> > Kejuruteraan Forensik, bukan sahaja pakar rujuk bukti, tapi juga prospek lahirkan ‘doktor bangunan’ tempatan
Kejuruteraan Forensik, bukan sahaja pakar rujuk bukti, tapi juga prospek lahirkan ‘doktor bangunan’ tempatan
NORHAYATI ALLI FOTO: UTM Rabu | 6 Februari 2019

APABILA disebut ‘forensik’ selalunya akan dikaitkan dengan penyiasatan dan sains. Walau bagaimanapun, Program Kejuruteraan Forensik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mungkin akan memberi pemahaman berbeza dengan Forensik Sains memandangkan ia menggabungkan kepelbagaian bidang dalam kejuruteraan.

Menurut Pengarah Pusat Kejuruteraan Forensik UTM, Prof Madya Dr. Izni Syahrizal Ibrahim, program pascasiswazah dalam Kejuruteraan Forensik merupakan satu program unik menggabungkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanik, Elektrikal & Kimia di dalam satu kursus.

“Pengajian adalah di antara tiga dan empat semester merangkumi enam subjek teras, dua subjek universiti dan pilihan kepada empat subjek elektif. Pada tahun akhir pengajian, pelajar akan menjalankan Projek Sarjana yang mana mereka akan didedahkan kepada penyiasatan forensik mengikut bidang yang diminati,” jelasnya.
DR. IZNI SYAHRIZAL

Subjek teras termasuk Prinsip Kejuruteraan Forensik, Undang-Undang dalam Kejuruteraan Forensik, Kejuruteraan Keselamatan, Analisis Risiko, Penyiasatan mengenai Masalah Struktural & Kegagalan dan Kejuruteraan Bahan.

Menariknya, program yang telah mendapat akreditasi MQA pada 2015 ini hanya ada di UTM.

Di samping program Kejuruteraan Forensik itu sendiri, setiap tahun Pusat Kecemerlangan Forensic Engineering Centre (FEC) di UTM turut menganjurkan Forensic Civil Engineering Seminar (ForCES) yang mana pelajar dalam program ini akan diberi peluang untuk turut serta dalam seminar bagi memperoleh pengalaman daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam penyiasatan forensik.

Jurutera forensik menggunakan UAV untuk melihat tahap keretakan bangunan. (FOTO UTM)

Berkait rapat ketidakfungsian sesuatu struktur

Kejuruteraan forensik suatu yang berkait rapat dengan ketidakfungsian atau kegagalan sesuatu struktur atau komponen sama ada di dalam kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal dan kimia terutama pada pembinaan atau bangunan.

Kegagalan sentiasa boleh berlaku, terutama kepada struktur/komponen lama atau dalam proses pembinaan (banyak kecuaian/kegagalan semasa pembinaan) dan ia sentiasa memerlukan kaedah penyiasatan forensik yang spesifik dan tepat untuk mengekalkan dan mengukuhkan integriti dan struktur/komponen tersebut.
Jurutera sedang memeriksa tahap keretakan pada bangunan. (FOTO UTM)

Tambahan lagi, ia berkait dengan penyiasatan punca kegagalan dan kerosakan, serta kesan dan akibat kegagalan yang sebahagiannya boleh menjadi punca atau menyebabkan kematian/kecederaan serius dan jurutera forensik juga diberi pengetahuan tentang proses undang-undang bagi menangani kes-kes kejuruteraan forensik di mahkamah.

Senario ini merupakan perkara biasa yang telah berlaku lama dahulu di Malaysia, dan dengan adanya kejuruteraan forensik ini, pelaksanaan penyiasatan secara holistik membolehkan kaedah penyelesaian jitu dapat ditambah baik dan diperkukuh.

Jurutera forensik di lapangan bertanggungjawab memeriksa tahap kerosakan bangunan. (FOTO UTM)

Keperluan jurutera forensik tempatan

Jurutera bidang ini merupakan satu entiti tersendiri kerana mereka boleh dilantik sebagai saksi pakar (expert witness) di dalam mahkamah atau menjadi rujukan kepada peguam untuk mendapatkan pandangan dan penyediaan soalan di dalam mahkamah.

Berkongsi pandangannya, graduan 2018 program ini, Zamzarina Mohd Sarin berkata, kejuruteraan forensik merupakan suatu pengetahuan tambahan yang baik di dalam Jabatan Kerja Raya (JKR).

ZAMZARINA
"Pihak atasan amat memahami keperluan untuk mendapatkan jurutera forensik yang tepat untuk menangani pelbagai kes kepada kegagalan yang berlaku kepada struktur atau komponen di Malaysia. Kurangnya jurutera forensik terlatih sebagai pelapis memberi kesukaran untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan dan isu berkaitan forensik di jabatan teknikal di Malaysia.

"Lambakan pelbagai projek dan binaan di Malaysia juga merupakan lambakan kepada potensi untuk berlaku kegagalan luar jangka. Inisiatif dan pengalaman jurutera bukan forensik yang membolehkan pengetahuan forensik ini diketengahkan pada masa ini akan hilang jika kejuruteraan forensik tidak diolah dengan cara yang lebih sistematik. Salah satu kaedahnya melalui kursus jangka panjang di universiti-universiti utama di Malaysia," jelasnya.

Forensic Civil Engineering Seminar 2018 (FOTO UTM)

Pada tahun ini ForCES’19 akan diadakan pada November di Johor Bahru yang mana berbeza penganjuran sebelumnya, ia akan diberi penekanan kepada aspek penilaian di tapak (on-site). Seminar terbuka kepada semua jurutera yang ingin memahami aspek penilaian, penyiasatan, penulisan dan perundangan dalam Kejuruteraan Forensik.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Clarivate Analytics, yang dahulunya merupakan cabang harta intelek Thomson Reuters
MELIHAT kepada personalitinya, mungkin ramai tidak menyangka Sarah Diyana Noor Azami, 25, seorang yang aktif dalam pelbagai jenis sukan terutama futsal yang mana dia merupakan...
ATAS inisiatif berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang Pengaturcaraan dan Sains Komputer maka Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi...
Sekumpulan tujuh orang mahasiswa jurusan kejuruteraan mekanik dari Universiti Malaya (UM) telah diundang bagi mewakili negara ke Persidangan ASHRAE Serantau ke-21 yang diadakan di...
KULAI - “Saya masih lagi trauma dan tetap terasa ada gegaran saat mahu baring,” luah Nordziakon Husnan, 32, yang terkandas di Lapangan Terbang Sapporo, Jepun sejak Rabu...
KUALA TERENGGANU - Tropical Ocean and Marine Sciences International Symposium (TOMSY2018) merupakan simposium anjuran Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos), Universiti Malaysia...