> IKON > "Tugas pensyarah bukan hanya melibatkan pengajaran..." - Pengarah Education Malaysia London
"Tugas pensyarah bukan hanya melibatkan pengajaran..." - Pengarah Education Malaysia London

BEKERJA sambil belajar atau sebaliknya, lumrah bagi kebanyakan pelajar di luar negara. Ia bukan sahaja bagi menambah biaya pengajian dan kehidupan di perantauan, tetapi juga untuk menimba pengalaman, lebih-lebih lagi kerjaya yang berkaitan bidang dipelajari.

Berkongsi pengalamannya, Prof Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri mengikuti pengajian peringkat PhD of Business (with Management) dengan ditaja sepenuhnya di bawah program Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) di University of Plymouth, United Kingdom.

Pada masa sama, isterinya Prof. Madya Dr. Kamilah Ahmad turut mengikuti pengajian PhD in Accountancy di University of Exeter, juga ditaja sepenuhnya di bawah SLAB.

"Berada di United Kingdom selama 42 bulan, alhamdulillah, kami berdua berjaya menyelesaikan pengajian PhD masing-masing,” katanya.

Dr. Shafie dan Dr. Kamilah, pernah sama-sama mengikuti pengajian PhD di bawah program SLAB.

Bagi Dr Shafie, pengalaman bekerja di luar negara memberi kelebihan tersendiri lantaran tidak semua 'murah rezeki' dapat peluang sedemikian. Dengan latar belakang kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Shafie telah diberi peluang oleh penyelianya untuk membantu dalam pengajaran kursus di peringkat Sarjana.

“Saya berpeluang menimba pengalaman bekerja sebagai pembantu pensyarah di Plymouth School of Business. Bagi saya dan isteri yang terikat dengan keperluan untuk kembali bertugas selepas tamat tempoh cuti belajar, peluang untuk bekerja dan mencari pengalaman di luar negara adalah amat menarik. Walaupun begitu, tanggungjawab sebagai kakitangan kerajaan serta kesedaran untuk kembali berkhidmat di universiti (UTHM) adalah lebih utama."

Semangat untuk kembali menyumbang

“Secara peribadi, pengalaman mengajar di UK tidak jauh beza dengan mengajar di dalam negara. Semangat untuk kembali menyumbang kepada negara melalui tugas sebagai pensyarah di universiti menjadikan saya lebih tekad untuk menyumbang usaha ke arah pembangunan pendidikan tinggi negara.

“Di samping itu, saya percaya khidmat saya lebih diperlukan di universiti terutamanya di fakulti dalam usaha memperkukuhkan fakulti dan universiti.

“Pada masa sama, peluang untuk menimba pengalaman di luar negara masih terbuka melalui skim pasca kedoktoran, sangkutan industri serta cuti sabatikal.

“Peluang menimba pengalaman bertugas di luar negara juga ada ditawarkan melalui agensi kerajaan yang beroperasi di luar negara," kongsinya.

April 2018, beliau memohon dan dipanggil temu duga untuk jawatan Pengarah Education Malaysia (EML) di Kementerian Pendidikan Tinggi (sekarang Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia).

DR. SHAFIE ZABRI

“Alhamdulillah, saya ditawarkan jawatan sebagai Pengarah, EML untuk tempoh dua tahun. Memulakan tugas pada Oktober 2018, saya percaya pada keperluan untuk membuka minda kepada setiap pengalaman yang bakal ditempuh sepanjang tempoh pelantikan.

“Saya juga memegang prinsip bahawa setiap apa yang ditempuh dalam kehidupan termasuk kerjaya dan tugas seharian adalah proses mengutip pengalaman. Tugas baru yang diamanahkan memerlukan saya berhadapan tugas penting mengetuai sebuah organisasi besar di luar negara.

“Pengalaman yang dikutip sepanjang memegang jawatan pentadbiran di fakulti dan universiti sebelum ini, banyak mempersiapkan diri dengan tugas baru di EML. Alhamdulillah, proses mengutip pengalaman diteruskan dengan memastikan tugas dilaksanakan sebaik mungkin dan dalam masa yang sama mendidik diri menjadi individu yang lebih baik dari sebelumnya."

Laksanakan tugas seperti diamanahkan

Selesai pengajian PhD masing-masing, beliau dan isteri kembali bertugas di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

"Tugas sebagai pensyarah bukan hanya melibatkan pengajaran dan pembelajaran tetapi juga pelbagai tugas lain di dalam melengkapkan tugasan mencabar sebagai pensyarah universiti.

"Tugas ini antara lainnya termasuklah penyelidikan, penerbitan, penyeliaan, pentadbiran dan khidmat masyarakat. Pengelasan tugas ini sebenarnya amat membantu dalam memastikan setiap pensyarah menyumbang kembali kepada tanah air terutama sekali setelah mengambil kira ‘pelaburan’ yang dibuat oleh negara dalam menyokong pengajian PhD kami berdua di luar negara.

"Bertugas sebagai pensyarah di universiti awam misalnya memerlukan penggemblengan usaha dalam kalangan warga pensyarah universiti untuk memastikan agenda pembangunan pendidikan tinggi negara dicapai.
Antara pengalaman menarik Dr. Shafie, bekerja sebagai pembantu pensyarah di Plymouth School of Business.

"Penggemblengan usaha bersama di peringkat fakulti dan universiti misalnya melalui pelaksanaan tugas seperti di atas akan memastikan setiap usaha dan sumbangan difokuskan kepada pencapaian aspek pendidikan tinggi yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

"Selain memastikan setiap usaha memenuhi sasaran, ia juga akan memastikan yang sumbangan diberikan adalah sejajar dengan pembangunan diri setiap pensyarah di dalam melaksanakan tugas seperti diamanahkan dan pada masa sama memenuhi sasaran ditetapkan di dalam agenda pembangunan aspek pendidikan tinggi di Malaysia.

"Pada saya, sumbangan saya kepada tanah air bermula dengan kejayaan menyelesaikan pengajian yang ditaja dan ia diteruskan melalui pelaksanaan tugas sebagai pensyarah yang bukan sahaja memacu arah kepada sasaran ditetapkan tetapi paling penting di dalam memacu pembangunan kendiri kepada yang dijajarkan dengan pembangunan fakulti, universiti dan aspek pendidikan tinggi negara," jelasnya.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUANTAN – Seramai 48 orang pelajar Kolej Komuniti Kuantan dan Polsri, Palembang, Indonesia berjaya meraih keuntungan sebanyak RM1,360 setelah mengharungi cabaran berniaga selama...
IPT seharusnya tidak hanya bertumpu kepada ranking semata-mata.
SHAH ALAM – Seramai 175 kanak-kanak daripada gabungan 12 TASKA Shah Alam (Zon Tengah) melibatkan 30 pendidik TASKA telah menyertai Program PERMATA Merdeka hari ini, bertempat di...
MESIR - Tanggal 19 Oktober 2018 mencatat sejarah tersendiri khususnya bagi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia Cawangan Mesir (YDKMM Mesir) dengan penglibatan delegasi YDKMM...
INFRASTRUKTUR adalah salah satu kerangka penting kepada pembangunan ekonomi di sebuah negara. Pembangunan infrastruktur yang baik dapat menggalakkan peningkatan ekonomi di sebuah...
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjana RM3.6 juta setakat Oktober lalu menerusi projek perundingan dan khidmat teknikal kepada pihak luar, kata Naib Canselornya...