> > Ekologi Biodiversiti wujud kepakaran kepelbagaian biologi alam
Ekologi Biodiversiti wujud kepakaran kepelbagaian biologi alam
ZALMIMAZURA ZAHARI Selasa | 12 Februari 2019

BIODIVERSITI merupakan kepelbagaian semua organisma yang hidup di planet ini yang memberikan kita sumber makanan, perubatan dan perindustrian.

Pemuliharaan kepelbagaian biologi sangat penting kepada negara membangun seperti Malaysia supaya sumber genetiknya boleh dieksploitasi dengan berkesan.

Atas kesedaran itu, satu pelaksanaan program yang dinamakan Ekologi Biodiversiti telah diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar dan penyelidikan dalam bidang biologi termasuk bioteknologi, genetik, biokimia, pengurusan alam sekitar dan sebagainya supaya pengurusan sumber semula jadi dapat dipelihara dan dimanfaatkan sebaiknya pada masa akan datang.

“Di kampus Universiti Malaya (UM) ada menawarkan program ini iaitu bermula sesi 2000/2001. Objektif penubuhannya adalah untuk menghasilkan para graduan yang berpengetahuan mendalam berkenaan aspek kepelbagaian biologi serta nilai ekologinya bagi membolehkan konservasi dan pengurusan lestari sumber semula jadi kita sebagai khazanah negara,” kata Profesor Madya Dr. Md Yusoff Musa, Program Ekologi Biodiversiti Institut Sains Biologi Fakulti Sains, UM.

Melahirkan lebih ramai tenaga pakar dan penyelidikan dalam bidang biologi termasuk bioteknologi, genetik, biokimia, pengurusan alam sekitar dan sebagainya.

Tambahnya lagi, untuk program ini tempoh pengajian ialah selama tujuh (7) semester dan satu (1) semester pendek, bersamaan tiga setengah (3 1/2) tahun.

KEPELBAGAIAN PELUANG KERJAYA

Menurut beliau, antara pengisian yang terdapat di dalam program Ekologi Biodiversiti ini ialah untuk memberi pengetahuan dan kepakaran mendalam tentang kepelbagaian biologi sumber alam semula jadi sesebuah negara ‘mega-diversity’ seperti Malaysia dan rantau Asia, termasuk flora, fauna dan mikrob, yang mana saling tindakannya dengan persekitaran dan pengurusan ekosistem.

Pengurusan yang sistematik ini sangat penting dalam mengoptimumkan pembangunan industri di Malaysia termasuk pertanian serta sumber genetiknya dapat digunakan dan dieksploitasi secara lestari dan berkesan.

Pelajar menyiapkan tugasan yang diberi.

Bertepatan dengan kemahiran dan pengetahuan dalam ilmu ekologi serta bidang berkaitan sudah tentu pasaran kerja yang menanti para graduan juga cukup banyak bagi menampung peluang kerjaya yang ada.

Bagi graduan yang mengikuti program ini mempunyai peluang kerjaya yang besar dan sangat sesuai dalam bidang ini antaranya sebagai pakar ekologi (terutama dalam aspek EIA), pakar hidupan liar (Jabatan Hidupan Liar, taman-taman tema dan haiwan, zoo, Malaysian Nature Society (MNS), WWFM), pakar ekopelancongan, pakar perhutanan (Jabatan Perhutanan, FRIM), kurator, pakar landskap, pengurus ladang, usahawan (pertanian, hasilan herba), ahli akademik, saintis, penyelidik, wartawan, penulis, pentadbir, dan banyak lagi,” katanya.

PERSAINGAN DAN HARAPAN

Ditanya dari segi persaingan program lain yang sedia ada di kampus, jelas Dr Md Yusoff, untuk program Ekologi Biodiversiti ini tidak menghadapi masalah persaingan dengan program lain sama ada di peringkat kampus mahupun di Malaysia.

Ini kerana, katanya, kepakaran yang disediakan sangat diperlukan di Universiti Malaya, termasuk dalam projek-projeknya seperti UMCares, RimbaProject dan sebagainya.

“Program ini juga unik kerana tiada Universiti Awam (UA) lain yang menawarkan program yang serupa, yang lebih gemar menawarkan program-program yang lebih popular seperti bioteknologi dan seumpamanya,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan agar kurikulum pengajian Program Ekologi Biodiversiti ini dapat disemak setiap lima (5) tahun bagi memastikan kualiti program sentiasa maju dan terkehadapan yang mana semakan terakhir dilakukan adalah pada sesi 2016/2017.

Antara aktiviti yang dilakukan pelajar.

“Saya berharap agar lebih ramai pelajar akan berminat untuk mengambil program ini, apatah lagi Malaysia memang sangat memerlukan kepakaran seiring dengan rancangan pembangunan negara, demi kemakmuran dan mengekalkan kelestarian alam,” katanya.

INFO:

Kelayakan

- Lulus PNGK minima 3.00 (Matrikulasi/Asasi/STPM/Diploma dan Universiti Awam.

- GCE A-Level yang diiktiraf dan B dalam Biologi

- Tahap 2 (Band 2) dalam MUET atau Band 4 (Academic) dalam IELTS


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
KUCHING - Lodge National Secondary School mencatat sejarah apabila berjaya menganjurkan STEM Expo and Seminar bertajuk A Day In Science 2018. Program dijayakan dengan kerjasama...
‘Jauh perjalanan, luas pemandangan’, merupakan kata pepatah yang sangat bermakna bagi pelajar yang pernah merantau jauh dari rumah dan keluarga. Walaupun sukar, belajar sambil...
UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu program seminar berkaitan kepentingan HALAL kepada para pelajar bagi memberi pendedahan mengenai Amalan...
#Malaysiamembaca Anak-anakmu bukanlah anak-anakmu Mereka adalah anak-anak kepada kehidupan Mereka datang melaluimu tetapi tidak darimu Dan walaupun mereka bersamamu, tetap...
UZBEKISTAN – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah baharu apabila menjadi universiti pertama dari Malaysia mengadakan kerjasama dengan Institusi Pendidikan...
Pasukan pakar bedah ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai Pensyarah Kanan dan Pakar Ortopedik & Arthroskopi, Datuk Dr...