> > Tak sangka bekas pemain bola sepak ini pernah hias Istana Bunckingham London sampai diiktiraf negara!
Tak sangka bekas pemain bola sepak ini pernah hias Istana Bunckingham London sampai diiktiraf negara!
ZALMIMAZURA ZAHARI Rabu | 13 Mac 2019

Melihat kepada profil pengalaman dan kerjaya yang dilakukannya, sungguh mengujakan. Masakan tidak, bergelar pereka flora untuk menghiasi kediaman rasmi bekas Perdana Menteri Malaysia, malah istana Buckingham London juga menunjukkan Ikon ini bukan calang-calang orangnya.

Maka tidak hairanlah dek sumbangannya itu, dia diiktiraf oleh Malaysia sebagai Pakar Bunga Negara. Profesion sebagai pereka gubahan bunga, bunyinya agak pelik, namun hakikatnya itulah tanggungjawab yang perlu digalas oleh Mohd Azmy Osman, 43, untuk memastikan industri gubahan bunga atau flora terus diangkat di persada dunia.

Azmy bersama para peserta bengkel gubahan bunga.

Di negara luar, pekerjaan sebagai pereka gubahan flora telah dijadikan sebagai industri yang memberangsangkan kerana ia mampu menjana pendapatan tinggi jika seseorang itu bijak dan kreatif dalam penggubahan yang dilakukan. Namun di Malaysia, profesion itu masih dianggap 'perlahan' dan kurang mendapat tempat di hati masyarakat kerana menganggap kerja-kerja menggubah bunga hanya sekadar hobi atau suka-suka bagi memenuhi masa lapang.

"Sebab itu sekembalinya dari luar negara, saya mengharapkan dapat membantu dan memberi kesedaran dan latihan kepada mereka yang ingin menjana pendapatan dalam industri gubahan bunga. Saya percaya jika kita ada keyakinan, kreativiti dan mencipta sesuatu kelainan daripada orang lain, benda yang murah pun akan nampak mahal. Percaya tak, anda mampu meraih keuntungan 75% daripada kos asal. Ini kerana hasil gubahan mampu memberi impak berbeza dan tampak eksklusif biarpun menggunakan bahan terbuang mahupun tumbuhan liar," kata graduan Master Flora Art & Design UK (KLC School of Design London) ini.

KESENANGAN TAK DATANG BERGOLEK

Memikul tugas selaku tenaga pengajar dalam bidang berlainan daripada kemahiran sendiri memang sukar. Apatah lagi ramai yang memandang kerjaya ini tidak sesuai untuk lelaki sepertinya. Namun demi minat dia tetap meneruskannya dan 'menelan' kata-kata negatif yang dilemparkan padanya.

Azmy (tengah) ketika beraksi dalam sukan bola sepak mewakili negeri.

Bertunjangkan pada prinsip untuk menabur bakti selain mengetengahkan bakat, Azmy cuba tampil dengan kelainan dalam mencari peluang menjana pendapatan. Lebih-lebih lagi hampir semua pekerjaan dilakukan termasuklah pernah bermain bola sepak mewakili negeri, kerjaya sebagai juru gambar, editor majalah kereta dan sebagainya. Namun setiap kerja yang dilakukan ada kepuasan yang tersendiri.

"Ya, pada mulanya saya mengaku bukan senang untuk membiasakan diri menggubah bunga kerana saya tidak mempunyai sebarang kemahiran asas. Walau bagaimanapun perlahan-lahan saya mencuba dan kini, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian yang diraih. Sebenarnya bidang gubahan ini datang secara spontan. Hanya melalui pembacaan tentang gubahan bunga, hati saya tertarik untuk mendalami dengan serius. Pada tahun 2003, dengan berbekalkan perbelanjaan sendiri, saya travel seorang diri ke Eropah untuk mendapatkan ilmu dan kepakaran.

Kerap mendapat jemputan dari pihak media untuk mempromosikan gubahan bunga.

"Dari tahun 2003 hingga 2012, saya berulang alik Malaysia ke luar negara dan hampir 30 buah sekolah saya jelajah semata-mata untuk mendalami ilmu dan kepakaran gubahan bunga. Memang ramai orang yang memperkecilkan kebolehan keran saya tidak ada kemahiran tetapi hasil minat dan belajar yang berterusan, ia bercambah menjadi satu kerjaya tetap. Susah atau tidak, yang penting ialah usaha dan semangat kerana dua prinsip itu membolehkan seseorang individu tersebut mencapai apa sahaja yang dihajati," katanya yang diiktiraf oleh Direktori Pakar Industri Negara (DPIN) setelah melihat kesungguhan dan minat selain menjadi tenaga pengajar di bumi Britain.

MAMPU BERI PULANGAN LUMAYAN

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, khidmatnya sangat diperlukan di Britain dan tidak hairanlah Azmy dipilih menjadi tenaga pengajar di kebanyakan kolej di sana. Namun persepsi ini jauh berbeza di Malaysia kerana kursus tersebut agak terhad dan sudah sampai masanya bahagian pendidikan mewujudkan peluang dalam bidang kemahiran bagi memfokuskan seni hiasan.

Antara hasil gubahan bunga dari Azmy.

Biarpun pendidikan di Malaysia menyediakan pelbagai kursus kemahiran, namun bidang hiasan dalaman seakan dipandang 'sepi' dan penglibatan kaum lelaki juga sangat kurang kerana golongan ini lebih tertumpu pada bidang mekanikal atau elektrik, mungkin merasakan bidang tersebut lebih menjamin masa depan.

"Situasi ini perlu diubah kerana setiap bidang mempunyai pelan pembelajaran yang kukuh, yang boleh dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, negara kita perlu mencontohi negara luar yang menyediakan pelbagai kursus pembelajaran demi membantu masyarakat menjana pendapatan menerusi bidang kemahiran ini," katanya yang pernah menjadi penasihat Floria Di Raja Putrajaya.

Surat pelantikan sebagai Pakar Bunga Negara bagi Worldskills Competition 2019 bidang floristry.

Dalam pada itu, Azmy berkata, seni gubahan bunga mampu memberi pendapatan lumayan jika seseorang itu ada minat dan kreativiti. Tambahan pula bahan yang diperlukan untuk proses menggubah bunga sangat mudah kerana hanya memerlukan bunga segar, bunga plastik atau tumbuhan liar manakala kos pembuatan juga tidak tinggi. Pun begitu, jelas Azmy lagi yang mendatangkan 'keuntungan' adalah idea kerana idea yang kreatif mampu memberi pulangan lumayan kerana sememangnya manusia suka akan sesuatu yang unik dan lain daripada yang lain.

"Hanya dengan menggunakan bunga, pelbagai gubahan boleh dihasilkan asalkan ia kreatif, sesuai dengan peredaran zaman dan yang paling penting keaslian idea itu sendiri. Insya- ALLAH itu yang saya mahu buat ketika ini kerana industri tersebut mempunyai potensi cukup besar untuk dimajukan. Saya sudah berada di dalam industri ini hampir 13 tahun.

Apa juga gubahan boleh dihasilkan asalkan ada minat dan kreatif.

"Saya melihat ia sebagai satu peluang keemasan buat golongan muda terutamanya yang mahu memperoleh pendapatan tambahan. Bidang kemahiran memang sesuatu yang boleh menjana keuntungan. Sebab ia perlu ada pembelajaran berterusan supaya kita dapat bersaing dengan semua orang," kata bapa kepada empat cahaya mata ini.


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...