> IKON > Pesan ayah buatkan Fatah jadi berani...
Pesan ayah buatkan Fatah jadi berani...

SETIAP orang punya idolanya sendiri. Begitu juga dengan personaliti Ikon kali ini yang menamakan bapanya sebagai idola.

Menurut Abdull Fatah Firdaus, 23, bapanya Abdul Manaf Awang Mat, 64, adalah figura yang dicontohi semangat juangnya untuk meneruskan penglibatan dalam kepimpinan mahasiswa.

“Ayah selalu berpesan agar meletakkan agama dan bangsa di tempat pertama dalam kehidupan selain sentiasa berkelakuan baik kepada semua orang yang berada di sekeliling,” kata mahasiswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor ini.

Bersama ibu bapa ketika konvokesyen peringkat diploma.

Berbekalkan keinginan untuk memajukan diri dan mencari pengalaman dalam bidang kepimpinan mahasiswa, Fatah memberanikan diri untuk mencalonkan diri sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), FSK, UiTM Shah Alam Sesi 2017/2018.

Ternyata, penglibatan di dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UiTM Shah Alam sehingga berjaya menyandang jawatan sebagai Penolong Naib Yang di-Pertua Jabatan Kebajikan Mahasiswa MPP UiTM Shah Alam menjadi kemuncak kepada penglibatan Fatah dalam kepimpinan mahasiswa sepanjang pengajiannya di UiTM Kampus Puncak Alam.

Fatah bersama rakan-rakan dari Fakulti Sains Kesihatan selepas pengumuman kemenangan Pilihanraya Kampus (PRK).

Sebagai persediaan ke alam kerja

Mengimbas penglibatan awal dalam kancah kepimpinan, menurut Fatah, dia mula aktif sejak di tingkatan empat lagi sebagai pengawas sekolah dan telah dilantik sebagai Biro Sahsiah dan Disiplin Rumah Delima ketika di tingkatan lima semasa belajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBP) Gopeng.

“Setelah tamat pengajian di peringkat sekolah, saya meneruskan penglibatan dalam kepimpinan ini di peringkat diploma apabila masuk UiTM,” katanya.

Sepanjang pengajian di UiTM, Fatah telah melibatkan diri dalam pelbagai program mahasiswa seperti Program Kesukarelawanan Bantuan Banjir di Kemaman, Terengganu, Program Khidmat Masyarakat di Bera, Pahang dan Pasir Gudang, Johor dan Konferens Sukan Peringkat Antarabangsa di UiTM Shah Alam.

Ketika memenangi anugerah perak di International Innovation Invention Creation Exhibition (IICE) 2018 di FKS, UiTM Puncak Alam.

Dia bersama kumpulannya juga pernah memenangi anugerah perak di International Innovation Invention Creation Exhibition (IICE) 2018.

“Pelbagai kenangan manis dan pahit telah dilalui sepanjang penglibatan dalam kepimpinan mahasiswa di UiTM. Tapi, saya anggap semua pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatan sebagai wakil mahasiswa dan menguruskan kebajikan pelajar di UiTM sebagai satu pengalaman yang sangat berharga. Lagipun, semua pengalaman ini sangat penting untuk mempersiapkan diri di alam pekerjaan kelak,” tambahnya.

Keluarga angkat semasa Program Khidmat Masyarakat di Felda Bukit Puchong, Pahang.

Fatah juga berpendapat semua mahasiswa seharusnya merebut peluang ketika berada di peringkat pengajian tinggi untuk meningkatkan kemampuan diri dan kemahiran menguruskan organisasi di samping berjaya dalam akademik.

Di sebalik setiap pencapaian, sudah tentu ramai pemangkin semangat yang membantu menjayakannya.

Bagi Fatah, ibu bapa dan keluarga serta rakan-rakan adalah pemangkin utama dalam perjalanan hidupnya.

Ingin jadi juru x-ray

Meminati suasana kerja dalam bidang Sains Kesihatan sejak di tingkatan tiga lagi, Fatah menyimpan impian menjadi juru x-ray selepas mendapat maklumat daripada Internet.

“Saya juga aktif dalam bola sepak, futsal dan kadang-kadang ragbi. Bagi saya, dengan bersukan, ia mengajar saya jadi lebih tenang dan berdisiplin.

Pelajar UiTM Shah Alam bersama Tok Batin Perkampungan Orang Asli Kampung Pasir Putih dan Wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli.

“Sibuk macam mana pun sama ada belajar dan berpersatuan, kena selalu aktif untuk jaga kesihatan,” ujarnya.

Dari segi pembahagian masa, menurut Fatah, dia sentiasa mendapatkan bantuan daripada kawan-kawan sekelas untuk belajar.

“Kena disiplin dengan masa dan tak boleh menangguhkan kerja. Kita semua takkan tahu kemampuan kita sampailah satu masa kita decide untuk cuba benda yang baharu. Kena berani cabar diri untuk keluar dari comfort zone. Aktif macam mana pun, sentiasa utamakan solat dan jaga hubungan ibu bapa dan orang sekeliling," jelasnya.

ABDULL FATAH FIRDAUS ABDUL MANAF

PROFIL:

Nama: Abdull Fatah Firdaus Abdul Manaf

Asal: Ipoh, Perak

Adik-beradik: Anak ketiga daripada empat beradik

Pendidikan:

*Sekolah Rendah Islam Al-Ummah/Sekolah Raja Dr. Nazrin Shah

*Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBP) Gopeng

*Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Mesir dan berpeluang bertemu dengan anak muda di seluruh dunia, Yuhan Satapo menyifatkan World Youth forum 2017 (WYF) di Sharm El-Sheikh...
Orang sukses selalu mengambil risiko untuk sukses, dan untuk mengambil risiko itu harus mempunyai keberanian. Keberanian! Inilah salah satu daripada sikap terpuji Nur Fatihah Che...
Apa yang aku nak sampaikan ialah aku bukan hendak membuka aib sendiri...aku nak masyarakat tahu bahawa aku dulunya seorang yang liar dan nakal. Terlibat dengan jenayah, maksiat...
DIA bukan siapa-siapa, tetapi Muhammad Jazlan Rozali, 23, pelajar jurusan Sains Geologi, Universiti Malaya (UM) ini memiliki semangat kental dan berjiwa patriotik yang patut...
Suka duka alam kampus memang cukup indah untuk dikenang. Walau bergelut dengan kepayahan dan kedukaan dalam menggapai sebuah impian dan segulung ijazah, namun semua itu sama sekali...
Di sebalik ketegasan seorang ayah, pasti ada kelembutan yang tersembunyi dalam dirinya. Ini dibuktikan menerusi perkongsian Twitter yang dimuat naik oleh graduan Universiti Sains...