> > Ada sebab siswa Psikologi Sukan berdarah kacukan ini kembali dan wakili Malaysia. Ceritanya...
Ada sebab siswa Psikologi Sukan berdarah kacukan ini kembali dan wakili Malaysia. Ceritanya...
NAIMAH MUHAMMAD FOTO: RUSSELTAIB.COM Khamis | 4 April 2019

RUSSEL Alexander Nasir Taib, atlet muda berdarah campuran Malaysia-Australia sedang mencipta nama sebagai atlet lumba lari negara, sebelum ini sememangnya sudah dikenali sebagai atlet pecut di Australia.

Namun, disebabkan semangat dan darah Melayu yang masih mengalir dalam dirinya, dia kembali ke tanah air bagi menyumbang sesuatu untuk negara tercinta.

Bagi penulis, ketika diberi tugasan untuk mewawancara atlet sukan olahraga yang dibesarkan di Australia ini, pelbagai andaian bermain di minda penulis mengenai kemampuannya.

Namun, sebaik melihat ketangkasannya di padang balapan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Kejohanan Malaysia Open Grand Prix baru-baru ini, meleraikan segala tanda tanya.

Russel ingin mencipta nama sebagai atlet sukan yang berjaya di Malaysia.
Kelibat pelari berkulit putih dengan rambut perang itu berjaya menamatkan pusingan kedua acara 200 meter dengan catatan masa 21.24 saat telah menunjukkan sisi hebatnya.

Menyorot peribadinya, Russel, 21, dilahirkan di Kuala Lumpur. Ketika berusia tiga tahun, Russel dan keluarganya telah berpindah ke Horbart, Tasmania, Australia.

Sejak awal lagi, Russel memang memilih untuk terlibat dalam acara larian. Bakat sebenar Russel dicungkil gurunya ketika melihat bakat remaja kacak ini yang boleh berlari dengan pantas.

“Ketika itu, umur saya 11 tahun. Sejak itu, saya telah diberi latihan khusus oleh jurulatih bertauliah,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Oh! Lelaki di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini.

Setahun selepas itu, bintangnya bersinar apabila anak muda ini menerima Anugerah Junior National U14 dalam acara 100 meter di Australia.

Russel (dua, kiri) ketika beraksi dalam satu pertandingan yang disertainya beberapa tahun lalu.

Tidak berhenti setakat di situ, Russel kemudian menggondol gelaran juara pada Junior Australia sebanyak lapan kali dengan memenangi U18 pada Kejohanan Kebangsaan Junior Australia.

“Banyak lagi sebenarnya,” kata penuntut University of the Sunshine Coast dalam jurusan Ijazah Psikologi Sukan ini sambil tertawa kecil.

Bagaimana permulaan Russel terpilih menjadi atlet Malaysia?

Ini semua bermula apabila dirinya berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 200 meter pada Kejohanan Trek Klasik Queensland di Brisbane, Australia.

Russel menduduki tangga kedua dengan catatan 20.77 saat sekali gus memadam rekod terdahulu 20.90 saat yang dilakukan oleh Raja Pecut Kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.
Russel berhasrat harumkan nama Malaysia di persada sukan tanah air.

Kejayaan itu menjadi titik tolak kepadanya apabila dia diberi kepercayaan untuk bertanding di tanah air sebagai atlet Malaysia.

“Saya memang ingin mencurahkan bakat saya dengan negara kelahiran saya iaitu Malaysia. Saya gembira telah menyarung jersi Malaysia. Saya rasa sudah tiba masanya saya mewakili negara. Sudah menjadi hasrat saya untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa,” kata Russel yang senang diajak berbicara walaupun sisa kepenatan masih terserlah pada wajahnya.

Walaupun gagal menyumbangkan pingat emas pada Kejohanan Malaysia Open Grand Prix, Russel berkata tetap berpuas hati berada di tempat kedua apabila mencetak catatan masa 21.12 saat, tewas kepada atlet Taiwan, Tai Shenf Wei dalam pusingan ketiga.

Bersama atlet Malaysia lain.
“Biasalah, tak mengapa. Saya gembira dengan keputusan baharu ini. Selepas ini, saya akan memberi tumpuan sepenuhnya pada Kejohanan Olahraga Asia di Doha tidak lama lagi. Saya juga akan melihat semula apa kelemahan yang boleh saya perbaiki sebelum berdepan aksi di Doha nanti,” kata Russel bersungguh, enggan menoleh ke belakang.

Bahasa Melayu

Anak bongsu daripada tiga beradik ini kelihatan memahami apabila diajukan soalan dalam bahasa Melayu walaupun tidak mampu menjawabnya dengan baik.

Bersama ibunya, Karen.
“Saya masih belajar bercakap dalam bahasa Melayu. Walaupun ayah saya berasal dari Perak dan ibu berketurunan British, kami selesa berkomunikasi guna dalam bahasa Inggeris,” beritahu Russel.

Di sebalik ‘kekurangan’ itu, Russel bagaimanapun amat menyukai masakan Melayu terutama nasi goreng, roti canai dan nasi lemak.

Russel juga amat bertuah apabila ibunya sememangnya amat pandai memasak dan tiada masalah untuk menyediakan masakan Melayu.

“Alhamdulillah dengan nikmat ini. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya dalam bidang olahraga,” ujarnya di akhir temu bual.
RUSSEL ALEXANDER NASIR TAIB

ANEKDOT

NAMA: Russel Alexander Nasir Taib

ADIK BERADIK: Anak pertama daripada tiga beradik

LAMAN SESAWANG SUKAN: http://www.russeltaib.com

MISI DALAM SUKAN: Terpilih dalam Sukan Asia

SEBAB PILIH SUKAN LARIAN: Suka berlari dan tidak suka sukan secara berpasukan. “Bagi saya larian hanya perlukan fokus dan kekuatan stamina, itu sebab saya pilih acara larian,” katanya.

PENCAPAIAN DALAM SUKAN

*Pingat Perak acara 4x100 meter lelaki Sukan Sukma 2018

*Pingat Gangsa acara 200 meter Sukan Sukma 2018

*Pingat gangsa acara 4x100 meter, Sukan Sukma 2016

*Tempat ke-5 larian 100 meter, Belia Sukan Komanwel di Samoa 2015

*Pingat gangsa di U/400 meter 1st Asian Youth Games, 2015

*Artikel ini dipetik daripada sisipan Oh! Lelaki terbitan Sinar Harian, Khamis 4 April 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...