> CETUSAN > Isra’ dan Mikraj: Hikmah dan pengajaran daripadanya
Isra’ dan Mikraj: Hikmah dan pengajaran daripadanya
MOHAMMAD HAZMANYAZID HASLUBIS Khamis | 9 Mei 2019

Setiap kali tibanya bulan Rejab, umat Islam akan menyambutnya dengan memperingati peristiwa agung Isra’ dan Mikraj. Isra’ dan Mikraj bermaksud perjalanan Rasulullah ada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, kemudian Baginda naik ke langit hingga ke Sidratul Muntaha. Peristiwa ini berlaku lebih kurang setahun sebelum Rasulullah berhijrah ke Mekah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 1 bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin) yang kami berkati sekelilingnya, untuk kami perlihatkan kepadanya tanda- tanda (kebesaran dan kekuasaan) kami. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan satu petanda bahawa risalah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah tidak hanya untuk bangsa Arab semata-mata, tetapi juga untuk sekalian manusia dan seluruh alam ini. Peristiwa ini juga merupakan satu penghormatan kepada Rasulullah sebagai rasul akhir zaman, yang tidak dianugerahkan kepada nabi dan rasul yang lain sebelum Baginda.

Menurut sejarah, latar belakang berlakunya peristiwa agung ini kerana kesedihan dan kedukaan Rasulullah akibat tentangan, ancaman, pemulauan, ejekan dan sebagainya yang telah dilakukan oleh kaum kafir musyrik terhadap Baginda. Apatah lagi pada masa yang sama, Rasulullah kehilangan dua tonggak utama yang menjadi tulang belakang gerakan dakwah pada waktu itu, iaitu isteri Baginda Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib. Tahun Rasulullah kehilangan kedua- duanya diabadikan oleh sejarawan Islam sebagai ‘Tahun Kesedihan’.

Hasil yang terpenting daripada perjalanan Isra’ dan Mikraj Rasulullah adalah perintah menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Ia merupakan suatu ibadah yang mempunyai nilai tertinggi, sekaligus sebagai roh agama Islam itu sendiri.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah as-Somit bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah memfardhukan solat lima waktu ini kepada sekalian hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya dengan sempurna dan tidak mengurangkan haknya, maka baginya adalah janji Allah dengan balasan syurga. Dan sesiapa yang meninggalkan dan meringankan haknya, maka tiadalah baginya janji Allah itu. Terpulang kepada kehendak Allah, sama ada mengasihani atau menyeksanya.” (Hadith riwayat Imam Malik).

Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan, kemelesetan ekonomi, keruntuhan akhlak, maksiat yang berleluasa dan sebagainya mempunyai sebab musabab yang saling berkaitan. Hujung pangkal keadaan musibah yang menimpa umat Islam ialah kerana lemahnya iman dan betapa malasnya melaksanakan ibadah yang sempurna kepada Allah SWT, terutamanya ibadah solat.

Seluruh umat Islam sekalian, marilah kita bersama-sama memelihara ibadah solat yang diperintahkan oleh Allah SWT dengan sempurna. Bukan sekadar melaksanakannya, bahkan mendirikannya dengan penuh khusyuk, melahirkan sifat dan akhlak yang terpuji di dalam kehidupan. Bergaul dan berkomunikasi sesama insan dengan penuh adab kesopanan. Sesungguhnya inilah nilai persaudaraan yang ingin dicapai melalui ibadah solat.

Persaudaraan yang berdasarkan takwa, saling hormat-menghormati, saling menghargai dan bersaing secara sihat demi keredhaan Allah SWT semata- mata.

Marilah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa Isra’ dan Mikraj ini, kita hendaklah menjaga hubungan dengan Allah SWT dengan cara melaksanakan segala perintah-Nya. Peristiwa Isra’ dan Mikraj dapat mengukuhkan lagi keyakinan umat Islam kepada perkara-perkara ghaib. Kita mesti sempurnakan solat kerana solat adalah tonggak agama, asas kemajuan dan kesejahteraan hidup manusia.

* Merupakan Mahasiswa Tahun 3 Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah subjek (Pemberitaan dan Penulisan Rencana)


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...