> MLK N.9 > Matrikulasi buktikan ekuiti dalam pendidikan
Matrikulasi buktikan ekuiti dalam pendidikan
WARTAWAN KAMPUS UOLS Selasa | 21 Mei 2019

NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyokong kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung keputusan mengekalkan kuota 90 peratus kemasukan Bumiputera ke dalam program matrikulasi.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad turut menegaskan isu berkenaan kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program matrikulasi tidak perlu dipolemikkan.

Katanya, hal ini dapat dibuktikan kerana data sedia ada menunjukkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memberi ruang dan peluang yang lebih kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mendapat tempat dalam program matrikulasi.

Menurutnya, intervensi khusus untuk mereka adalah perlu serta jelas melalui pelbagai inisiatif dan KPM sentiasa berusaha untuk memastikan mereka ini tidak tercicir daripada pendidikan arus perdana dengan memberikan bantuan dalam bentuk kewangan dan juga peluang pendidikan asas hingga pendidikan tinggi yang berkualiti.

Jelasnya, peluang begitu banyak untuk pelajar lepas sekolah menengah untuk melanjutkan pelajaran dalam program persediaan, termasuk tingkatan enam yang juga mendapat bantuan penuh kerajaan.

"Mereka juga boleh memohon untuk menyertai program persediaan di universiti awam dalam program asasi, atau bagi mereka yang berkemampuan boleh meneruskan pelajaran dalam peringkat A Level.
"Malah peluang melanjutkan pelajaran ke Politeknik Malaysia dan Kolej Komuniti juga terbuka luas, tanpa mengira kaum," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Musa berkata, menerusi statistik pada tahun 2018 menunjukkan hanya terdapat 25,000 kapasiti pengambilan keseluruhan program matrikulasi setiap tahun yang mana dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar Bumiputera dan 2,500 untuk bukan Bumiputera.

Jelasnya, walaupun dasar semasa menetapkan bahawa penempatan untuk pelajar bukan bumiputera adalah seramai 2,500, KPM telah menerima masuk 4,068 pelajar, atau 1,568 pelajar lebih daripada kuota yang ditetapkan.

“Kita harus faham bahawa pendidikan di negara ini perlu mengambil kira keadaan masyarakat majmuk yang wujud sejak sekian lama hasil daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh penjajah dan KPM berpegang kepada dasar kesaksamaan atau ekuiti dalam pendidikan di mana intervensi berfokus diberikan kepada golongan yang memerlukan, tanpa mengira kedudukan geografi, sosio-ekonomi mahupun kaum.
"Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 masih belum sepenuhnya dapat mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan setelah ratusan tahun negara ini dijajah, mana mungkin dalam masa 62 tahun kita mampu untuk menyusun semula masyarakat Malaysia bagi memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi. Hakikatnya perlu diakui bahawa terdapat golongan yang perlu dibantu berbanding dengan kelompok yang lain," katanya.

Tambahnya, usaha merealisasikan ekuiti dalam pendidikan dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa golongan berpendapatan rendah (B40), dasar pengambilan ke Program Matrikulasi KPM pada tahun 2019 telah memperuntukkan 60 peratus tempat kepada pelajar dari golongan B40 dan baki 40 peratus kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20).

Katanya, pelaksanaan dasar baharu ini yang diumumkan dalam kenyataan media KPM pada 19 April lalu adalah lebih seimbang dengan memberi peluang kepada pelajar yang layak dan pada masa sama memberi fokus kepada golongan B40 secara bersasar.

Menurutnya, intervensi khusus untuk mereka adalah amat perlu serta jelas sekali melalui pelbagai inisiatif dan KPM sentiasa berusaha untuk memastikan mereka ini tidak tercicir daripada pendidikan arus perdana dengan memberikan bantuan dalam bentuk kewangan dan juga peluang pendidikan asas hingga pendidikan tinggi yang berkualiti.

“Masanya sudah tiba untuk kita menyahut seruan perdana menteri yang mahukan rakyat semua untuk bekerja keras dan berusaha bersama-sama demi memastikan nama Malaysia terus dihormati di mata dunia.
"Oleh yang demikan, buktikan bahawa rakyat Malaysia berupaya untuk melihat lebih jauh dengan menjadikan kepelbagaian di negara ini sebagai satu kekuatan untuk kita sama-sama meningkatkan kualiti kehidupan di negara kita yang tercinta," katanya.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...