> > Derita penyakit gangguan mental, Fatiha dedahkan tujuh bulan memencil diri
Derita penyakit gangguan mental, Fatiha dedahkan tujuh bulan memencil diri
BERNAMA Rabu | 12 Jun 2019

KUALA LUMPUR - Wanita yang berkaca mata, bertubuh badan kecil tampak begitu yakin ketika berkongsi pengalamannya di hadapan hampir 200 orang yang memenuhi ruang dewan Perpustakaan Raja Tun Uda di sini baru-baru ini.

Melihat gaya beliau bercakap penuh berkeyakinan, sukar untuk percaya wanita itu sebenarnya menderita gangguan mental, apatah lagi keberaniannya mendedahkan penyakit yang dihadapinya itu di khalayak ramai.

Itulah Fatiha Shuib, berusia 28 tahun, usahawan sosial dan pengasas 1moment4them, pertubuhan bukan kerajaan yang membantu menyediakan khidmat kepada mereka yang menghidap penyakit mental serta menjalankan kegiatan kemanusiaan untuk masyarakat pelarian yang memerlukan.

Bersungguh-sungguh sekali Fatiha bercakap mengenai susah-payah beliau bergelut dengan penyakitnya, kecelaruan bipolar (bipolar disorder) sewaktu Konvensyen Psikologi Keluarga yang dianjurkan oleh Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai.

Mereka yang menderita kecelaruan bipolar mengalami perubahan mood yang melampau dari emosi tinggi kepada emosi rendah atau kemurungan.

Menurut Fatiha sebelum ini, begitu sukar untuk beliau menghadapi penyakitnya itu. Betapa kuat pun beliau cuba menangani keadaannya itu, beliau akan kembali murung atau menderita serangan keresahan.

PRA-RAWATAN

Salah satu episod teruk dalam hidupnya akibat penyakit itu berlaku pada 2016 yang menyebabkan beliau memencilkan diri selama tujuh bulan akibat kemurungan melampau.

Seakan hilang kawalan diri, tidak dapat berfungsi, tidak mampu berkomunikasi, mengasingkan diri, sering berasa mengantuk dan lemah. Beliau berasa berat untuk keluar dari rumah, apatah lagi pergi kerja atau pun mandi.

Akibat serangan kegelisahan, sekiranya beliau perlu pergi ke mana-mana beliau akan menggunakan pengangkutan awam. Begitulah keadaannya sebelum mendapat bantuan profesional.

“Sewaktu saya didiagnos dengan kecelaruan bipolar jenis dua dan keresahan pada 2017, perkara pertama yang saya lakukan ialah menerima dengan hati terbuka akan penyakit saya itu.

“Saya tahu sekiranya saya cuba menafikan saya menghidap penyakit itu walaupun sudah didiagnos, saya tak akan dapat meneruskan kehidupan saya dengan menanggung penyakit ini, “ kata Fatiha, sambil menambah beliau mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan.

CUBA KEKANG PENYAKIT

Fatiha mendapat cara terbaik untuk menangani penyakitnya itu iaitu dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelawanan. Kesibukannya mengekang beliau daripada tenggelam dalam belenggu kecelaruan atau keresahan yang boleh mengheretnya mencederakan diri atau menjadi berang dan ganas.

“Perkara paling besar kerja sebagai sukarelawan membantu saya, saya tak kelar-kelar tangan atau mengamuk atau berlaku ganas.

“Buat baik ini sebenarnya manfaat untuk diri sendiri. Membantu orang lain amat besar maknanya, “ kata Fatiha yang mula berjinak-jinak dengan kerja kesukarelawan sewaktu belajar di Jordan. Beliau mengambil pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang syariah.

Sukarelawan dan Pengasas 1moment4them, Fatiha Shuib, (paling kiri belakang dan memakai cap) sewaktu majlis Hari Raya di sebuah kampung di Semporna, Sabah. -- Gambar ihsan Fatiha Shuib

Sewaktu bulan Ramadan dan cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, beliau berada di Semporna, Sabah, dengan pasukan 1moment4them untuk misi kemanusiaan bagi membantu masyarakat Bajau Laut yang tinggal di kawasan berkenaan.

Pasukan ini membantu mengajar mereka kemahiran keusahawanan untuk membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kampung mereka bagi meningkatkan tahap kehidupan mereka.

MEMBANTU ORANG LAIN

Seorang lagi peserta pada Konvensyen Psikologi Keluarga itu ialah Dr Ahmad Rostam Md Zin, pakar sakit jiwa di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Beliau menggambarkan melakukan amalan baik sebagai salah satu mekanisme perlindungan diri atau menangani strategi bagi mereka yang berdepan dengan kecelaruan psikiatrik atau mental.

Perlakuan yang sedemikian boleh diklasifikasikan sebagai tingkah laku altruistik, mengutamakan kebahagiaan orang lain meskipun yang melakukannya mungkin tidak mendapat apa-apa keuntungan.

Fatiha Shuib (bercermin mata) menyenduk makanan untuk anak-anak yang hadir pada jamuan Hari Raya di sebuah kampung di Semporna, Sabah. --Gambar ihsan Fatiha Shuib

Jelas Dr Ahmad Rostam "Ia satu cara menukar perasaan atau pemikiran yang tidak menyenangkan dengan membantu orang lain yang mungkin menderita keadaan yang sama.

“Maksudnya apabila seseorang itu mempunyai mekanisme perlindungan diri yang matang seperti buat benda baik atau buat amal kebajikan, dia sebenarnya mampu untuk memelihara kesihatan psikologi dirinya.

“Kepuasan dari berbuat baik itu bukan untuk orang lain tapi untuk diri sendiri, kita tolong orang lain kita akan rasa lega,” jelas Dr Ahmad Rostam.

Beliau menambah perasaan terbaik membantu orang lain ialah melakukannya tanpa diminta berbuat demikian, sebagai contoh menzipkan beg seseorang yang tidak sedar zip begnya terbuka.

Melakukan perbuatan baik juga membantu membebaskan ‘dopamine’ iaitu ‘the feel-good neurotransmitter’ di dalam otak juga dikenali sebagai “helper's high.”

ISU KESIHATAN MENTAL

Di samping melakukan kerja-kerja kebajikan, Fatiha juga secara aktif berkempen dalam media sosial untuk memperkasakan kesihatan mental dan berkongsi pandangannya di forum berkaitan.

Ramai golongan belia terutamanya pelajar universiti berkongsi masalah mereka yang ingin mencederakan diri sendiri malah ada yang cuba membunuh diri kerana kemurungan atau isu kesihatan mental yang lain.

“Ada yang tidak mahu mengakui menghadapi penyakit itu meskipun gejalanya begitu jelas sekali jadi saya nasihatkan mereka melibatkan diri dalam kerja kesukarelawanan.
“Ada yang ikut saya ke Semporna. Buat kerja sebagai sukarela ini menjadikan mereka lebih tenang. Bila balik ke Kuala Lumpur, mereka berasa relaks (emosi lebih stabil) dan mereka mula mencari rawatan, “ kata Fatiha.

Pertubuhan yang diasaskannya, 1moment4them setakat ini berjaya mengadakan konsert kebajikan di Jordan, Mesir dan pelbagai tempat di Malaysia.

Projek untuk mendapatkan dana bagi pelarian Syria mendapat sokongan penyertaan artis tempatan popular seperti Mizz Nina, Noh Salleh, Aizat Amdan, Faizal Tahir dan Muadz Dzulkefly.

“Kita perlu menukar stigma orang yang mempunyai masalah kesihatan mental tidak dapat menyumbang kepada masyarakat,” kata Fatiha.


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...