> CETUSAN > Pusat pelupusan sampah semakin tenat. Adakah masyarakat sedar?
Pusat pelupusan sampah semakin tenat. Adakah masyarakat sedar?

SISA pepejal merupakan bahan yang tidak lagi diperlukan terdiri daripada pepejal atau separa pepejal seperti kertas, kaca, tin, plastik, sisa makanan, bahan radioaktif dan sebagainya.

Berdasarkan rekod Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), sejumlah 165 buah tapak yang masih beroperasi dan dari jumlah tersebut, 17 buah pusat pelupusan sisa pepejal terletak di negeri Perak.

Sebanyak 13.5 juta tan sampah akan dihasilkan setiap tahun, manakala 37,000 tan sampah akan dihasilkan setiap hari.

Berdasarkan angka tersebut, pada 2018 Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut melahirkan kebimbangan dengan mengatakan kaedah penimbusan tidak lagi relevan, khususnya bagi kawasan yang mempunyai lambakan sisa pepejal.

Manakala, beberapa kaedah baharu perlu dirangka dalam mengatasi masalah tersebut.

Tinjauan di Taman Perumahan Hutan Melintang mendapati, penduduk masih belum meletakkan kepentingan memelihara alam sekitar sebagai peranan utama sama ada dalam melaksanakan pembangunan mahupun perlupusan sisa buangan.

Situasi membuang sampah sarap di merata-rata tempat kerap dilihat tanpa ada sebarang rasa bersalah.

Malahan itu, masalah pengurusan sisa pepejal ini adalah antara ketiga terbesar yang perlu diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu selepas pencemaran air dan pencemaran udara. Situasi ini memperlihatkan tahap pemikiran dan kaedah pengurusan sisa pepejal oleh rakyat Malaysia masih berada pada tahap lemah dan ianya boleh mendatangkan kesan terhadap persekitaran fizikal dan manusia jika tidak dibendung.

Masalah lambakan sisa pepejal berlaku disebabkan beberapa faktor seperti peningkatan jumlah penduduk, pembangunan sesebuah kawasan, aktiviti perekonomian dan pengurusan sisa pepejal yang tidak efisien di sesebuah kawasan petempatan.

Berdasarkan tinjauan di Taman Perumahan Hutan Melintang, didapati tahap pengurusan dan pengetahuan mengenai sisa pepejal oleh setiap isi rumah penduduk masih berada pada tahap rendah.

Setiap rumah juga, dilihat kurang mengamalkan pengasingan sisa buangan yang dihasilkan. Sebaliknya, sisa buangan tersebut disatukan di dalam satu beg plastik.

Tambahan pula, amalan mengitar semula juga masih kurang dilaksanakan oleh penduduk tempatan. Keadaan ini berikutan, kekurangan kawasan tempat mengitar semula di samping bayaran pulangan bagi bahan kitar semula yang dijual adalah murah terutama bagi botol kaca.

Oleh sebab itu, masyarakat lebih memilih untuk membuang sisa tersebut berbanding untuk mengitar semula.

Manakala, tahap kesedaran dalam pengurusan sisa pepejal juga masih berada pada tahap yang rendah.

Sisa pepejal yang dihasilkan didapati hanya diletakkan secara terbuka tanpa menggunakan tong bertutup mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Keadaan ini telah memberi satu pemandangan yang kurang menarik di samping berlakunya masalah haiwan perosak seperti tikus akan berlaku di kawasan tersebut.

Sisa pepejal yang diletakkan tanpa menggunakan tong tertutup ini juga membolehkan sisa tersebut diselongkar oleh haiwan-haiwan seperti anjing untuk mencari makanan dan akhirnya mencacatkan pemandangan persekitaran.

Meskipun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan tanggungjawab menguruskan sisa pepejal dengan baik, namun terdapat beberapa permasalahan yang perlu ditambah baik dalam memastikan permasalahan berkaitan sisa pepejal di kawasan taman perumahan dapat di atasi.

PBT misalnya, perlu menyediakan dan mempamerkan jadual kutipan agar masyarakat lebih peka untuk mengeluarkan sisa pepejal dari kediaman masing-masing.

Situasi ini dapat mengatasi masalah sisa pepejal yang terlalu lama terbiar tanpa sebarang kutipan. Manakala, PBT juga boleh membina rumah sampah berpusat dengan dilengkapi pintu bagi mengatasi masalah kewujudan haiwan perosak.

Walaubagaimanapun, penguatkuasaan akta sedia ada iaitu Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 perlu untuk dilaksanakan secara lebih tegas dalam mendisiplinkan masyarakat.

Kebimbangan apabila pusat perlupusan sisa pepejal tidak lagi mampu menampung jumlah sisa buangan yang semakin banyak setiap masa perlu diambil berat oleh setiap penduduk. Tambahan pula, untuk menguruskan sebuah tapak pelupusan juga memerlukan kos yang besar dan kawasan yang bersesuaian untuk dijadikan tapak pelupusan.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Kamarul Ismail, sekiranya setiap isi rumah mengamalkan pengasingan sisa pepejal, ia dapat mencegah daripada berlakunya pencemaran alam.

Tambah beliau lagi, pengasingan awal yang dibuat oleh setiap rumah dapat memupuk budaya kitar semula kerana mengasingkan sisa pepejal rumah mengikut kategori bahan. Amalan tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran malah dapat dijual dan mampu menguntungkan pengguna sendiri.

Oleh yang demikian, masyarakat perlu sedar bahawa pentingnya pengurusan sisa pepejal untuk diamalkan bermula dari rumah agar alam sekitar terus terpelihara dan selamat. Amalan kitar semula perlu untuk dilaksanakan oleh setiap isi rumah dalam mengurangkan jumlah sisa buangan.

Tambahan dari itu juga, pengasingan sisa buangan termasuklah sisa makanan perlu untuk dilakukan agar kos perlupusan dapat dijimatkan melalui kaedah pengasingan sedia ada yang telah diamalkan.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...