> > Awas! Tanda-tanda 'amaran' kemurungan hadir dalam tempoh 2 minggu…pakar ini mendedahkan
Awas! Tanda-tanda 'amaran' kemurungan hadir dalam tempoh 2 minggu…pakar ini mendedahkan
DR. RAFIDAH AGA MOHD. JALADIN Selasa | 5 Mac 2019

Hati mana yang tidak tersentuh bila membaca berita kematian tragis anak kecil angkara perbuatan ibu kandung sendiri? Tajuk-tajuk akhbar seperti “Ibu jerut anak hingga mati”, “Ibu meroyan hampir nak tikam anak” kesemuanya memberi kesan mendalam kepada masyarakat umum, khususnya kaum wanita. Dalam hati terdetik, sanggupkah seorang ibu kandung memperlakukan sedemikian terhadap anaknya sendiri? Mengapa agaknya mereka bertindak sedemikian? Apakah puncanya perlakuan tersebut?

Hakikatnya, fitrah wanita sendiri yang cenderung beremosi dalam segala hal menyumbang kepada terjadinya isu-isu kesihatan mental yang boleh menggugat kefungsian harian mereka. Apatah lagi apabila mereka dilanda masalah dalam rumahtangga, pekerjaan, ataupun pergaulan.

Apabila masalah datang bertubi-tubi dan sokongan dari insan-insan tersayang tidak diperoleh maka terjadilah gangguan-gangguan mental yang boleh mengancam wanita itu sendiri dan boleh juga menyebabkan orang lain terancam dan tercedera. Salah satu daripada gangguan mental tersebut dinamakan kemurungan.

APA SEBENARNYA ERTI KEMURUNGAN?

Kemurungan adalah satu gangguan atau kecelaruan emosi yang dicirikan oleh perasaan sedih dan hilang minat dalam segala hal, perasaan hilang harapan (hopelessness), perasaan tidak boleh dibantu (helplessness), perasaan tiada kawalan terhadap persekitaran atau keadaan, pemikiran yang negatif dan tidak berfungsi, dan tubuh yang lesu atau kurang aktif. Buku Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, 5th Edition (DSM-5) terbitan Persatuan Psikiatri Amerika, mentakrifkan kemurungan dengan lebih saintifik iaitu,

Tekanan perasaan, salah satu punca menyebabkan kecelaruan emosi yang menjadi punca terjadinya kemurungan- sumber foto 123RF..

Kemurungan, atau juga dikenali sebagai kecelaruan kemurungan major atau kemurungan klinikal, adalah kecelaruan suasana biasa dan serius. Mereka yang murung mengalami perasaan sedih dan tiada harapan secara bertubi-tubi dan hilang minat dalam aktiviti-aktiviti yang suatu ketika dahulu sangat diminati. Di samping mengalami masalah emosi yang disebabkan oleh kemurungan, seseorang individu boleh juga mengalami simptom fizikal seperti masalah sakit kronik dan sakit pencernaan. Untuk didiagnosis dengan kemurungan, simptom-simptom mestilah wujud sekurang-kurangnya dua minggu.

Berdasarkan definisi di atas, dapat dirumuskan bahawa kemurungan membawa padah sekiranya ia berlarutan dan tidak difahami dan ditangani dengan bijaksana. Justeru, setiap individu perlu menimba ilmu untuk memperoleh kefahaman yang jelas terhadap isu kemurungan ini terutamanya dalam kalangan wanita.

SIMPTOM KEMURUNGAN

Menurut perspektif psikologi kaunseling, tanda-tanda boleh dikesan dari 3 aspek iaitu; (1) perasaan, (2) emosi, dan (3) tingkah laku. Dari segi perasaan atau emosinya, wujud perasaan sedih (sad) yang kadangkala berlarutan dan terlampau, jiwa kosong (empty), tiada harapan (hopeless) dan tiada siapa yang boleh bantu dirinya (helplessness). Perasaan-perasaan sebegini kerap berlaku dan kadangkala tanpa sebab yang nyata dan munasabah. Contoh, kerap menangis dan meratapi nasib diri. Dari segi pemikiran pula, wujud pemikiran-pemikiran yang negatif, pemikiran yang tidak rasional, dan pemikiran-pemikiran yang tidak membantu kefungsian aktiviti hariannya.

