> > ‘Touch of the Future’, sentuhan yang membantu masa hadapan
‘Touch of the Future’, sentuhan yang membantu masa hadapan

Seiring dengan pembangunan kemajuan negara, Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Pembangunan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah mula melaksanakan pelbagai strategi pengukuhan bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan (Engineering) dan Matematik (STEM) dalam usaha melahirkan ramai pakar dalam bidang tersebut yang kelak dapat menyumbang kepada kemajuan negara.

Hal ini membolehkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju yang lain. Walaupun ramai pihak terbeban dengan kerja yang meningkat, namun, pengorbanan mesti dilakukan dan ia sedang dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Dalam jangka masa yang panjang, STEM ini bagus demi mempersiapkan mahasiswa dengan realiti pekerjaan yang mencabar kelak. Oleh itu, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya khususnya mahasiswa dari Jabatan Sistem Maklumat telah menganjurkan satu program dinamakan ‘Touch of the Future’.

Fasilitator berkenalan dengan peserta dalam sesi 'ice breaking'.
Program ini memfokuskan untuk mendedahkan para pelajar orang asli dari Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan (A), Damansara Perdana, dengan pengetahuan asas penggunaan komputer dan beberapa aplikasi asas menggunakan komputer. Hal ini dapat mewakili huruf ‘T’ dalam akronim STEM yang bermaksud ‘Teknologi’.

Program ini telah disertai 36 pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun 4, 5 dan 6 dan diuruskan oleh 50 mahasiswa jurusan Sarjana Muda Sistem Maklumat tahun pertama serta dibimbing oleh Dr. Suraya Hamid iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Sistem Maklumat fakulti tersebut. Program ini merupakan lanjutan daripada program STEM pada tahun lepas yang turut dibimbing oleh Dr. Suraya, cuma pada kali ini tumpuan diberikan lebih kepada pelajar sekolah rendah dalam kalangan anak-anak orang asli dan tajaan dari usaha pihak pelajar sendiri. Program ini bertujuan menarik minat pelajar khususnya anak-anak orang asli terhadap teknologi yang menjadi perkara mustahak dalam kehidupan seharian.

“Kami berharap anak-anak ini dapat didedahkan dengan kepentingan teknologi dan kepentingan ilmu itu sendiri, kerana ramai juga sebelum ini yang sudah berhenti belajar, rata-ratanya berumur 14 hingga 16 tahun. Hal ini kerana mereka ingin meneruskan cara kehidupan mereka yang asal sebagai orang asli di kejiranan ini. Kami amat berharap yang mereka dapat mencipta cita-cita ingin berjaya dan keluar dari takuk lama. Memandangkan mereka merupakan generasi ketiga dan keempat di kejiranan ini, masa depan mereka amat cerah,” kata Azizul, guru ICT SKBL.
Johan aktiviti 'explorace', kumpulan Magneto.

“Saya tahu anak-anak sekolah ini boleh pergi lebih jauh dan turut membantu memajukan ekonomi orang asli di sini kelak, cuma mereka amat memerlukan sokongan daripada mana-mana pihak yang sudi membantu tidak kiralah dari segi kewangan atau tenaga pengajar. Kami berharap selepas ini banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan oleh pihak luar dengan kami demi masa depan anak-anak ini,” kata Haji Suhaidi, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKBL.

Dalam pada itu, pihak penganjur telah mengadakan aktiviti pengumpulan dana dengan menjalankan jualan makanan dan tayangan filem di fakulti pada setiap hari Khamis selama tiga minggu. Aktiviti ini telah meraih lebih kurang sebanyak RM900 yang digunakan untuk melancarkan lagi perjalanan pada hari kejadian. Di samping itu, perasmian program ini telah disempurnakan Haji Harun Othman (Guru Besar SKBL) dan disaksikan Norazman Jamalim (Yang Dipertua PiBG SKBL), Prof. Dr. Abrizah Abdullah (Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UM) dan guru-guru pengiring.

Sementara itu, program ini dimulakan dengan aktiviti Zumba, ‘ice breaking’ dan diteruskan dengan pembelajaran Modul Paint 3D dan Microsoft PowerPoint. Para peserta dapat mempelajari penggunaan kekunci pintas pada papan kekunci serta menggunakan fungsi tab seperti memasukkan gambar, mengedit tulisan, menggunakan fungsi pergerakan animasi, menyimpan kerja sebagai video dan banyak lagi. Selain itu, para peserta perlu membentangkan hasil kerja mereka di hadapan peserta lain.

Aktiviti jualan bagi mengumpul dana untuk digunakan bagi melancarkan hari program.
Hal ini dapat memupuk keyakinan bercakap di hadapan orang ramai dan mengasah kemahiran komunikasi dalam kalangan peserta. Selepas rehat dan makan tengah hari yang ditaja oleh Shaza Catering, program diteruskan lagi dengan aktiviti ‘explorace’ yang memerlukan para peserta kekal aktif dan peka terhadap soalan dan keadaan sekeliling. Aktiviti ini terdiri daripada empat tempat pemeriksaan yang mempunyai soalan pengujian minda. Para fasilitator hanya boleh membantu dalam menerangkan soalan dan membimbing para peserta sahaja tanpa memberikan sebarang jawapan.

Soalan yang diberi ialah soalan berkaitan matematik dan sains, soalan berkaitan IQ dan tidak lupa juga pertandingan menyumpit gumpalan kertas menggunakan penyedut minuman, yang memerlukan tahap penumpuan yang tinggi dan pengawalan nafas yang betul bagi mencapai matlamat pertandingan. Akhir sekali, program ini berakhir dengan majlis penutup yang diserikan lagi dengan penyampaian hadiah yang pastinya mengukir senyuman para peserta. Antara anugerah yang telah diberi ialah peserta paling ceria, aktif, semangat, kreatif, unik dan sporting serta hadiah pertandingan ‘explorace’. Selepas itu, mereka disajikan dengan makanan dan minum petang. Sebelum mengucapkan selamat tinggal, para peserta sempat bermain buih sabun gergasi di halaman fakulti.

Pelajar SKBL bersama-sama fasilitator, Dekan FSKTM, para pensyarah, guru-guru dan penaja utama.

Tuntasnya, program ini sangat bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya tidak menyangka bahawa usaha kita selama ini membuahkan hasil yang sebegini rupa. Saya dapat belajar pelbagai kemahiran baru terutamanya dalam menguruskan sesuatu projek. Saya amat berbangga dengan semua,” kata Elhaj. D. Radhwan, pelajar antarabangsa, Jabatan Sistem Maklumat.

“Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada para penaja, para pensyarah dan staf fakulti dan yang sudi memberikan sokongan dan dorongan yang tidak terhingga sehingga kami berjaya mengendalikan program ini dengan sempurna. Diharapkan melalui program ini dapat meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM dan membantu membangunkan negara kita. Suatu kebanggaan pelajar Berjaya mendapat lebih 30 tajaan barang keperluan dan makanan bagi menjalankan aktiviti ini. Saya amat berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar ini yang menggelarkan kumpulan ini sebagai SEISMIC_19,” Ujar Dr. Suraya penasihat program.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...