi benteng yang kukuh dalam jiwa pelajar, dalam usaha mereka mendisiplinkan diri bagi mengelak dari terjebak dengan gejala-gejala kurang bermanfaat.

Bagi meneruskan kesinambungan aktiviti kebudayaan yang diatur sepanjang tahun, Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Politeknik Port Dickson telah menubuhkan Kelab Penglipur Lara, dengan mensasarkan kepada para pelajar dan pensyarah yang berminat untuk meneruskan aktiviti bidang kebudayaan di luar konteks bilik kuliah. Antara bidang yang diketengahkan adalah tarian, caklempong, kugiran, gamelan, teater, kompang, randai, dan nyanyian.

Kelab ini bergiat aktif di bawah kelolaan pensyarah yang berwibawa dan dibantu oleh beberapa tenaga pengajar dari kalangan pelajar lepasan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Kelab ini menyedia platform kepada pelajar untuk mengembangkan potensi diri secara seimbang dan menyeluruh dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Program dan aktiviti seperti pameran, klinik, dan kelas-kelas khusus dikendalikan secara tersusun dalam menggilap bakat yang ada dalam diri ahli Kelab Penglipur Lara. Hasilnya, kelab ini sering dijemput untuk membuat persembahan kebudayaan dan kesenian, sama ada oleh agensi kerajaan, pihak swasta hinggalah ke majlis perkahwinan dan majlis konvokesyen. Sedar tidak sedar, kelab ini sudah punya peminat tersendiri dan mula dikenali ramai terutamanya oleh masyarakat sekitar Port Dickson dan Negeri Sembilan.

Bagi para pelajar, bakat yang dimiliki dalam bidang kebudayaan ini boleh menjadi faktor tambah nilai dalam diri masing-masing, bagi tujuan persiapan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ada juga di kalangan graduan politeknik yang aktif dalam bidang kebudayaan ini kini bergelar artis budaya profesional bersama pelbagai agensi kebudayaan.

Sekiranya dilihat secara mendalam, pencapaian akademik yang cemerlang semata-mata tidak lagi menjamin tiket automatik untuk menyambung pengajian ke institusi pengajian yang lebih tinggi, mahu pun peluang pekerjaan yang terhidang. Penglibatan, dan penerapan, elemen-elemen kokurikulum seperti kebudayaan kini banyak dijadikan kriteria pemilihan di pelbagai peringkat pengkhususan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa keseimbangan antara akademik dan aktiviti kokurikulum adalah amat penting dalam menjadikan pelajar yang dilahirkan itu cukup sifatnya. Kecemerlangan itu boleh digilap dalam setiap dari mereka, jika setiap dari kita melabur sepenuh hati dalam aktiviti kokurikulum yang bersesuaian.

Penulis merupakan Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan, Politeknik Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
DALAM kesibukan negara kita memfokuskan kepada pembangunan sains, teknologi dan perindustrian, tanpa disedari nilai-nilai integriti telah dipandang sepi dan dilihat tidak mempunyai...
SINTOK - “Mengapa kita tidak menggalakkan perkahwinan kanak-kanak, ada yang bertanya, apa masalah besar jika kita benarkan kanak-kanak berkahwin? “Mereka terlalu muda berumur...
MUSCAT (OMAN) - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat baik di bandar mahupun di desa perlu menerima dengan sikap terbuka serta memanfaatkan...
Isu utama anak muda... LGBT, ketagih gajet, dadah, sememangnya memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk menanganinya. Bagi meningkatkan jati diri belia negara sejajar...
KUALA LUMPUR - Minggu Mesra Siswa Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Sesi Akademik 2018/ 2019 hari ini menyaksikan seramai 389 pelajar program Diploma dan Ijazah...
Apabila memerihalkan kepesatan pembangunan tamadun manusia, perbincangan akan sentiasa berkisar mengenai kesannya terhadap alam sekitar. Usaha pemeliharaan alam sekitar kemudiannya...