Contohnya, dalam kalangan pasangan rumah tangga, isteri yang sentiasa dipersalahkan akan berfikir “aku memang bersalah”, “aku memang selalu buat salah”. Contoh dalam kalangan pelajar, “aku memang bodoh” tidak ada gunanya lagi berusaha sebab cikgu, kawan-kawan dan ibu ayah selalu mengatakan dan menganggap aku budak bodoh.

Akhir sekali dari segi tingkah laku, seseorang itu kerap menyendiri, tidak atau kurang bergaul, tidak langsung melibatkan diri dalam aktiviti, dan suka berhibernasi, kerana reaksi tubuh yang sangat tidak aktif. Tetapi, kadangkala seseorang yang murung boleh juga bertindak agresif dengan orang lain ataupun dengan harta benda. Yang pasti, tingkah lakunya menjadi sangat sukar untuk dijangka atau diramalkan kerana tiada konsistensi.

Aaron Beck, pakar psikologi kognitif barat menyatakan terdapat 5 keadaan yang boleh membantu kita mengesan kemurungan iaitu:

1. Kerap mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri

2. Sering mengkritik diri dan menyalahkan diri sendiri

3. Sentiasa mempunyai tanggapan negatif terhadap sesuatu kejadian yang berlaku yang pada kebiasaannya tidak mengganggu dirinya

4. Berpandangan bahawa masa hadapan adalah muram dan berunsur negatif

5. Merasakan bahawa tanggungjawab dan aktiviti harian terlalu berat untuk dipikul

Manakala menurut DSM-V, diagnosis kemurungan hanya boleh dilakukan jika terdapat sekurang-kurangnya lima simptom kemurungan yang hadir untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu. Antara ciri-ciri atau simptom-simptom kemurungan adalah seperti berikut:

1. Hilang minat atau kehendak pada perkara-perkara yang selama ini dibuat atau suka untuk melakukannya.

2. Merasa sedih atau kesunyian yang amat sangat.

3. Mudah menangis atau menangis tanpa sebarang sebab.

4. Hilang daya atau tenaga serta merasa lemah yang amat sangat.

5. Rasa bersalah yang amat sangat atau hilang keyakinan diri.

6. Hilang selera makan dan kehilangan berat badan yang ketara.

7. Merasa mati itu lebih baik atau lebih kronik lagi sentiasa berfikir untuk membunuh diri.

8. Bermasalah untuk membuat keputusan.

9. Sukar untuk tidur atau apabila terjaga sukar untuk tidur kembali.

Dengan adanya maklumat berkenaan tanda-tanda atau simptom kemurungan ini maka mudah bagi seseorang kaunselor atau ahli keluarga yang prihatin mengesan sama ada klien atau seseorang yang dikenali menghadapi kemurungan ataupun tidak.

PUNCA KEMURUNGAN

Terdapat banyak teori yang telah menghuraikan bagaimana sindrom kemurungan boleh berlaku. Antara punca kemurungan yang dijelaskan oleh teori-teori sedia ada ialah: 1. Kemurungan disebabkan oleh faktor-faktor dari tekanan diri, kurang yakin pada diri sendiri dan estim kendiri yang rendah. 2. Kemurungan manusia disebabkan dari kehilangan daya kawalan ke atas perlakuan-perlakuan individu (learned helplessness). 3. Kemurungan berlaku disebabkan oleh ketidakstabilan emosi. Pengaruh emosi seperti perubahan emosi kerana menghadapi tekanan hidup sering kali menjadi punca masalah kemurungan.

