> Murahnya rezeki dapat 4 tawaran kerja… belum sempat lapor diri, ada yang panggil lagi!
Murahnya rezeki dapat 4 tawaran kerja… belum sempat lapor diri, ada yang panggil lagi!
MOHD ZAINI OTHMAN, USIM Rabu | 16 Januari 2019

Diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia di Lembaga Zakat Negeri Kedah di usia muda memberi kelebihan kepada alumni Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Faiz Hussin Shokri, 26 tahun untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman dalam kepimpinan dan pengurusan. Tidak hanya dengan itu, beliau juga dilantik sebagai Panel Penasihat Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM selama 2 tahun bermula tahun 2016 hingga 2018.

Sudah berumahtangga dan kini menetap di Alor Setar, Kedah adalah bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Machang, Kelantan di mana pada usianya 15 tahun telah tamat menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Beliau turut mempamerkan prestasi cemerlang semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh 11A 1B dan kemudiannya diterima masuk ke Tamhidi Syariah dan Undang-Undang USIM sebelum menyambung pengajian dalam bidang Syariah dan Undang-Undang di peringkat Sarjana Muda. Aktif sebagai pendebat universiti, beliau menamatkan pengajian dengan menggenggam Ijazah Kepujian Kelas Pertama. Ikuti bual bicara bersama beliau sebagai inspirasi buat semua pembaca.

PENGALAMAN DI AWAL MENEMPUH ALAM PEKERJAAN

Saya pernah menerima tiga tawaran pekerjaan dalam satu masa dan ia merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Berkat istikharah dan memohon pandangan keluarga, saya bulatkan hati untuk menerima tawaran di Lembaga Zakat Negeri Kedah atas faktor-faktor tertentu yang telah dipertimbangkan.

Sebelum bergraduasi, saya telah diterima bekerja sebagai jurulatih atau trainer motivasi di sebuah syarikat perunding latihan di Alor Setar, iaitu Smart Triple IQ Sdn. Bhd. Pengalaman selama hampir setahun di sini mengajar saya erti dan nilai dalam kehidupan yang akhirnya saya bawa ke profesion seterusnya.

Selepas daripada itu, saya mendapat tawaran sebagai Eksekutif Hal Ehwal Islam di Adya Hotel Langkawi, sebuah hotel berkonsepkan Islamik bertaraf 4 bintang yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Genap 9 bulan saya berkhidmat di situ, saya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengurus Hal Ehwal Islam dan dipertanggungjawabkan mengurus sebuah jabatan baharu yang diberi nama Jabatan Hal Ehwal Islam, Adya Hotel Langkawi. Saya berkhidmat di sana lebih kurang 1 tahun 5 bulan.

Perjalanan kerjaya saya tidak terhenti di situ apabila saya mendapat surat panggilan tawaran untuk berkhidmat sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Belum sempat saya melapor diri, saya mendapat lagi satu panggilan tawaran daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk berkhidmat sebagai Pengurus Eksekutif di sana. Dalam masa yang sama, saya juga mendapat surat tawaran sebagai Pegawai Syariah di Mahkamah Syariah Negeri Kedah.

PENERIMAAN DIRI TERHADAP BIDANG KERJAYA YANG DICEBURI

Secara jujurnya ketika saya menerima tawaran di Lembaga Zakat Negeri Kedah, saya membayangkan diri saya bukanlah sebagai Ketua Jabatan. Namun sebaik melapor diri, saya terus dilantik sebagai Ketua Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia dan diberi amanah untuk menggalas tanggungjawab besar ini.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas rezeki yang dikurniakan, walaupun dalam umur yang muda dan pengalaman yang masih jauh, saya menerima tanggungjawab dan amanah ini dengan penuh rasa rendah diri dan akan cuba untuk melakukan yang terbaik bagi membangunkan institusi zakat di Negeri Kedah.

Saya selalu memohon doa daripada Allah supaya jangan jadikan rezeki ini sebagai satu istidraj buat saya. Pesan bapa, “makin tinggi keistimewaan yang diperolehi, maka makin tinggi tanggungjawab yang harus diterima” akan sentiasa saya pegang dan semat di dalam kehidupan saya.

