> SEL KL > Wujud akta khusus lindungi graduan TVET - MTUC
Wujud akta khusus lindungi graduan TVET - MTUC
BERNAMA Sabtu | 18 Mei 2019

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mewujudkan satu akta khusus bagi melindungi graduan yang mempunyai kelulusan sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terutamanya dari aspek jaminan mendapatkan peluang pekerjaan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, akta berkenaan antara lain perlulah memperuntuk kewajiban kepada pemain industri untuk mengutamakan pengambilan graduan TVET berbanding pekerja asing mengikut nisbah tertentu.

"Langkah ini perlu diambil bagi memastikan pemain industri terlibat sama dalam pembangunan modal insan dan penyediaan peluang pekerjaan kepada graduan TVET.
"Sekarang kita tidak ada perlindungan sebab tidak ada nisbah (pengambilan pekerja asing), kalau Singapura, ambil 10 pekerja tempatan, baru boleh ambil satu pekerja asing," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta agar penggiat industri utama lebih aktif membangunkan modal insan dan menyokong transformasi TVET bagi membantu meningkatkan kualiti tenaga kerja, terutamanya graduan bidang TVET.

Menjelaskan lanjut, Abdul Halim berkata kebanyakan majikan di negara ini cenderung untuk 'melabur' pada kos lebih rendah untuk mendapatkan pekerja asing berbanding pekerja tempatan di mana mereka, antara lain perlu patuhi peraturan gaji minimum yang dianggap membebankan.

"Kita kena ubah sikap kapitalisme majikan kepada nasionalisme iaitu lebih bertanggungjawab bantu kerajaan bangunkan modal insan khususnya graduan TVET," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berpendapat bahawa pada masa ini sistem TVET di negara ini masih 'celaru' dengan terlalu banyak agensi dan kementerian yang terlibat dengan TVET.

"Bila berlainan kementerian dan agensi terlibat sukar untuk mendapatkan keseragaman dalam dasar dan standard. Ada dua piawaian diguna pakai iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kementerian Pendidikan dan Sijil Kemahiran Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia, dua piawaian itu membuatkan banyak majikan keliru," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga perlu meningkatkan peratusan pekerja mahir ke paras 40 peratus berbanding 29 peratus sekarang bagi memenuhi keperluan pemain industri di negara ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan Universiti Teknikal Melaka, Prof Dr Mohd Ridzuan Nordin berkata lebih banyak dialog antara pemain industri, kerajaan dan penyedia latihan perlu diadakan bagi membolehkan pelbagai input dan cadangan diperoleh dalam memperkasa sistem TVET di negara ini.- Bernama


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...