Selain faktor-faktor di atas, faktor yang melibatkan biologi yang merangkumi; (1) faktor genetik, (2) faktor biokimia, dan juga (3) faktor hormon, juga boleh menyebabkan kemurungan. Kemurungan didapati berlaku lebih kerap kepada seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kemurungan.

Oleh itu ada kemungkinan kemurungan ini boleh diwarisi melalui genetik atau baka keturunan. Ada juga yang mengatakan bahawa kemurungan disebabkan oleh kefungsian otak kita yang mana melibatkan; (1) fungsi neurotransmitters tertentu (yang mempengaruhi perasaan gembira dan suka), atau (2) ketidakseimbangan dalam kuantiti neurotransmitter tertentu.

Antara tanda-tanda kemurungan seseorang itu kerap menyendiri atau kurang bergaul.

Justeru, kita harus sentiasa mencari keseimbangan dalam aktiviti yang melibatkan fungsi minda dan juga aktiviti yang melibatkan tubuh badan – Mind-Body harmony/Homeostasis. Selain itu, perubahan dalam pengeluaran hormon dan kefungsian hormon boleh menyebabkan kemurungan terjadi. Contohnya, ibu-ibu yang baru lepas bersalin ada kecenderungan untuk menjadi murung yang disebabkan oleh perubahan hormon dalam tubuh badan.

Seterusnya faktor situasi atau persekitaran memang kerap menyebabkan kemurungan dalam kalangan masyarakat kita sekarang yang melibatkan trauma, perubahan besar atau mendadak dalam kehidupan, dan keperitan hidup. Contohnya, kehilangan orang tersayang, hilang pekerjaan, dan menghadapi masalah kewangan boleh menyebabkan seseorang menjadi murung.

CARA MENGATASI KEMURUNGAN

Bagi merawat kemurungan, ia perlu dikenal pasti dan diberikan diagnosis sebelum rawatan dapat diberikan. Individu yang mempunyai penyakit ini, boleh memilih untuk mendapat bantuan profesional melalui (1) psikoterapi atau kaunseling (talking therapy) atau (2) penggunaan ubat. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada tahap keseriusan simptom yang dialami. Pada kebiasaannya, bagi kes sederhana atau berat, kombinasi terapi boleh digunakan untuk merawat pesakit. Kajian telah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan apabila kombinasi rawatan digunakan.

Selain, itu terdapat beberapa langkah pencegahan dalam masalah kemurungan ini. Antaranya ialah melalui (1) pemakanan, (2) pergerakan, (3) pergaulan dan perhubungan, (4) tingkah laku positif seperti melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti atau hobi dan (5) mencabar pemikiran yang negatif.

Dalam aspek pemakanan, individu perlu memilih makanan yang sihat dan memberi tenaga positif kepada mood individu terbabit. Dalam aspek pergerakan, individu perlu memaksa diri untuk membuat apa-apa pergerakan walaupun sekadar memaksa diri untuk bangun dari katil, menyapu sampah atau turun naik tangga.

Dari pergi pergaulan dan perhubungan pula, individu perlu mempunyai pergaulan yang sihat dan perhubungan yang menyokong bukan mengongkong. Seterusnya ialah dengan melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti di mana seseorang individu dapat melakukan aktiviti yang buatkan diri merasa seronok, seperti sesuatu yang berkaitan dengan hobi dan mencuba melakukan aktiviti tersebut menjadi rutin harian.

Peranan masyarakat dan orang sekeliling sangat penting dalam membantu memulihkan kemurungan.

Pemikiran yang negatif sangat tidak baik kepada psikologi individu. Oleh itu, individu perlu belajar untuk mencabar pemikiran yang negatif. Pendekatan psikologi ini memerlukan kekuatan dalaman sebab ia melibatkan self-talk, self-reminder, dan self-confrontation. Akhir sekali individu digalakkan untuk mendapat bantuan profesional seperti berjumpa dengan kaunselor profesional untuk mendapatkan bantuan.

