> AKTIVITI SENI > Perlu pelbagaikan genre teater sebagai tarikan - Dr Norzizi
Perlu pelbagaikan genre teater sebagai tarikan - Dr Norzizi
ZULQARNAIN ABU HASSAN Isnin | 22 April 2019

Dr. Norzizi Zulkifli, 43, berkelulusan dalam bidang Seni, Bahasa Inggeris dan Media di University of Wollongong, Australia. Anak kepada pasangan Datuk Zulkifli Zain dan aktres Datin Normala Omar ini merupakan pensyarah di Fakulti Filem, Animasi dan Teater (FiTA), Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.

Dr. Norzizi juga pernah ‘menguasai’ Istana Budaya pada tahun 2003 dengan Mak Yong Raja Tangkai Hati. Menjadikan Datuk Rahim Razali sebagai idola, antara pembabitannya sebagai pengarah teater lain adalah Di Bawah Lindungan Kaabah pada 1998 yang dibintangi pelakon hebat, Khir Rahman. Selepas itu, Zizi ditawarkan pula untuk mengarah teater Mak Yong Anak Raja Gondang.

Dr Zizi sewaktu pementasan naskhah Alang Rentak Seribu.

Ditanya tentang dunia teater, beliau berpendapat gelanggang teater hari ini pada dasarnya semakin berkembang. Apatah lagi anak-anak muda semakin ramai meminati bidang tersebut.

1.Selaku penggiat seni dan aktif dalam bidang teater, bagaimanakah Dr. Norzizi melihat perkembangan industri teater hari ini?

Semakin semarak dengan teater-teater indie. Jika lihat arus perdana teater-teater sentiasa konsisten dan ada di Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPAC), Kuala Lumpur dan juga di Damansara Performing Art Centre (DPAC). Tetapi tidak di Istana Budaya (IB).

Ia seakan akan tidak lagi menerbitkan produksi teater seperti dulu namun panggung IB banyak mempersembahkan konsert dan persiapan-persiapan hiburan yang disewakan kepada syarikat luar. Sungguhpun begitu, pada dasarnya teater semakin berkembang.

2.Bagaimana pula dari segi kemajuan. Adakah ia semakin diterima baik oleh orang awam atau sebaliknya?

Alhamdulillah, ada menunjukkan peningkatan. Penonton juga ada yang mula mencari persembahan teater. Biarpun di panggung-panggung yang kecil, tetapi masih ada kehadiran penonton.

3.Apakah yang perlu ditambah baik supaya dapat menarik minat atau memupuk orang awam memberikan sokongan terhadap industri teater?

Perlu lebih banyak persembahan dibuat dengan pelbagai genre baik tradisional, kontemporari, muzikal, klasik, semuanya harus diteruskan. Pemupukan kena dilaksanakan dari usia yang muda lagi sejak dari bangku sekolah. Andai minat menonton dipupuk dari kecil, makanya boleh mendapat perhatian. Jika di peringkat universiti ataupun belia, kita baru nak semai minat, itu pastinya sukar.

4.Bagaimanakah sesebuah pementasan itu boleh dianggap atau dikira berjaya. Apakah antara elemennya?

Elemen berjaya ini subjektif. Lazimnya, jika dikatakan baik, skrip yang baik, arahan yang bagus, pelakon yang dapat menyampaikan kehendak pengarah dan watak yang dijelmakan oleh penulis dari dalam skrip dan keberkesanannya kepada penonton. Ini yang akan akhirnya dinilai sama ada teater itu baik, berjaya atau gagal.

5.Apakah ciri-ciri seorang pelakon pentas yang bagus?

Bagi saya mestilah dapat membawakan watak dengan baik dan menghayati dialog dengan berkesan. Diikuti, mempunyai suara yang lantang, jelas dan ada pesona di atas pentas. Selain itu, ekspresi dan emosi perlu hebat untuk menjadi pelakon yang hebat di samping disiplin olah tubuh yang baik.

6.Apakah antara cabaran utama dalam menjayakan pementasan teater?

Sejujurnya adalah bajet dan sistem latihan yang panjang untuk menyiapkan sebuah produksi. Menghasilkan sebuah teater, ia sebuah proses yang rumit dan tidak mudah. Teater tidak dapat dilakukan dengan masa yang singkat kerana sifatnya yang pasti perlukan masa dan latihan yang panjang untuk membolehkan pementasan dibuat.

7.Berapa lamakah masa latihan yang solid perlu dijalani oleh pelakon pentas sebelum pementasan berlangsung?

Bergantung kepada genre pementasan. Jika muzikal, sebaiknya tiga bulan kerana perlu latihan nyanyian, lakonan dan tarian. Teater sebaiknya minimum adalah satu bulan atau satu bulan setengah ke dua bulan.

8.Sebagai pensyarah, bagaimanakah Dr. Norzizi melihat generasi yang bakal mewarnai dunia teater kelak?

Dunia pasti akan diwarnai dengan lebih baik kerana banyak para graduan dan seniman muda yang lahir hari ini. Lalu, persepsi mereka lebih maju dan mudah serta seharusnya menakluki dunia teater hari ini sebagai pelapis. Di FiTA, kami berperanan sebagai pembekal generasi seniman.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...