> IKON > Hampir 10 tahun peluk Islam, tapi ini sebab Bro Jay tetap kekalkan nama ayahnya
Hampir 10 tahun peluk Islam, tapi ini sebab Bro Jay tetap kekalkan nama ayahnya
RAZIATUL HANUM A RAJAK @ ATAN Rabu | 12 Jun 2019

SIKAP ingin tahu membawa seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kembali kepada fitrah ketika berusia 29 tahun.

Dr Jaysuman Pusppanathan akui, minatnya terhadap Islam bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Menurut beliau, keyakinannya benar-benar bulat ketika membaca terjemahan surah al-Ikhlas yang menjawab segala persoalannya tentang Tuhan.

“Saya pemikir kritis. jadi tak mudah terima semuanya bulat-bulat. Saya terfikir, kenapa ada banyak sangat agama di dunia tapi masing-masing percaya Tuhan itu satu. Jadi, yang mana satu?

“Di situlah bermulanya pencarian saya secara serius. Di universiti, saya pergi masjid, kelas Fardu Ain dan pada waktu sama saya ke rumah ibadat lain untuk tanyakan hal agama sebab saya nak tahu,” katanya.
Aktif menjalankan pelbagai aktiviti dakwah sejak memeluk Islam.

Mengakui berdepan cabaran termasuk penerimaan keluarga, namun menurut anak sulung ini keluarganya kini sudah boleh menerima dan menghormati keputusannya itu.

“Kebimbangan utama seorang bapa kebiasaannya apabila anak memeluk Islam, seolah-olah buang bapa sebab tukar nama bin Abdullah. Saya tetap kekalkan nama ayah saya hingga hari ini. Saya tetap anak ayah saya.

“Islam mengajar kita untuk menjaga hubungan dengan ibu bapa, malah ketika mereka meraikan Deepavali atau Tahun Baharu Cina kami tetap bersama-sama keluarga walau beza agama,” katanya.

Bersama anaknya, Rayyan yang didedahkan dengan masyarakat berbilang kaum supaya mahir berbahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris.

Anjur program Sembang Harmoni

Kini setelah hampir 10 tahun memeluk Islam, Dr Jaysuman atau lebih dikenali sebagai Bro Jay aktif menjalankan aktiviti dakwah bersama isterinya, Prof Madya Dr Fatin Aliah Phang yang juga seorang mualaf.

Majlis pernikahannya dan isteri yang dihadiri keluarga masing-masing.
“Apa yang saya nampak selepas memeluk Islam, ada banyak sangat salah faham tentang Islam dalam kalangan orang bukan Islam. Saya fikir saya perlu tampil untuk betulkan keadaan. Jadi, saya bersama rakan-rakan lain buat kumpulan dan mulakan dakwah bukan sahaja kepada bukan Islam tapi juga yang sudah Islam.

“Orang bukan Islam lazimnya menilai Islam melalui pemerhatian terhadap orang Islam itu sendiri, bukan salah mereka. Jadi, kita perlu mempamerkan Islam yang sebenar melalui akhlak kita,” katanya.

Dakwah dilakukan bukan sahaja melalui surau atau masjid, malah ke rumah ibadah lain serta jalanan melalui program Sembang Harmoni.

Kenangan berbuka puasa bersama rakan-rakan mualafnya yang lain.

Jaysuman akui banyak persoalan dan kekeliruan tentang Islam yang dibangkitkan terutama oleh golongan bukan Islam.

“Salah faham ini saya percaya kerana kurangnya interaksi, komunikasi antara kaum dan agama. Antara soalan yang sering bermain di minda orang bukan Islam ini ialah Islam agama yang susah dan terlalu banyak pantang larang.

“Kenapa tak boleh makan daging khinzir, tak boleh minum arak dan sebagainya jadi kita cuba jawab persoalan-persoalan mereka ini.

“Saya tak melihat semua itu sebagai pantang larang sebaliknya Islam letakkan garis panduan supaya manusia belajar jadi manusia. Bayangkan tempat kerja kita tak ada ‘punch card’, pekerja datang tepat waktu tak?,” katanya.

Selain itu, Dr Jaysuman turut aktif menganjurkan pelbagai aktiviti serta pertandingan mengendalikan dron di masjid dan surau untuk generasi muda sekali gus menggalakkan generasi itu mendampingi rumah ibadat.

Dr Jaysuman memenangi Anugerah People’s Choice Award dan Naib Juara pada pertandingan 3 Minute Thesis Competition (3MT) Asia Pacific 2015 di University of Queensland, Australia.

BIODATA

Nama: Dr Jaysuman Pusppanathan

Asal: Segamat, Johor

Jawatan:

• Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Erthul Mustafa

• Aktivis Hidayah Centre Foundation Johor

• Presiden Kelab Dron Selatan Johor Bahru

• Ahli Exco (Co-Chair, Science Communication Working Group) Young Scientist Network-Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM)

Pendidikan:

• Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chukai Kemaman

• Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail II

• Ijazah, Sarjana Muda dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Elektrik di UTM

Pengalaman kerja:

• Jurutera di sebuah syarikat (2006)

• Pegawai penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (2009-2013)

• Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan & Sains Kesihatan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (2016-kini)

Anugerah pernah dimenangi:

• Anugerah People’s Choice Award dan Naib Juara ‘3 Minute Thesis Competition (3MT) Asia Pacific 2015' di University of Queensland, Australia

• Naib Juara Kejohanan Tekwando Asia 2012 di India

• Anugerah Kecemerlangan Akademik Hadiah Buku MTDC

*Artikel dipetik daripada ruangan Personaliti Kita terbitan Sinar Harian (Edisi Selatan) Rabu 12 Jun 2019


Artikel Berkaitan Yang Patut Anda Baca
Hari graduasi sememangnya hari paling istimewa bagi seorang mahasiswa/siswi yang telah berjuang bertahun-tahun demi segulung ijazah untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Paling...
KUALA LUMPUR - Suasana sayu menyelubungi bilik bicara Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini apabila seorang saksi...
Nama Nur Amalina Bakri atau dipanggil Dr. Amalina menjadi perhatian apabila dia pernah mencatat sejarah dengan memperolehi 17 A1 dalam SPM pada tahun 2007.Mengambil langkah...
Lambakan jenama Android kini tidak menghalang mereka yang meminati iPhone untuk beralih perhatian kepada Android. Kalau kita lihat permintaan iPhone kini juga jauh lebih tinggi...
Sering kali kita dimomokkan kalau nak masuk askar jiwa kena kental, badan kena lasak sebab latihannya memang cukup ‘mendera’ mental dan fizikal.Ya, sememangnya itulah...
Saat paling sedih dalam hidup aku adalah sewaktu kehilangan arwah mama tercinta. Ketika itu aku berada di tahun 2 di universiti sebelah utara sana. Bukan mudah kan nak atasi...