> > Ramadan bukan bulan untuk tahan diri dari makan dan minum sahaja
Ramadan bukan bulan untuk tahan diri dari makan dan minum sahaja
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW Rabu | 15 Mei 2019

Alhamdulillah, bulan yang dinanti–nantikan oleh semua umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia iaitu bulan Ramadan Al–Mubarak kini sudah tiba. Bulan Ramadan Al–Mubarak merupakan salah satu bulan Islam yang penting kerana ia adalah bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan, kemuliaan serta membawa ganjaran pahala yang besar buat umat Islam yang memenuhi bulan terbabit dengan amal ibadah serta mengisinya dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.

Kedatangan bulan terbabit sudah pasti dinanti–nantikan kerana bulan Ramadan Al-Mubarak menjanjikan peluang yang besar untuk seluruh umat Islam bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT. Ini jelas diterangkan oleh Allah SWT melalui Surah Al–Baqarah: Ayat 183, “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan (diwajibkan) ke atas kamu puasa seperti mana telah difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”.

Namun agak sedih melihat gelagat segelintir umat Islam yang beranggapan kedatangan bulan Ramadan Al–Mubarak ini adalah untuk menahan diri mereka daripada makan dan minum dari terbitnya matahari hingga terbenamnya matahari. Segelintir umat Islam ini tidak ketahui bahawa kedatangan bulan Ramadan Al–Mubarak itu bukan hanya sekadar untuk tidak makan ataupun minum malah tujuan bulan yang mulia adalah lebih daripada itu.

Kalau kita lihat ayat dalam Al–Quran seperti yang dinyatakan di atas walaupun ayat terbabit menyebut puasa secara umum, tetapi para ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah puasa Ramadan secara khasnya. Matlamat di sebalik puasa Ramadan telah disebut dalam ayat Al–Quran terbabit iaitu semoga kamu bertakwa, sekaligus menunjukkan bahawa matlamat utamanya bukan sekadar untuk menahan diri kita dari lapar dan dahaga sahaja.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Selain daripada berpuasa di siang hari dengan menahan diri daripada makan dan minum, umat Islam juga harus melatih diri mereka daripada melakukan apa–apa perkara atau perbuatan yang boleh merosakkan pahala serta amalan puasa mereka seperti perkara yang boleh membawa kepada dosa, rafats, dan lagha.

Dosa ialah dengan melakukan perkara–perkara yang jelas telah dilarang oleh Allah SWT seperti berjudi, mencuri, meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dan lain–lain perkara yang menjerumus kepada kemungkaran dan kerosakan terhadap diri sendiri serta sekeliling. Rafats adalah perbuatan atau perkataan yang mengundang syahwat seperti khalwat, zina serta apa – apa perkataan yang tidak senonoh atau tidak sedap didengar. Lagha pula adalah perbuatan yang tidak membawa sebarang berfaedah kepada diri pelaku.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya umat Islam mengambil serius terhadap perkara ini serta memastikan ibadah yang dilakukan oleh mereka sepanjang bulan Ramadan Al–Mubarak ini betul–betul membawa keberkatan terhadap diri mereka serta diterima oleh Allah SWT.

Pihak berkuasa khususnya pihak Jabatan Agama Islam di seluruh negara hendaklah memandang perkara ini dengan serius juga. Tindakan undang–undang perlu diambil terhadap mana–mana umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan Al–Mubarak dengan melakukan sebarang perkara yang boleh merosakkan kesucian bulan Ramadan Al–Mubarak serta mengganggu fokus umat Islam yang sedang sibuk menjalani proses ibadah di bulan yang suci ini.

Aspek penguatkuasaan undang–undang Islam sedia ada dalam negara kita perlu dilakukan bukan sahaja terhadap mana–mana pihak didapati makan dan minum di sepanjang bulan Ramadan Al–Mubarak malah terhadap mana–mana pihak yang didapati melakukan sebarang perkara yang boleh merosakkan kedatangan bulan yang mulia ini. Pelbagai jenis tindakan undang–undang boleh diambil melalui Akta–Akta Kesalahan Jenayah Syariah di Negeri–Negeri di seluruh Malaysia terhadap perkara ini bagi memastikan kedatangan bulan Ramadan Al–Mubarak pada tahun tidak dicemari.

Antara peruntukkan undang–undang Islam yang boleh digunapakai di dalam perkara ini adalah seperti kesalahan untuk mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan seperti kesalahan makan, minum dan merokok ketika waktu berpuasa, kesalahan perjudian, kesalahan pelacuran, kesalahan pemakaian yang tidak senonoh, kesalahan berkaitan dengan perbuatan tidak sopan dan lain–lain lagi.

Kedatangan bulan Ramadan Al–Mubarak yang mulia ini penting bagi melatih diri seseorang umat Islam itu supaya menjadi insan yang lebih berguna pada diri mereka sendiri serta kepada orang lain. Kedatangan bulan yang penuh rahmat ini sentiasa dinanti–nantikan oleh semua umat Islam di seluruh dunia, adalah penting supaya setiap umat Islam mengambil peluang keemasan di sepanjang bulan Ramadan Al–Mubarak ini untuk meninggalkan segala amalan buruk yang telah dilakukan, mengubah diri mereka untuk menjadi lebih baik serta berusaha dengan sedaya upaya untuk memperoleh keberkatan hidup di dalam dunia serta kebahagiaan hakiki di akhirat. Semoga Ramadan Al–Mubarak tahun ini membawa seribu rahmat serta ganjaran pahala yang banyak buat semua umat Islam.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


STAY CONNECTED
Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...