> > Pencinta barang antik ini dedah pengalaman diganggu makhluk halus kacip sirih dan 'penunggu' keris lama
Pencinta barang antik ini dedah pengalaman diganggu makhluk halus kacip sirih dan 'penunggu' keris lama
NORAWAZNI YUSOF Khamis | 18 April 2019

KUANTAN - Ramai menganggap individu yang suka mengumpul barang lama dan antik melakukan 'kerja gila' kerana kosnya yang tinggi. Bagaimanapun, kepuasan memiliki barangan yang disukai 'merelakan' mereka menghabiskan wang ringgit kerana keutamaan adalah menjadikannya sebagai hak milik.

Perkara itu diakui peminat barangan antik Hairol Budiman Abu Bakar, 47, yang berpendapat barangan lama ada kisah dan sejarah tersendiri. Katanya, keunikan barangan itu hanya dapat dinilai oleh peminatnya sahaja.

Hairol Budiman Abu Bakar menaiki basikal roda tiga yang menjadi antara koleksi kesukaannya yang dipamerkan di Rumah Klaksik dan Karat Pekan di Jalan Rompin Lama.

Menurutnya, pada peringkat awal pembabitan, dia lebih berminat mengumpul basikal tua pelbagai jenama dari dalam dan luar negara.

“Saya terpaksa keluar masuk kampung di beberapa negeri untuk bertemu pemilik barangan lama. Bila dah jumpa saya akan beli termasuk radio, setem, kipas, buku, majalah lama dan sebagainya.

“Saya tahu setiap barang lama ada nilai tersendiri dan hanya orang seperti saya sahaja memahami," katanya.

Sebelum ini Hairol Budiman pernah mengumpul 75 unit basikal dan akan dibersihkan, dibaiki dan seterusnya dicat sehingga mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dalam kalangan warga emas tetapi golongan muda.

Pengunjung kanak-kanak juga antara yang meminati koleksi barang antik Hairol Budiman.

Pencinta barang antik yang menetap di Indera Sempurna ini memberitahu, dia terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk mendapatkan barangan kesukaannya semata-mata untuk simpanan peribadi.

“Saya tidak ingat berapa yang sudah saya laburkan bagi mendapatkan semua barangan antik ini sebab saya beli satu demi satu... lama-lama koleksi itu jadi banyak,” katanya.

Lebih menarik, kebanyakan rakannya sanggup berkunjung ke lokasi pengumpulan barang antik di Rumah Klasik dan Karat Pekan untuk memilih sendiri barang diminati.

“Pengalaman menerima bayaran RM150,000 hasil jualan 300 keping setem beberapa negara asing menjadi kenangan paling manis yang tidak mungkin saya lupakan.

“Saya bagai bermimpi menerima bayaran sebanyak itu daripada dua pelancong Singapura seolah-olah tak masuk akal. Sejarah lima tahun lalu itu membolehkan saya membeli sebuah rumah,” katanya.

Pengunjung melihat keratan akhbar lama yang turut dipamerkan di Rumah Klaksik dan Karat Pekan di Jalan Rompin Lama.

Dia juga tidak menyangka akan menjadi sebutan dalam kalangan peminat barangan itu dari dalam dan luar negara sehingga ada yang membuat tempahan secara tetap.

Bercerita lanjut, Hairol Budiman berkata, dia mendapatkan barangan antik melalui beberapa cara seperti membeli daripada pusat kitar semula selain mencari di kawasan kampung.

“Bekalan majalah dan buku lama termasuk setem pula diperoleh daripada pekerja pusat kitar semula. Saya akan bayar kepada mereka mengikut perjanjian,” katanya.

Menurutnya, jualan barangan antik mampu memberi pendapatan lumayan dan harga setiap produk bergantung kepada kos serta keunikan yang lazimnya antara RM5 hingga RM2,500.

Diganggu makhluk halus

Sepanjang 27 tahun mengumpul barangan antik, banyak pengalaman dilalui lelaki ini termasuk diganggu makhluk halus.

Menurutnya, makhluk terbabit dikatakan ‘bersama’ kacip sirih milik seorang penduduk Sungai Lembing yang dibelinya beberapa tahun lalu.

“Kejadian itu membuatkan saya lebih berhati-hati setiap kali ditawarkan barangan antik terutama daripada tembaga dan tembikar.

Hairol Budiman (kanan) menunjukkan koleksi keris kepada tetamu yang berkunjung ke Rumah.

Keris lama juga tidak terkecuali mempunyai ‘penunggu’ yang akan mengganggu pemiliknya.

“Bagi mengelak kejadian sama, saya mengambil pendekatan mendapatkan maklumat daripada pemilik senjata lama seperti keris, lembing dan parang bagi mengetahui alasan mereka mahu menjual barangan itu,” katanya.

Hairol Budiman memberitahu, ramai rakannya yang mempunyai minat sama dari seluruh negara bertukar maklumat dan menjalankan perniagaan secara tukar barang.

“Selain membeli dan menjual, saya juga menyewakan kepada individu berminat untuk pameran dan perhiasan pada majlis tertentu,” katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...