> Inilah 10 K utama kebanyakan mahasiswa. No 9 tu, kalau dah kerja boleh menjejaskan orang lain...
Inilah 10 K utama kebanyakan mahasiswa. No 9 tu, kalau dah kerja boleh menjejaskan orang lain...
MUHAMMAD NAZLI ISMAIL, UUM Jumaat | 1 Mac 2019

ISU pengangguran graduan sering menjadi topik perbincangan dalam kalangan masyarakat. Pelbagai idea dan pandangan dilontarkan mengenai punca utama kepada masalah pengangguran dalam kalangan graduan.

Apabila membincangkan masalah graduan menganggur, isu yang menjadi tumpuan ialah berkaitan kegagalan individu untuk menonjolkan segala kemampuan dan kualiti seperti diharapkan majikan. Antaranya 10 K seperti di bawah ini.

1 Kurang membaca

Masalah utama yang melibatkan mahasiswa adalah sikap kurang membaca pelbagai bahan bacaan seperti surat khabar, buku, majalah ilmiah, jurnal dan laporan penyelidikan. Apabila kurang membaca, mahasiswa tidak mempunyai pengetahuan, kurang keberanian diri dan gagal untuk memberikan idea yang hebat semasa sesi perbincangan di dalam kelas. Perkara ini akan menyebabkan mahasiswa berdepan kesukaran untuk menjawab soalan semasa peperiksaan kerana gagal memberikan hujah kukuh bagi menyokong teori dipelajari.

2 Kurang menonton dan menghadiri program ilmiah

Mahasiswa tidak mempunyai kesedaran dan minat untuk menonton atau menghadiri program ilmiah yang dianjurkan universiti. Mereka harus faham bahawa ilmu diperoleh semasa sesi pembelajaran sahaja tidak cukup untuk membentuk pemikiran yang kreatif. Melalui forum, ceramah, seminar dan diskusi ilmiah yang dihadiri, mahasiswa dapat menonjolkan diri dengan terlibat secara aktif dalam sesi soal jawab bersama ahli panel. Situasi sebegini akan meningkatkan keyakinan diri mahasiswa untuk bercakap di depan khalayak umum.

3 Kurang komunikasi

Perkara yang menjadi tumpuan penting kepada universiti ialah bagi meningkatkan tahap kemahiran komunikasi dalam kalangan mahasiswa. Kecanggihan teknologi pada hari ini telah menyebabkan mahasiswa kurang berkomunikasi secara lisan. Majikan sering menyatakan bahawa mahasiswa berdepan dengan masalah kemahiran komunikasi yang menjadi punca utama kegagalan mendapatkan pekerjaan. Mahasiswa mampu meningkatkan kemampuan berkomunikasi dengan banyak membaca dan aktif bertanya soalan semasa kuliah diadakan.

4 Kurang bersosial

Universiti merupakan tempat pelbagai bangsa, agama, jantina, bahasa dan ideologi yang berbeza berada di satu tempat dengan mempunyai matlamat sama. Oleh itu, mahasiswa perlu mengambil peluang untuk bersosial dengan rakan-rakan lain yang mempunyai latar belakang berlainan. Apabila kurang bersosial, mahasiswa sukar untuk menerima pelbagai idea dan pandangan rakan-rakan mengenai sesuatu perkara. Selain itu, mahasiswa tidak mempunyai kefahaman dan kurang tolak ansur mengenai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat.

Mahasiswa perlu mengambil peluang untuk bersosial dengan rakan-rakan lain yang mempunyai latar belakang berlainan. (GAMBAR SEKADAR HIASAN)

5 Kurang keyakinan diri

Sesi pembelajaran di universiti patut dijadikan peluang kepada mahasiswa membina keyakinan diri sebelum berdepan realiti kehidupan bermasyarakat. Disebabkan itu, sistem pembelajaran di universiti adalah sangat berbeza kerana mahasiswa perlu mencari sendiri maklumat dan membentangkan input di dalam kelas. Melalui sesi sebegini akan memastikan mahasiswa mempunyai keyakinan diri untuk melontarkan pandangan dan idea ketika sesi perbincangan.

6 Kurang pemikiran kreatif

Sistem pembelajaran kurang berjaya untuk membentuk graduan yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan kritis. Mahasiswa tidak boleh hanya terlalu bergantung kepada bahan bacaan yang disediakan pensyarah sahaja. Selain itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu diubah selaras perkembangan semasa teknologi hari ini. Pemikiran kreatif dapat membantu graduan untuk mencipta pelbagai peluang pekerjaan selepas tamat belajar.

7 Kurang sifat ingin tahu

Perasaan ingin tahu dalam kalangan mahasiswa akan menjadi pendorong kepada usaha untuk mencari ilmu dengan membaca pelbagai sumber dan bertanya kepada golongan yang berpengetahuan. Mahasiswa dilihat tidak mempunyai minat untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Kurangnya sifat ingin tahu menjadi punca kepada tiadanya usaha mahasiswa untuk meneroka sumber ilmu yang pelbagai.

8 Kurang aktif dalam program

Mahasiswa terlalu memberikan tumpuan untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik sahaja. Keadaan ini disebabkan mahasiswa merasakan hanya kejayaan cemerlang dalam akademik akan menjamin masa depan yang lebih baik. Universiti merupakan tempat paling sesuai untuk membina nilai kepimpinan, keusahawanan, kredibiliti, keyakinan dan kemahiran individu. Penglibatan dalam pelbagai aktiviti akan membantu membentuk peribadi mahasiswa yang lebih unggul.

Penglibatan dalam pelbagai aktiviti akan membantu membentuk peribadi mahasiswa yang lebih unggul. (GAMBAR SEKADAR HIASAN)

9 Kurang disiplin

Kejayaan mencapai keputusan yang cemerlang adalah bergantung kepada tahap disiplin individu itu sendiri. Mahasiswa yang gagal menghadiri atau ponteng kelas boleh menyebabkan pengajian akan digantung oleh universiti. Selain itu, mahasiswa sering kali lewat menyiapkan tugasan, datang lambat ke kelas serta tidak menyempurnakan tugasan dengan baik akan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan nanti. Mahasiswa turut dilihat sering bermain telefon berbanding memberikan perhatian kepada pensyarah semasa sesi kuliah.

10 Kurang mengetahui isu semasa

Apabila tidak mempunyai minat untuk membaca, mahasiswa sudah tentu tidak mempunyai pengetahuan mengenai isu semasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Membaca akan memberikan ilmu kepada mahasiswa mengenai peristiwa dan perubahan yang berlaku di seluruh dunia. Mahasiswa yang rajin membaca dapat dilihat melalui perkongsian idea-idea mantap dan keberanian berhujah bagi membela masyarakat.

‘Idea Orang Muda’

‘Bersuara Secara Berhemah’

*Penulis merupakan mahasiswa di Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...