> JOHOR > Program Sulam dipelopori UTM akan diperluas ke universiti, politeknik
Program Sulam dipelopori UTM akan diperluas ke universiti, politeknik
BERNAMA Isnin | 15 April 2019

KOTA TINGGI - Program Service Learning Malaysia- University for Society (Sulam) yang dipelopori Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan diperluas ke universiti dan politeknik lain di negara ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Sulam merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti.

"Program ini (Sulam) memberi pengalaman pembelajaran yang mengaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian masalah sebenar dalam komuniti.

Manakala, penduduk setempat seperti di Pulau Tanjung Surat pula bakal memperoleh manfaat melalui program sebegini di mana pelbagai kemudahan dan infrastruktur dapat disediakan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sulam di Pulau Tanjung Surat, Pengerang, baru-baru ini.

Maszlee berkata beliau percaya Sulam dapat menghasilkan graduan yang bakal menjadi lentera kepada kemajuan masyarakat dan UTM pada dasarnya mempunyai kepakaran yang pelbagai dari sudut teknologi.

"Saya difahamkan seramai lebih 200 orang mahasiswa dari pelbagai disiplin telah berkongsi kemahiran mereka dengan penduduk kampung dan komuniti di Pulau Tanjung Surat melalui pendekatan Sulam sejak November 2017 dengan membawa tema eko-warisan pelancongan," katanya.

Katanya, pemilihan Pulau Tanjung Surat, amat bersesuaian dengan program Sulam kerana keunikannya dan kaya dengan sejarah dan warisan.

"Kepakaran penyelidik dan konsep universiti untuk masyarakat yang diketengahkan oleh UTM boleh membantu masyarakat khasnya di Pulau Tanjung Surat meningkatkan kemajuan mereka walau tinggal jauh dan terpencil.

"Tadi saya melihat permainan jong yang patut diteruskan dan saya percaya dengan adanya program Sulam, segala sumber budaya yang ada di sini turut dapat diketengahkan sebagai ikon untuk memperkenalkan Pulau Tanjung Surat ke serata dunia," katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Farizal Ismail.- Bernama


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...