> > Tragedi banjir tak patahkan semangat pelajar UMK
Tragedi banjir tak patahkan semangat pelajar UMK
BERNAMA Isnin | 4 Februari 2019

SEPANG - Pengalaman berhadapan tragedi banjir dan kehilangan peralatan untuk projek tahun akhir pengajian bernilai RM2,000 tidak mematahkan semangat pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk kembali ke Pekalongan, Indonesia bagi menimba ilmu dalam teknologi dye (pewarna).

Mohd Aeree Abu Bakar, 24, pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi ini berkata beliau dan 11 lagi rakan hanya sempat menyelamatkan beberapa helai pakaian, pasport, telefon bimbit dan komputer riba dalam tragedi banjir di rumah penginapan pelajar lelaki dan wanita yang bersebelahan pada 10 malam 27 Januari lepas.

“Dalam masa kurang sejam air banjir di tempat penginapan kami naik dari paras buku lali hingga ke pinggang. Barangan peribadi termasuk kertas kerja bagi projek semester akhir musnah dan tidak dapat diselamatkan. Itu membuatkan kami semua sedih dan terkilan,” katanya lagi.

Ketibaan Mohd Aeree dan 11 lagi rakannya disambut Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Zaliman Sauli di balai ketibaan klia2 hari ini.

Tambah beliau, kesemua mereka meredah banjir paras pinggang untuk berlindung di madrasah sebelum dihubungi pensyarah UMK pada 5 pagi 28 Jan, yang membantu menguruskan perjalanan mereka ke Jakarta dengan menaiki van selama lapan jam sejauh 350km dalam jalan raya yang sesak.

“Kami berlindung di Malaysia Hall, Jakarta selama dua hari dan mendapat bantuan makanan dan pakaian daripada pegawai di Kedutaan Malaysia dan pelbagai agensi Malaysia di sana,” katanya lagi.

Kata Mohd Aeree, kesemua mereka yang terdiri daripada 10 pelajar wanita dan dua lelaki itu berada di Pekalongan sejak September tahun lepas bagi menjalani latihan industri dalam teknologi menghasilkan dye di sebuah syarikat yang dikenali sebagai Zahir Batik selama dua semester.

Katanya, setelah menamatkan semester pertama, kesemua mereka pulang ke Malaysia bulan lepas sebelum kembali ke Pekalongan pada 26 Jan untuk memulakan semester kedua yang dijangka berakhir Mei depan.

Jelas Mohd Aeree, mereka memilih untuk menjalani latihan industri di Pekalongan selepas mengikuti lawatan ke kota berkenaan pada Mac lepas selain diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Batik Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Katanya, beliau bagaimanapun masih belum menetapkan tarikh bila akan kembali ke Pelakongan untuk menghabiskan satu lagi semester.

Sementara itu, Saifuddin ketika ditanya menjelaskan selain 12 pelajar UMK tidak ada rakyat Malaysia lain yang terlibat dalam tragedi banjir di Pekalongan. - Bernama.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Abdul Halim Mat Hassan, 25 terpaksa menangguhkan pengajiannya selepas disahkan menghidap kanser pangkal hidung sejak Disember 2017.
ALOR SETAR - Seramai 12 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) termasuk seorang mangsa parah dalam kejadian runtuhan jeti di Pulau Anak Tikus, Langkawi, petang Isnin...
GENDANG gendut tali kecapi, kenyang perut senanglah hati. Pantun dua kerat ini mungkin biasa kita dengar, tetapi berapa ramai pula yang mengenali alat muzik bernama kecapi? Di...
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan Program Pemerkasaan Keusahawanan Komuniti peringkat jajahan Tumpat yang bermatlamat untuk menghasilkan indikator dan instrumen...
Seorang penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diraikan dalam Majlis Mini Konvokesyennya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dengan penuh adat...
PENGKALAN CHEPA - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof, Dr. Mohd Rafi Yaacob, mengetuai bacaan lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama 13...