> IKON > Pernah jual belacan guna duit pinjaman, siapa sangka siswazah ini dah jadi tauke!
Pernah jual belacan guna duit pinjaman, siapa sangka siswazah ini dah jadi tauke!
FARAH SHAZWANI ALI Selasa | 21 Mei 2019

KUALA TERENGGANU - Belacan, ikan kering, keropok, burger dan pewangi. Itu antara perniagaan awal yang dibuat pemuda kental ini yang bermula dari bawah sebelum berjaya dengan perniagaannya sekarang, Pokkem Fruits & Juice.

Baru berusia 30 tahun, Muhd Azizul Hakim Aziz cukup matang dengan pancaroba dan jatuh bangun perniagaan, malah berdepan detik hitam apabila dikenakan senarai hitam menjadikannya lebih kuat dan bersemangat untuk berjaya.

Menceritakan detik awal perniagaannya, Azizul Hakim yang mesra dengan panggilan Pokkem berkata, dia mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan, membuatkannya membuka gerai burger sebaik tamat pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tapi, tanggungjawab sebagai anak sulung daripada lima beradik dan ingin menjadi contoh kepada adik-adiknya menyebabkan Pokkem menyambung pelajaran di Kolej Polytech Mara, Kuantan.

“Memandangkan saya sudah membuat pinjaman bagi melanjutkan pelajaran, saya mengambil keputusan berniaga untuk menyara kehidupan. Atas nasihat dan didikan ayah, saya menjual hasil laut seperti belacan, ikan kering dan keropok dengan menjajakan di sekitar bandar Kuantan.

“Saya juga menjadi pengedar pewangi sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dengan tajaan Mara. Tamat belajar, saya membuka kedai Terengganu Heritage dengan menjual hasil laut Terengganu dan batik, sutera di Selayang, Selangor,” katanya.

Pokkem Fruits & Juice yang terletak di Mayang Place, Batu Burok.

Pernah kena senarai hitam

Menjangkau usia 26 tahun, Pokkem ditawarkan bekerja sebagai pegawai di salah sebuah bank di ibu negara dalam masa sama masih meneruskan perniagaannya.

Walau bagaimanapun tidak lama selepas itu, perniagaannya jatuh dan dikenakan senarai hitam gara-gara menjadi penjamin kepada seorang kenalannya, membuatkan dia hilang kerja di bank dan segala-galanya, sebelum pulang ke Terengganu sebatang kara.

“Saya bernasib baik kerana ibu bapa dan keluarga menjadi tulang belakang saya, membuatkan saya bangkit kembali.

Pokkem menunjukkan sebahagian daripada menu istimewa yang dijualnya.
“Saya cuba nasib bekerja dengan syarikat Terengganu Agrotech Development pada tahun 2015 sebagai pegawai pemasaran. Antara tugas saya adalah memasarkan buah Melon Manis Terengganu supaya dikenali seluruh negara.
“Saya juga membuat promosi ke luar negara sehingga Singapura dan Korea Selatan. Dari situ, saya kenal ramai orang dan jutawan buah-buahan. Tidak lupa kepada pekebun Melon Manis Terengganu, kejayaan mereka semua membuatkan saya bertambah semangat untuk kembali bangkit,” kata bapa kepada seorang cahaya mata ini lagi.

Akhirnya pada Disember 2017, dia nekad berhenti kerja dan membuka perniagaannya sendiri iaitu Pokkem Fruits & Juice.

Bingsu buah-buahan merupakan menu hangat dalam kalangan pelanggan.

Bermula dengan hanya dua pekerja, Pokkem kini boleh berbangga dengan perniagaannya yang mula berkembang dan kini mempunyai lapan pekerja dan memiliki dua cawangan terletak di Kuala Terengganu iaitu di Paya Bunga Square dan di Mayang Place, Batu Burok.

Inspirasi Korea

Pokkem Fruits&Juice menawarkan lapan menu utama iaitu pelbagai jenis bingsu buahan-buahan, juice milkshake, waffle buah-buahan, coklat strawberi, kek cheese mango, rojak buah, pancake dan aiskrim buah-buahan.

Waffle buah-buahan juga ada.

Menu istimewa ialah bingsu buah-buahan inspirasi dari Korea. Bingsu ialah ais batu dikisar lembut dan untuk mengeraskan ais, ia mengambil masa dua hari selain dihidangkan bersama buah-buahan segar.

“Saya pernah ke Korea Selatan sewaktu mempromosikan Melon Manis Terengganu. Ketika itu, saya kenal bingsu dan jatuh cinta dengan keenakannya. Saya belajar cara membuatnya di Thailand dan dengan saudara saya.

“Ia umpama ABC tapi versi Korea. Saya olah dengan adunan sendiri seperti tambah banyak buah-buahan supaya pelanggan boleh imbangkan kemanisan buah-buahan dan susu,” katanya.

Pokkem turut berhasrat mengeluarkan menu baharu selepas Aidilfitri, di samping memperkenalkan mobil bergerak berjenamakan PFJ, selain dua cawangan baharu dijangka menyusul iaitu di Marang dan Ipoh.

Bingsu buah-buahan insipirasi Korea.

BIODATA

Nama: Muhd Azizul Hakim Aziz

Asal: Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa & Teknologi Maklumat, KPTM (kolaborasi dengan Coventry University, UK)

Perniagaan: Pokkem Fruits&Juice di Paya Bunga Square dan di Mayang Place, Batu Burok

*Rencana ini dipetik daripada ruangan Usahawan Kita terbitan Sinar Harian Selasa 21 Mei 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...