> CETUSAN > Autonomi untuk sekolah, universiti
Autonomi untuk sekolah, universiti
DR NURKHAMIMI ZAINUDDIN Isnin | 25 Februari 2019

"Sekolah Untuk Komuniti, Universiti Untuk Masyarakat". Inilah antara inti pati yang dapat penulis rakamkan hasil daripada ucapan Menteri Pendidikan pada Amanat tahun 2019.

Sudah pasti rata-rata guru menarik nafas lega apabila mendengar lima inisiatif baharu mengurangkan beban guru iaitu memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, pengurusan data dan sistem dalam talian, sekolah merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid, penyeragaman borang dan proses pemantauan serta penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah.

Dalam agenda pendidikan inklusif ini, tumpuan diberikan terutamanya untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan orang kelainan upaya (OKU), golongan B40, Orang Asli dan kanak-kanak tanpa dokumen turut menerima pendidikan seperti murid yang lain.

Mulai tahun ini juga, pintu institusi pendidikan akan terbuka seluas-luasnya kepada semua kanak-kanak yang berhak. Kementerian juga telah menyatakan komitmen untuk memastikan setiap OKU menerima pendidikan sewajarnya. Antara usaha yang dilakukan adalah menyediakan kemudahan mesra OKU secara berperingkat di sekolah, bermula dengan Sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dan meningkatkan kerjasama antara kementerian, syarikat korporat dan NGO berhubung penyediaan perkhidmatan pendidikan khas.

Hal ini termasuklah dengan melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-reject Policy) secara menyeluruh bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK). Ini bagi memastikan tiada murid dalam kalangan OKU yang dinafikan daripada memasuki alam persekolahan. Langkah ini diambil bagi memastikan golongan ini mendapat hak pendidikan yang sama seperti murid yang lain dan mengelakkan isu keciciran pendidikan dalam kalangan OKU.

Antara inti pati lain adalah berkenaan pemberian autonomi kepada institusi pendidikan terutamanya sekolah. Pendekatan top-down dan one-size-fits-all dilihat tidak lagi relevan kerana setiap komuniti lebih memahami keperluan mereka sendiri dan perlu diberikan lebih ruang dan kepercayaan untuk membuat keputusan. Perlu diingat bahawa pemberian autonomi ini mesti juga hadir bersama dengan sikap kebertanggungjawaban yang tinggi (akauntabiliti) sekali gus menghasilkan pendidikan yang berkualiti.

Autonomi bukan sahaja tertakluk kepada pentadbiran, tetapi juga melalui usaha pihak sekolah dan universiti melibatkan pihak luar untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Kita perlu memperhebatkan penglibatan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, sama ada PIBG, alumni, NGO-NGO, agensi-agensi lain dan pihak swasta, agar penyelesaian yang lebih inovatif dan praktikal dapat difikirkan.

Penulis ingin menekankan bahawa pemerkasaan pemberian autonomi ini harus diperluas ke peringkat IPT juga. Pihak kementerian harus memandang keupayaan IPT dan memberikan autonomi sepenuhnya kepada IPT untuk menyelaras dan memilih kepimpinan tertinggi yang tepat.

Sebagai contoh, pemilihan boleh dilakukan dalam kalangan profesor yang mempunyai kewibawaan dan kebijaksanaan tinggi. Ini secara tidak langsung menjadikan IPT satu institusi yang dihormati apabila warganya memberi keutamaan kepada kecemerlangan akademik, etika dan integriti.

Apabila pemberian autonomi ini benar-benar dihayati oleh warga IPT, pasti lebih ramai ahli akademik berlumba-lumba menghasilkan karya-karya yang memanfaatkan masyarakat.

Usaha ini juga mampu menggalakkan IPT untuk menyuburkan budaya dialog, forum, debat, wacana dan program-program lain yang bersifat intelektual dan ke arah memberikan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara.

Namun, pemberian autonomi dan kebebasan yang diberikan oleh pihak kementerian tidak bermaksud bahawa warga IPT boleh melakukan apa sahaja yang dimahukan tanpa kawalan dan pemantauan.

Pihak kementerian juga akan memperkenalkan Highly Immersive Programme (HIP) yang bertujuan membangunkan keupayaan bahasa Inggeris di sekolah bagi memupuk budaya pembelajaran serta penggunaan bahasa Inggeris yang positif dalam kalangan murid.

Selain HIP dan program English for Preschool Teachers, terdapat pelbagai inisiatif program yang dilihat mampu menjadi pemangkin kecemerlangan bahasa Inggeris di institusi pendidikan di Malaysia.

Sungguhpun begitu, warga pendidik juga mengharapkan supaya perkara yang sama dapat dilakukan demi untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai langkah penyatuan bangsa dan kekuatan jati diri masyarakat majmuk di Malaysia.

Semoga Amanat Tahun 2019 ini mampu menyuntik semangat buat warga pendidik dan ahli akademik di IPT dalam berusaha mempersiapkan diri untuk menjadi rujukan antarabangsa dalam bidang masing-masing dan bukan lagi menjadi jaguh kampung semata.

*Penulis ialah Dekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

*Artikel ini dipetik daripada Cetusan terbitan Sinar Harian Isnin 25 Februari 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...