PERANAN KELUARGA DAN MASYARAKAT

Keluarga dan masyarakat memainkan peranan yang penting bagi membantu individu yang menghadapi masalah kemurungan. Hal ini kerana, individu yang mengalami masalah kemurungan sangat memerlukan sokongan emosi daripada orang yang signifikan semasa proses penyembuhan. Aspek yang dititikberatkan dalam keluarga adalah (1) kasih sayang, (2) penghargaan, (3) masa, dan (4) aktiviti. Manakala masyarakat pula berperanan untuk (1) ambil kisah dan ambil peduli, dan (2) ambil tindakan sewajarnya.

Keluarga (ibu bapa, suami/isteri, adik-beradik, sanak saudara) perlu memberikan kasih sayang sepenuhnya “unconditional positive regards”, “unconditional love” supaya seseorang anak/ isteri/ suami merasai diri mereka disayangi, dikasihi, dan dipunyai dalam keluarga. Ini salah satu keperluan asas manusia untuk berkembang dan berfungsi.

Sikap menghargai sangat penting bagi mengekpresi penghargaan kepada sesuatu pihak. Individu perlu menghargai sumbangan dan peranan ahli keluarga meskipun sekecil zarah kerana dengan menghargai, kita mewujudkan dan membantu perkembangan harga diri seseorang itu. Dia akan rasa dirinya penting dan bermakna dalam keluarga.

Seterusnya meluangkan masa berkualiti untuk keluarga, mendengar masalah mereka, mengambil peduli kesukarannya di sekolah atau di tempat kerja, dan cuba libatkan anak-anak dalam aktiviti harian, serta banyak beri bimbingan dan nasihat untuk bantu mereka mendepani kesukaran/masalah yang dihadapi.

Akhir sekali atur dan laksanakan aktiviti kekeluargaan meskipun sekadar makan bersama pada waktu malam atau solat berjemaah. Aktiviti ini membantu kita memerhati gerak-geri anak-anak atau ahli keluarga dan membantu kita cepat mengesan dan memahami mangsa kemurungan.

Jalani kehidupan yang lebih sihat agar terhindar dari kemurungan.

Masyarakat amnya perlu mengambil kisah dan ambil peduli tentang isu kemurungan ini dengan menanamkan semula sikap prihatin terhadap anggota masyarakat yang lain.

Seterusnya, masyarakat tidak terkecuali untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat pelaporan kepada keluarga, pihak sekolah, majikan tempat kerja, dan pihak-pihak berkuasa sekiranya ada individu yang mengalami krisis kemurungan kronik yang dizahirkan dari perlakuan mencederakan diri atau mencederakan orang lain.

Sekiranya ahli masyarakat tahu kewujudan individu yang dalam krisis sebegini tetapi tidak mengambil tindakan segera, maka mereka boleh menyebabkan individu tersebut semakin “sakit” dan ahli masyarakat sekeliling juga akan berada dalam keadaan berbahaya.

AKIBAT KEMURUNGAN

Kemurungan akan membuatkan kualiti hidup seseorang berada pada tahap yang sangat rendah. Individu merasa tiada keseronokan dalam hidup dan tiada dirasai makna dan nikmat kehidupan.

Kemurungan boleh mengakibatkan seseorang itu (1) mempunyai idea untuk membunuh diri; (2) membuat cubaan untuk membunuh diri, dan (3) mengambil tindakan membunuh diri.

Rafidah Aga Mohd. Jaladin.

Yang paling ditakuti, kemurungan boleh mengakibatkan seseorang jadi pembunuh (kegiatan jenayah), yang sanggup membunuh ahli keluarga sendiri, jiran tetangga ataupun ahli komuniti.

Penulis merupakan Kaunselor Berdaftar (KB0196, PA0300), Ahli Eksekutif Persatuan Kaunseling Malaysia (2015-2019), dan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...