> CETUSAN > 'Karenah' dan 'kerenah' bahasa Melayu! Jauhkan bahasa kebangsaan daripada keracunan yang semakin melebar...
'Karenah' dan 'kerenah' bahasa Melayu! Jauhkan bahasa kebangsaan daripada keracunan yang semakin melebar...
ABDULLAH MOHD YASSIN Khamis | 14 Mac 2019

Sewajarnya diketahui oleh semua pengguna bahasa Melayu bahawa perkataan ‘kerenah’ dalam Kamus Dewan bererti ragam, tingkah laku, kemahuan dalam budaya hidup manusia yang merangkumi semua gerak laku termasuk penggunaan bahasa.

Perkataan ‘karenah’ pula yang berasal daripada bahasa Arab yang bererti alamat, bukti, tanda yang akan berlaku daripada sesuatu tindakan kini.

Yang kurik itu kundi

Yang merah itu saga

Yang baik itu budi

Yang indah itu bahasa

Masih banyak orang kita tidak memahami pantun ini terutama maksud baris pertamanya tetapi baris kedua, ketiga dan keempat dapat diikuti dan difahaminya.

Namun terdapat sebahagian daripada kita menyimpulkan bahawa baris pertama itu dianggap penggunaan bahasa klasik yang tidak perlu difahami.

Tidak kurang juga yang memandai-mandai mengubah baris pertama itu dengan perkataan biasa yang difahaminya.

Inilah antara kerenah penggunaan bahasa Melayu yang mungkin membayangkan satu karenah negatif terhadap bahasa Melayu pada masa hadapan.

Kerancuan bahasa Melayu kini berlaku di mana-mana sahaja, sama ada secara lisan atau bertulis di negara kita yang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kerap kali kita mendengar dan terbaca ungkapan ‘oleh kerana’ dan ‘oleh sebab’ digunakan di mana-mana sahaja oleh pelbagai pihak secara silih berganti.

Sebagai contoh dalam pelbagai penyampaian lisan daripada percakapan biasa kepada pengucapan dan penyampaian formal frasa ini digunakan secara tidak tekal. Hatta dalam bidang akademik dan dalam media massa yang tersohor juga kerap berlaku sedangkan frasa ‘oleh kerana’ salah tatabahasanya.

Jika ditanya sebab kerenah begini berlaku, ada yang menjawab secara semberono, “Asalkan orang faham, oklah tu”. Terkedu jika pejuang bahasa mendengar jawapan begini.

Begitu juga penggunaan kata nafi dalam bahasa Melayu iaitu ‘tidak’ dan ‘bukan’. Jika diteliti penggunaannya kini oleh sebahagian daripada kita didapati ketidaktekalannya masih terjadi. Kadang-kadang kata nafi ‘tidak’ digunakan pada frasa yang sepatutnya kata nafi ‘bukan’.

Begitu juga penggunaan sebaliknya berlaku. Kerenah begini membuktikan keraguan penggunanya yang boleh menjadi karenah negatif terhadap bahasa kebangsaan yang kita sayangi ini.

Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ juga masih banyak dalam kalangan kita menyimpan keraguan semasa menggunakannya.

Kerenahnya sama dengan kata nafi iaitu penggunaan salah secara tertukar menyilang yang disifatkan sebagai keraguan.

Namun, tidak kurang juga yang tidak mempunyai pertimbangan ilmu tatabahasa ketika menggunakannya. Kedua-dua sebab ini boleh menjelma sebagai karenah negatif kepada bahasa Melayu kita.

Dalam baris pertama pantun ’yang kurik itu kundi’ merupakan pernyataan alam yang biasa berlaku di alam Melayu. ‘Kurik’ ialah rupa sesuatu dari aspek warna iaitu bintik-bintik atau rintik-rintik. Biasanya rintik-rintik ini percampuran antara warna hitam dan putih.

‘Kundi’ ialah biji saga yang kurik yang biasanya digunakan untuk menimbang emas pada masa dahulu. Oleh itu, baris ‘yang kurik itu kundi’ menjelaskan bahawa biji saga yang berbintik-bintik itu dikenali sebagai kundi.

Manakala baris kedua ‘yang merah itu saga’ menegaskan bahawa hanya biji saga yang berwarna merah sahaja dipanggil saga dan tidak boleh dipanggil kundi lagi.

Menyentuh frasa ‘oleh sebab’ dan ‘oleh kerana’, hanya ‘oleh sebab’ sahaja yang boleh digunakan dan betul mengikut acuan tatabahasa. Hal ini disebabkan perkataan ‘oleh’ merupakan satu daripada kata sendi dan ‘sebab’ ialah kata nama yang digabungkan untuk melahirkan frasa sendi nama.

Manakala ‘kerana’ merupakan kata hubung dan tidak boleh digabungkan dengan kata sendi nama. Manakala penggunaan kata nafi ‘tidak’ hanya untuk menafikan frasa kerja dan frasa adjektif sahaja. Kata ‘bukan’ pula untuk menafikan frasa nama dan frasa sendi nama.

Begitu juga penggunaan kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ seharusnya sentiasa mengikut alur tatabahasa yang betul. Kata pemeri ‘ialah’ hanya boleh berada di hadapan kata nama sahaja, manakala ‘adalah’ di hadapan kata adjektif atau kata sendi nama.

Namun demikian jika ragu dalam penggunaan kata pemeri, maka amat wajar ditinggalkan sahaja penggunaannya kerana tidak mencacatkan aspek tatabahasa. Kesemua ini merupakan kerenah penggunaan beberapa jenis perkataan bahasa Melayu yang betul.

Jika kita sama-sama mengamalkan kerenah yang betul dalam hal kebahasaan kita, bahasa kebangsaan negara akan betul-betul menikmati martabatnya pada masa akan datang.

Jauhkan bahasa kebangsaan kita daripada kerancuan yang semakin melebar kerana boleh menjadi karenah yang gelap pada masa akan datang kepada bahasa Melayu yang kita cintai ini.

Jadikan slogan “Betulkan yang biasa, biasakan yang betul” sebagai slogan yang hidup dan bernafas.

Oh, bahasaku!

*Artikel dipetik daripada ruangan Oh, bahasaku! yang dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka terbitan Sinar Harian Khamis 14 Mac 2019


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...