CABARAN DALAM MEMIMPIN PASUKAN KERJA

Di setiap kerjaya yang saya lalui pasti ada cabarannya. Sebagai contoh, cabaran yang saya hadapi dalam kerjaya saya sekarang antaranya apabila kebanyakan kakitangan saya adalah mereka yang lebih senior dan berpengalaman daripada saya yang memerlukan seni tertentu dalam berurusan melibatkan perkara-perkara sumber manusia.

Tapi apa yang pasti, hadapilah cabaran itu dengan jiwa dan minda yang tenang kerana Allah sudah berjanji bahawa Dia tidak akan sesekali mentaklifkan tanggungjawab kepada seseorang itu melainkan Allah tahu bahawa dia mampu mengambil tanggungjawab tersebut. Percayalah bahawa di sebalik ribut hujan, rupanya ada pelangi yang indah, begitulah juga di sebalik setiap cabaran, rupanya ada nikmat atau pengajaran yang indah yang Allah ingin berikan kepada mereka yang menghadapi cabaran tersebut dengan sabar.

KEPENTINGAN PELAJAR TURUT SERTA DALAM KEGIATAN LUAR SEMASA PENGAJIAN

Secara jujurnya apabila saya bertugas di Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia, saya banyak terlibat dengan proses temuduga dan kebanyakan calon yang memohon adalah daripada kalangan graduan-graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka di universiti.

Berdasarkan pengalaman saya, penglibatan graduan dalam kegiatan kokurikulum adalah amat penting bagi memberi nilai tambah dan soft skill kepada seseorang pelajar tersebut. Jika ingin dinilai hanya semata-mata kepada kecemerlangan akademik, maka seseorang graduan itu tidak akan boleh menonjolkan diri bahawa dirinya berbeza dengan calon yang lain kerana calon lain yang hadir juga tidak kurang hebatnya di dalam akademik.

Namun, perlu diingatkan bahawa penglibatan dan kegemilangan dalam kokurikulum sahaja tanpa mengambil berat tentang akademik juga adalah tidak betul kerana akademik masih tetap kekal sebagai keutamaan seorang pelajar. Apa yang penting adalah pelajar perlu pandai untuk seimbangkan di antara akademik dan juga penglibatan kokurikulum.

PERKEMBANGAN USIM KINI

Saya melihat USIM sekarang sudah semakin berkembang pesat dari pelbagai sudut berbanding ketika waktu pengajian saya dahulu. Sekarang, USIM sudah mempunyai Dewan Besar iaitu Dewan Tuanku Canselor serta Pusat Islam ataupun Kompleks Islam Tuanku Muhriz yang boleh menampung keperluan dan kemudahan pelajarnya.

Malah, maklumat mengenai USIM juga dapat diketahui dengan mudah apabila pelbagai platform media yang StraComm sediakan seperti [email protected], Salam USIM dan portal USIM serta lain-lain lagi menjadikan USIM semakin dikenali ramai. Ini termasuklah para pensyarah USIM juga sudah mula dikenali dunia dengan kajian-kajian mereka yang berkualiti. Apa yang boleh saya rumuskan, “Saya bangga menjadi alumni USIM.”


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini telah mengumumkan pelantikan tiga orang Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)yang baharu iaitu...
SIK - Lembaga Zakat Negeri Kedah ( LZNK) tampil membantu tiga pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke universiti awam. Pengurus LZNK Sik, Mohd...
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak agar Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengotakan janji-janjinya. Asyraf berkata, beliau amat terkejut dengan...
NILAI – YB Menteri Pendidikan Tinggi bersetuju untuk melantik Datuk Prof. Dr Siddiq Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu....
AKADEMI Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan majlis Syarahan Za’ba 2018 yang berlangsung di Dewan Semarak APM pada 23 November lalu. Syarahan ini...
110 pemain dari lima negeri bertanding dalam lima kategori